BAITULMAKDIS - Menteri Pertahanan Israel, Encik Shaul Mofaz, semalam mengumumkan beliau telah mengarahkan askar askar Israel agar menangguhkan operasi merobohkan saumaah (rumah ibadat) Yahudi di Jaluran Gaza.
'Saya memutuskan untuk menangguhkan kerja-kerja meroboh sehingga pemerintah membuat satu keputusan Ahad ini,' kata Encik Mofaz menerusi radio pemerintah.
'Ini bermakna pengunduran (askar) dilewatkan sehari, tetapi ini masih boleh diterima kerana semuanya berjalan mendahului jadual,' tegas beliau.
Sambil menarik perhatian bahawa beliau dibesarkan dalam keluarga yang patuh kepada ajaran agama, Encik Mofaz berkata beliau secara peribadi menentang operasi merobohkan saumaah.
Pengumuman Encik Mofaz itu dibuat sehari selepas Mahkamah Agung Israel memutuskan bahawa askar-askar boleh merobohkan kesemua 20 saumaah di petempatan yang sudah dikosongkan peneroka Yahudi di Jaluran Gaza.
Kabinet Israel minggu lepas meluluskan rancangan hendak merobohkan 20 saumaah itu kerana bimbang ia akan dicemarkan oleh penduduk Palestin.
Mahkamah, yang bertindak atas rayuan pemimpin agama Yahudi, mengarahkan pemerintah Israel agar meminta Penguasa Palestin mengekalkan saumaah berkenaan.
Tetapi apabila pihak Palestin enggan berbuat begitu, mahkamah memutuskan adalah lebih wajar saumaah itu dirobohkan saja.
Mahkamah sewaktu menolak rayuan pemimpin agama Yahudi, akur dengan pendirian pemerintah bahawa membiarkan saumaah itu utuh akan mendedahkan rumah ibadat itu kepada kemungkinan dicemarkan penduduk Palestin.
Bagaimanapun, pagi semalam bunyi letupan kuat kedengaran daripada petempatan Gush Katif di selatan Gaza, menandakan proses merobohkan sudah bermula, kata seorang jurucakap tentera. - AFP, Reuters.