SHAH ALAM 28 Sept. - Proton Holdings Bhd. menegaskan, pembentukan usaha sama dengan Volkswagen AG (VW) tidak akan menghalangnya mengekalkan kawalan ke atas pengurusan dan pegangan saham majoriti dalam syarikat pengeluar kereta nasional, Proton.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Azlan Hashim berkata, syarikat pengeluar kereta Jerman itu telah menyatakan keinginan mahu mengambil alih kepentingan tertentu dalam Proton dan rundingan antara kedua-duanya masih berterusan.
Katanya, rundingan tersebut mengambil masa untuk dimuktamadkan kerana ia membabitkan isu yang kompleks dan keinginan kedua-dua pihak untuk membentuk usaha sama jangka panjang.
Kedua-dua pihak memiliki senarai kemahuan masing-masing tetapi mutlaknya nanti ialah struktur pengurusan syarikat akan menentukan sama ada Proton boleh meraih manfaat daripada rantaian nilai, katanya lagi.
``Proton bukan syarikat biasa sebaliknya Proton mempunyai tempat istimewa pada hati rakyat Malaysia dan dianggap aset nasional.
``Setiap keputusan akhir akan sentiasa berasaskan kriteria itu (aset nasional),'' katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan kedua syarikat induk pengeluar kereta nasional itu di sini, hari ini.
Mohd. Azlan berkata, Proton tidak terlibat dalam perundingan dengan lain-lain syarikat pembuat kereta seperti yang dilaporkan oleh media.
``Bagaimanapun, pintu kita sentiasa terbuka untuk apa-apa cadangan,'' katanya.
Sementara itu mengenai pengganti Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Mohd. Azlan berkata, pihaknya memiliki senarai awal mengandungi antara 30 hingga 40 nama individu tempatan dan asing sebagai calon pengganti.
``Jawatankuasa khas telah dilantik untuk menyediakan senarai calon dan sekarang sedang melakukan proses senarai pendek calon. Bila tiba masanya nanti kami akan umumkan,'' kata beliau.
Ditanya apakah Proton juga mengharapkan perlindungan berterusan dalam Dasar Automotif Negara (NAP) yang bakal diumumkan, Mohd. Azlan berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang galakan dan sokongan.
``Namun, kami maklum mengenai aliran global bahawa untuk berjaya dalam industri automotif, kita mesti berupaya menghasilkan kereta yang dimahukan oleh pengguna dan pada harga yang sesuai,'' katanya.
Penguasaan pasaran kereta Proton menurun kepada 44 peratus tahun lalu, berbanding 60 peratus pada tahun 2002 berikutan saingan sengit dalam industri automotif tempatan dengan pembukaan pasaran.
Proton mencatat kerugian sebanyak RM12.4 juta pada suku pertama berakhir 30 Jun berbanding keuntungan bersih RM166.5 juta pada tahun sebelumnya akibat jualan yang menurun dan kos komponen yang meningkat.
Mohd. Azlan turut mengumumkan langkah memanggil sebanyak 2,996 pemilik Proton Waja yang dikeluar dan dijual antara bulan Jun 2004 hingga bulan Januari 2005.