NUR ASHIKIN diapit oleh ibu dan bapanya, Jeleha dan Mohammed Thajudin di UPM, Serdang baru-baru ini.
PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jambul, Pulau Pinang, Nur Ashikin Mohammed Thajudin, 13, muncul juara Pertandingan Pidato Bahasa Jerman Ke-3, menewaskan peserta lain yang lebih matang.
Dia turut mencatat sejarah sebagai pemidato termuda peringkat pertengahan johan keseluruhan pidato bahasa Jerman di Malaysia.
Pada tahun lalu, Nur Ashikin muncul johan kategori permulaan bahas Bahasa Jerman.
Pertandingan dianjurkan Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.
Nur Ashikin berjaya menewaskan 30 peserta lain, termasuk yang lebih dewasa daripadanya.
Sengit
Menurut Nur Ashikin, dia membuat persiapan awal untuk menyertai pertandingan tersebut kerana peringkat pertengahan lebih sukar dan memerlukan penguasaan bahasa yang tinggi pada tahun ini.
``Sesungguhnya saya tidak menjangka akan menang pada tahun ini kerana persaingannya sungguh sengit.
``Setelah diumumkan memenangi dua kategori itu, saya masih tidak percaya sehinggalah salah seorang hakim memberitahu bahawa sebutan dan pemilihan perkataan yang saya sampaikan tepat, fasih dan lancar,'' katanya.
Menurut Nur Ashikin, kejayaan yang sungguh bernilai itu hasil daripada usaha gigihnya dan tunjuk ajar daripada guru bahasa Jerman, Marion Urbanski daripada Pertubuhan Malaysia Jerman di Pulau Pinang.
Sebanyak 30 peserta yang bertanding terdiri daripada pelajar sekolah dan siswazah institusi pengajian tinggi tempatan.
Antaranya ialah pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), UPM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Institute of Diplomacy and Foreign Relations Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar, Negeri Sembilan dan Goethe-Institute Kuala Lumpur.
Nur Ashikin menyampaikan pidato bertajuk Kepentingan Air yang disampaikan dalam bahasa Jerman.
Dia menerima hadiah piala pusingan, telefon bimbit keluaran terbaru Siemens, tiket penerbangan pergi dan balik ke Bangkok, Thailand dan cenderamata tajaan beberapa syarikat Jerman di Malaysia.
Menurut bapanya, Mohammed Thajudin Abdul Muthallif, pertandingan pidato bahasa Jerman pada tahun ini sungguh mencabar kerana ramai peserta berbakat bertanding.
``Saya kagum dengan semangat dan kejayaan yang ditunjukkan anak saya,'' katanya.
Sementara itu, ibunya, Jeleha Abdul Razak, berkata, dia memberi sokongan jitu kepada anaknya dan sanggup menemaninya ke UPM.
``Sebagai ibu, saya perlu memberi sokongan kepada anak saya yang telah membuat banyak persiapan untuk pertandingan kali ini,'' ujarnya.