BAJET 2006 yang akan dibentangkan pada 30 September ini dijangka akan terbentuk berdasarkan kepada asas-asas berikut:
l Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan swasta (private consumption) yang selama ini menjadi penjana pertumbuhan sepanjang tiga suku tahun yang lalu dan merupakan 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
Tidak seperti jangkaan sesetengah pihak dalam pasaran, saya tidak menjangkakan sebarang kenaikan kadar faedah pada bajet kali ini. Ekonomi kita sedang dalam peralihan daripada ekonomi yang dijana oleh faktor-faktor luaran kepada ekonomi yang digerakkan oleh domestik.
Oleh itu, adalah amat mustahak untuk kerajaan menyediakan langkah-langkah yang akan meningkatkan satu-satunya penjana pertumbuhan yang boleh dijangkakan iaitu penggunaan swasta.
Sentimen pengguna terjejas akibat kenaikan harga petrol yang meningkat sebanyak 20 peratus sejak tahun lalu, serta kenaikan harga barangan. Walaupun kadar inflasi menunjukkan bahawa Indeks Harga Pengguna pada bulan Ogos ialah sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun, saya percaya kadar inflasi tersembunyi jauh lebih tinggi untuk golongan yang berpendapatan rendah dan menengah (kira-kira sekitar 5 peratus tahun ke tahun).
Saya sejak 19 Ogos yang lalu dan sekali lagi pada 30 Ogos telah merayu kepada kerajaan melalui media supaya menghentikan kenaikan harga pam petrol dan diesel kerana ia menyukarkan golongan yang berpendapatan rendah, meningkatkan inflasi dan seterusnya menjadikan Malaysia kurang kompetitif.
Mungkin hanya satu kebetulan, kerajaan pada 1 September mengumumkan tidak akan menaikkan harga bahan api tersebut sehingga hujung tahun serta beberapa langkah lain seperti mengurangkan cukai jalan dan menangguhkan kenaikan kadar tol sehingga 2007 (yang hanya akan melibatkan kenaikan tol Jambatan Pulau Pinang).
Saya juga telah mencadangkan satu rombakan terhadap keseluruhan program subsidi petroleum yang sekarang ini merugikan golongan berpendapatan rendah dan membebankan kerajaan tetapi menguntungkan syarikat-syarikat pengeluar petroleum setiap kali berlaku kenaikan harga minyak mentah.
Saya menghujahkan bahawa minyak adalah sumber nasional dan Malaysia merupakan pengeksport minyak. Ini menjadikannya satu sistem yang merugikan apabila orang ramai dan kerajaan dihukum dengan kenaikan harga pam petrol dan diesel apabila negara menerima lebih banyak rizab asing sementara syarikat-syarikat pengeluar minyak mencatatkan `keuntungan luar biasa' setiap kali harga minyak mentah naik.
Saya kemudian mencadangkan satu penyelesaian jangka panjang dengan memperkenalkan `cukai keuntungan tidak terduga' ke atas syarikat-syarikat pengeluar minyak. Ini adalah untuk mengurangkan beban kerajaan dan mengekalkan harga pam petrol dan diesel.
Di Brunei, harga pam petrol dan diesel lebih daripada di Malaysia dan keuntungan minyak dikongsi oleh rakyat yang tidak dikenakan cukai pendapatan serta mendapat bekalan air, elektrik dan pendidikan tinggi secara percuma. Ini adalah sesuatu yang sangat ekstrem memandangkan Brunei mempunyai jumlah penduduk yang kecil tetapi sekurang-kurangnya harga pam petrol dan diesel di negara ini tidak harus terus meningkat setiap kali harga minyak mentah naik.
Saya juga percaya bahawa harus ada satu rombakan terhadap pembiayaan konsesi lebuh raya di negara ini bagi menyelesaikan sepenuhnya masalah kenaikan tahunan kadar tol serta beban yang ditanggung oleh kerajaan membayar ganti rugi kepada konsesi lebuh raya itu setiap kali kenaikannya ditangguhkan.
