KUALA LUMPUR 9 Sept. - Dua remaja lelaki yang tercampak ke atas jalan raya setelah motosikal dinaiki mereka terbabas, maut dipercayai dirempuh oleh dua buah kereta berturut-turut dalam kejadian di Batu 16, Jalan Sungai Buloh-Kuala Selangor, dekat sini tengah malam tadi.
Kedua-dua mangsa ialah penunggang motosikal, Mohd. Jahid Tamim, 17 dan pemboncengnya, Mohd. Ehwan Samingan, 19.
Mohd. Jahid bekerja di sebuah bengkel motosikal manakala Mohd. Ehwan bertugas di sebuah kilang perabot dan mereka berasal dari Parit 11 Ban 4, Sungai Burung, Tanjong Karang, Selangor.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Petaling Jaya, Deputi Supritendan Wan Aziz Wan Hussein berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam ketika mereka menaiki motosikal jenis Modenas Kriss bernombor pendaftaran WJF 2639 menuju ke Kuala Selangor dari arah Sungai Buloh.
Katanya, semasa tiba di tempat kejadian, motosikal yang mereka naiki terbabas hingga menyebabkan mereka tercampak dan menggelongsor ke lorong laju di jalan raya bertentangan.
``Dipercayai ketika itu sebuah kereta Proton Wira merempuh mereka. Tidak sampai seminit selepas itu, sebuah Proton Wira lain turut merempuh kedua-dua mangsa sekali lagi.
``Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,'' katanya.
Menurut Wan Aziz, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
Katanya, polis juga telah mengambil kenyataan seorang pemandu Proton Wira pagi ini manakala seorang lagi pemandu masih belum tampil ke balai polis.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mengetahui di mana pemandu kereta Proton Wira BEG 8923 agar menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Sulaiman Othman di talian 03-7956 2222.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian juga diminta menghubungi polis untuk memberi maklumat.