Padah sokong Kit Siang -- Dua ahli Parlimen Barisan Nasional dirujuk ke Kabinet
Oleh HELMI MOHD. FOAD dan HERMAN HAMID
KUALA LUMPUR 3 Okt. - Dua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan dirujuk kepada Kabinet kerana menyokong usul Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang supaya diambil tindakan ke atas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu dibuat kerana tindakan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) dan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) adalah bertentangan dengan dasar parti.
Ini kerana, katanya, pada dasar dan amalannya, penyokong-penyokong kerajaan tidak boleh menyokong usul yang dibawa oleh wakil pembangkang.
``Kita dah sampaikan perkara ini kepada dua ahli BN itu dan mereka telah menyampaikan rasa kesal serta memohon maaf di atas perbuatan yang dilakukan.
``Mereka tahu bahawa ini adalah perbuatan yang menyalahi dasar parti,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Parlimen di sini, hari ini.
Perkara itu tercetus apabila Kit Siang hari ini mengemukakan usul untuk merujuk Rafidah kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan ekoran surat penjelasan mengenai isu permit import (AP) kenderaan oleh Ketua Setiausahanya, Datuk Sidek Hassan yang diedarkan kepada semua ahli Parlimen hari ini.
Ahli-ahli Parlimen menyifatkan surat itu sebagai menghina mereka.
Ini adalah kali pertama dalam sejarah Parlimen seorang ketua setiausaha bertindak menghantar surat penjelasan kepada wakil rakyat berhubung isu berbangkit mengenai kementerian berkenaan.
Lazimnya, jawapan lisan atau bertulis kepada soalan-soalan ahli-ahli Parlimen hanya boleh dijawab oleh menteri atau timbalannya atau setiausaha Parlimen - bukannya KSU.
Perkara itu berlaku dalam tempoh 24 jam sebelum Rafidah dijangka memberikan penjelasan berhubung semua isu yang dibangkitkan oleh ahli Parlimen sebelum ini, esok.
Usul Kit Siang turut disokong oleh Mohamed dan Bung Moktar, tetapi ditolak oleh Timbalan Speaker, Datuk Dr. Yusof Yacob yang menangguhkan persidangan selama 15 minit bagi membuat keputusan.
Sebelum ini Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S. Sothinathan digantung tiga bulan dari jawatan kerajaan sehingga 22 September lalu kerana mengkritik dasar kerajaan di dalam Dewan Rakyat.
Sidek enggan mengulas ketika dihubungi Utusan Malaysia malam ini.
Najib yang juga Ketua Whip BN berkata, kedua-dua penyokong kerajaan itu menjelaskan bahawa tindakan mereka itu adalah berikutan surat tersebut yang dirasakan tidak wajar dikeluarkan.
``Bagaimanapun dalam apa jua keadaan mereka tidak boleh menyokong usul yang dibawa parti pembangkang.
``Rasa tidak puas hati mereka itu haruslah dirujuk kepada pihak kerajaan,'' jelasnya.
Ditanya mengenai sebarang bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas Mohamed dan Bung Moktar, Najib berkata, mereka telah meminta maaf.
``Sebarang tindakan selanjutnya perlu diputuskan Kabinet,'' tegasnya.
Di Dewan Rakyat, Kit Siang menyatakan, sebarang jawapan yang diberikan di Parlimen perlu dilakukan oleh menteri sendiri dan bukannya ketua setiausaha kementerian.
``Apa hak KSU untuk tulis surat itu? Dia sudah menghina dewan yang mulia, sebab itu dia patut dirujuk kepada jawatankuasa hak dan keistimewaan.
``Dia tidak mempunyai sebarang urusan untuk tulis surat ini secara langsung kepada anggota-anggota Parlimen, apa hak seorang pegawai kerajaan untuk campur tangan dalam hal urusan Parlimen?'' katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2006 hari ini.
Surat bertarikh 30 September yang ditandatangani oleh Sidek itu menjelaskan isu yang dibangkitkan di Parlimen berhubung kesan daripada pengeluaran senarai anggota Parlimen yang telah menerima AP kereta bagi kegunaan sendiri.
Surat itu menyebut, dalam jawapan kepada soalan Kit Siang sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah di Unit Perkhidmatan Perdagangan MITI, Salimi Sajari telah mengepilkan senarai penerima AP di kalangan ahli Parlimen tanpa pengetahuan timbalan menteri atau mana-mana pegawai kanan kementerian itu.
Bung Mokhtar berkata: ``Kenapa menteri tidak tandatangan surat itu. Kenapa suruh orang dia jadi mangsa.
``Saya percaya perkara seumpama ini pertama kali berlaku dalam sistem berparlimen kita dan saya setuju usul Ketua Pembangkang itu kita terima supaya perkara ini kita selesaikan dengan segera.
``Ini soal maruah Parlimen kita, kita kena pertahankan.''
Mohamed Aziz pula menyatakan tindakan Mohd. Sidek itu seolah-olah ingin membodoh dan mempermain-mainkan ahli Parlimen.
``Ini bukan masalah Ipoh Timur, bukan masalah pembangkang, (sebaliknya) ia adalah masalah maruah Parlimen, `' katanya.
Esok, jika berlaku, Rafidah dijangka hadir di Dewan Rakyat bagi menjelaskan soal isu AP serta dakwaan mengenai rekod kehadirannya yang buruk ke Parlimen.