PEKAN 10 Sept. - Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itulah yang dibuktikan oleh seorang pemuda yang cacat anggota kedua-dua kaki dan tangan sejak lahir tetapi masih mampu berdikari dengan mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar.
Mohd. Khairi Othman, 30, tidak pernah menjadikan kecacatan anggota untuk meraih simpati orang ramai dan juga ahli keluarganya bagi meneruskan kehidupan harian.
Khairi yang bergerak seperti lipas kudung mampu mengusahakan enam sangkar ternakan ikan patin dan tilapia di Sungai Pahang di Kampung Pulau Manis sejak tiga tahun lalu.
``Pada mulanya saya tidak yakin dapat mengusahakan ternakan ikan memandangkan keadaan saya yang cacat tetapi saya juga terfikir apa yang akan saya lakukan untuk menyara diri sendiri.
``Sampai bila saya harus bergantung kepada kepada ibu bapa saya dan adik-beradik yang lain. Akhirnya saya bertekad untuk mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar dengan bermodalkan RM1,200,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Melihat kecacatan anggota badannya, tentu ramai yang tidak percaya bagaimana dia mampu bergerak pantas menuruni tebing sungai menuju ke sangkar ikan setiap hari untuk memberikan ikan makan atau menangkapnya untuk dipasarkan.
Malah dia juga boleh mengemudikan bot menggunakan enjin sangkut bagi melakukan kerja-kerja pembersihan dan membaiki sangkar yang rosak.
Ketabahan dan kegigihan Khairi mengusahakan ternak ikan dalam sangkar itu mendapat perhatian Pengarah Urusan Kurnia Setia (Kurnia Setia) Berhad, Datuk Halim Ibrahim yang mendermakan sumbangan RM5,000 dan sebuah kerusi roda.
Menurut Khairi, dia mendapat bekalan benih ikan patin dari Jengka, Maran dan menternak 600 ekor ikan itu di setiap sangkar.
Anak keempat daripada 11 beradik itu menggunakan perut ikan dan palet sebagai makanan ikan patin yang mengambil masa antara enam hingga sembilan bulan untuk membesar sebelum boleh dipasarkan.
Beliau menjual ikan berkenaan kepada peraih serta tempahan daripada penduduk dengan harga RM5 sekilogram.
Selain menternak ikan, Khairi yang menamatkan pelajaran di tingkatan tiga, turut mempunyai kebolehan menjahit baju setelah mengikuti kursus jahitan di Cheras, Kuala Lumpur.
``Saya juga mengambil upah menjahit dengan membantu kakak saya dan mendapat pendapat purata RM400 sebulan,'' katanya.
Katanya, dia akan menggunakan sumbangan dari Kurnia Setia itu bagi membesarkan ternakan ikan dengan menambah beberapa sangkar lagi.
Sementara itu menurut Halim, sumbangan itu adalah sebahagian daripada aktiviti kebajikan Kurnia Setia, syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Didunia semua adalah mampu dilakukan,walaupun cacat kita perlu berusaha melakukan,adalah dikatakan berusaha tangga kejayaan,jadi kita harus jadikan cerita ini sebagai petunjuk dan semangat kita untuk berusaha melakukan sesuatu kerja,berusaha selagi kita mampu..