Menjadi satu kelaziman projek-projek infrastruktur di Amerika Syarikat dibiayai dengan bon 99 tahun. Di negara ini, jangka masa bon atau pembiayaan untuk konsesi lebuh raya dipanjangkan sehingga 30 tahun. Ini mengakibatkan kenaikan tol tahunan dalam sesetengah perjanjian konsesi kerana pulangan trafik tidak mampu memenuhi pembayaran semula hutangnya.
Saya percaya penyelesaian kepada isu ini ialah dengan memanjangkan pembiayaan konsesi lebuh raya kepada lebih 50 tahun. Ini akan membolehkan aliran tunai yang mencukupi untuk memenuhi pembayaran semula hutang berkenaan tanpa perlu menaikkan kadar tol setiap tahun.
Langkah ini hanya akan berjaya sekiranya kerajaan menjamin pinjaman itu terutama jika lebuh raya atau projek infrastruktur itu adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh negara. Selain itu, di bawah amalan sekarang kerajaan sebenarnya menjamin sebahagian daripada pinjaman pemegang konsesi itu dengan membayar ganti rugi atas penangguhan kadar kenaikan tol atau kekurangan pulangan trafik.
(Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu dipetik oleh akhbar pada 23 September lalu mengatakan sejumlah RM38.5 bilion telah dibayar kepada pemegang konsesi dalam tempoh dua dekad lalu dengan RM1.7 bilion dalam bentuk tunai dan selebihnya pengecualian kadar faedah atas pinjaman yang disokong oleh kerajaan, dividen cukai dan lanjutan tempoh konsesi).
Antara langkah yang dijangka akan diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan perbelanjaan swasta termasuklah:
- Memotong sumbangan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 2 peratus. Ini tidak akan menambahkan kos kepada kerajaan;
- Pemberian bonus sebanyak dua bulan secara ansuran kepada kakitangan awam;
- Memperkenalkan semula Elaun Kos Sara Hidup (COLA) untuk kakitangan awam;
- Rebat cukai yang lebih tinggi daripada RM350 kepada RM500 dan menaikkan jumlah pendapatan yang melayakkan rebat daripada RM35,000 kepada RM45,000;
- Potongan cukai untuk anak dinaikkan daripada RM1,000 seorang kepada RM1,200;
- Potongan cukai peribadi dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000;
- Menaikkan potongan atas perbelanjaan perubatan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM10,000;
- Membenarkan potongan bulanan untuk pinjaman perumahan daripada akaun KWSP selama tiga bulan; dan
- Mengubah kadar cukai perseorangan dan korporat sehingga 2007 termasuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
* Kerajaan sedang berusaha untuk merasionalkan sektor kewangan swasta
Adalah sesuatu yang jelas bahawa matlamat kerajaan ialah untuk mengurangkan belanjawan defisit pada tahun 2005, daripada jangkaan 4.3 peratus daripada KDNK pada 2004 kepada 3.8 peratus pada tahun ini dan 3 peratus pada tahun depan.
Bagaimanapun pada masa yang sama, kerajaan tidak mungkin akan mengurangkan perbelanjaan pembangunan secara drastik kerana sektor luaran Malaysia sedang menguncup.
Oleh itu, saya meramalkan perbelanjaan pembangunan akan dikekalkan pada tahap yang munasabah iaitu RM30 bilion setahun dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) daripada RM33.4 bilion dalam RMK-8 (termasuk perbelanjaan melebihi bajet dan rangsangan fiskal tambahan).
Apabila perbelanjaan pembangunan dijangka kekal tinggi, bagi mengurangkan defisit bajet, kerajaan berkemungkinan akan mengambil langkah-langkah berikut:
i. Merombak liabilitinya yang berkos tinggi;
ii. Meningkatkan pulangan pelaburannya seperti mengukuhkan keberkesanan syarikat milik kerajaan;
iii. Menaikkan asas percukaiannya;
iv. Mengkaji semula struktur tarif;
v. Mengawal perbelanjaan tidak kritikal, dan
vi. Mengurangkan subsidi terpilih.
Kerajaan telah mengumumkan ia mungkin akan memperkenalkan GST pada tahun 2007. Ini dijangka akan meningkatkan pulangan pendapatannya dan membolehkan kerajaan memotong cukai pendapatan dan korporat yang akan menggalakkan perbelanjaan swasta.
Kerajaan telah pun mencapai bajet seimbang bagi suku pertama tahun 2005 (defisit hanya RM68 juta berbanding RM8.1 bilion pada suku pertama 2004). Bajet seimbang itu berpunca daripada peningkatan pulangan pendapatan sebanyak 20.5 peratus kepada RM47.7 bilion (yang berkemungkinan datang daripada sistem percukaian taksiran sendiri yang baru diperkenalkan serta kutipan yang meningkat daripada Jabatan Kastam Diraja di bawah pimpinan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib).
* Menyokong perbelanjaan sektor swasta
Walaupun kerajaan melihat kepada sektor swasta untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada tahun 2006, saya tidak menjangkakan sebarang potongan menyeluruh cukai korporat daripada 28 peratus yang dikenakan sekarang. Ini kerana kerajaan juga secara beransur-ansur cuba mengurangkan defisit belanjawan.
Bagaimanapun, pada sisi yang lain saya meramalkan kerajaan akan menyediakan beberapa insentif kepada individu bagi menggalakkan perbelanjaan swasta dalam menghadapi pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Salah satu daripada langkah itu, saya merasakan kerajaan akan mengurang atau memotong cukai pendapatan dalam bentuk elaun. Sekarang ini pendapatan dalam bentuk elaun dikenakan cukai atas kadar yang sama dengan pendapatan asas.
* Galakan berterusan ke atas industri sederhana kecil (IKS) dan pelaburan langsung asing (FDI)
Dalam isu-isu berkaitan pelaburan, kerajaan mungkin akan menaikkan had kemasukan di bawah Akta Penyelarasan Industri 1975 daripada RM2.5 juta kepada RM10 juta. Bagi menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D), pengurangan insentif berganda bagi perbelanjaan R&D mungkin akan ditetapkan kepada dua peratus daripada jualan keseluruhan.
Bajet 2005 tidak menyediakan insentif yang lebih banyak untuk FDI. Thailand mempunyai tempoh pengecualian cukai untuk FDI yang lebih menarik iaitu selama 13 tahun berbanding 15 tahun di Malaysia. Ada kemungkinan jurang perbezaan ini akan ditangani pada Bajet 2006 ini.
* Tamparan kenaikan cukai mungkin akan dirasai oleh sektor-sektor yang tidak menguntungkan
Selain industri pertanian dan asas tani, sektor-sektor dan subsektor yang mungkin menguntungkan kerajaan termasuklah teknologi maklumat, penjagaan kesihatan, minyak dan gas, perbankan Islam dan sekuriti yang didukung oleh aset.
Saya menjangkakan kesan besar kenaikan cukai jualan dan duti eksais akan ditanggung oleh apa yang dikatakan subsektor membazir - perjudian, alkohol dan tembakau.
Sebagai kesimpulannya, saya menjangkakan Bajet 2006 ini nanti adalah satu belanjawan untuk golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah - melalui potongan caruman KWSP serta cukai pendapatan elaun. Selain itu, sektor pertanian berkemungkinan akan menerima peruntukan yang besar manakala beberapa langkah mungkin akan diperkenalkan untuk menggalakkan penggunaan biodiesel dan NGV.
* Ahmad Saifuddin Morat ialah pakar ekonomi di sebuah syarikat sekuriti lulusan London School of Economics.