Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Dr. Mahathir tidak minat isu letak jawatan


Guru

Status: Offline
Posts: 890
Date:
Dr. Mahathir tidak minat isu letak jawatan



KUALA LUMPUR 24 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak mahu campur tangan dengan urusan ahli-ahli Parlimen yang meminta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz meletak jawatan.

Bekas Perdana Menteri memberitahu, terpulang kepada ahli-ahli Parlimen untuk memutuskannya.


``Saya hanya bimbang mengenai kesan permit import (AP) kereta yang terlalu banyak terhadap pasaran kereta nasional di Malaysia.


``Sama ada mereka (ahli-ahli Parlimen) mahu seseorang meletak jawatan, saya tidak berminat,'' katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat sulung Persatuan Pakar Perubatan Untuk Keamanan dan Tanggungjawab Sosial di Fakulti Perubatan Universiti Malaya di sini hari ini.


Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Mohd. Amin Jalaludin.


Semalam ahli-ahli Parlimen marah dan kesal dengan tindakan Rafidah yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat untuk menjawab pelbagai soalan mengenai AP kereta.


Sementara Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang meminta Rafidah meletak jawatan kerana kegagalan untuk hadir ke sidang Dewan Rakyat bagi menjawab segala soalan yang berkaitan dengan isu AP kereta.


Dr. Mahathir memberitahu, beliau tidak mahu AP kereta yang terlalu banyak digunakan untuk melemahkan industri automotif nasional.


Jelasnya, sekiranya itu berlaku ia merupakan sesuatu yang salah.


``Saya juga tidak melihat kelulusan AP kereta yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen sebagai sesuatu yang akan menjejaskan industri automotif nasional.


``Pemberian AP kereta kepada ahli-ahli Parlimen tidak salah kerana mereka hanya mengimport sebuah kereta bagi seumur hidup untuk kegunaan sendiri,'' katanya.


Dr. Mahathir memberitahu, satu AP kereta yang diberikan kepada ahli-ahli Parlimen bukan untuk mereka berniaga tetapi untuk kegunaan sendiri.


Jelas beliau, AP kereta juga diberikan kepada rakyat Malaysia yang bekerja atau belajar di luar negara untuk membawa masuk kereta yang mereka gunakan.


``Kebanyakan kereta yang dibawa masuk melalui AP kereta yang diluluskan kepada ahli-ahli Parlimen serta rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di luar negara adalah kereta terpakai,'' katanya.


Sementara itu mengenai gerakan keamanan di dunia, Dr. Mahathir memberitahu, gerakan itu perlu dilaksanakan memandangkan, dunia kini semakin primitif.


Jelasnya, gerakan-gerakan keamanan perlu digerakkan bagi mengubah pemikiran orang ramai dan pemimpin-pemimpin dunia.


``Sekiranya gerakan keamanan ini tidak dilaksanakan, masyarakat dunia akan berhadapan dengan masalah yang besar terutama peperangan yang berpanjangan,'' katanya.


Menurut beliau, Yayasan Kepimpinan Perdana akan menganjurkan Sidang Kemuncak Keamanan pada akhir tahun ini.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard