KUALA LUMPUR 3 Okt. - Penyanyi yang popular dengan lagu Biso Bonar, Hattan menafikan dakwaan menyanyikan lagu Negaraku tidak mengikut versi sebenar pada pembukaan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini, Sabtu lalu.
Hattan atau Mohd. Shukri Shahabuddin, 41, ketika dihubungi hari ini berkata, beliau menyanyikan lagu itu seperti biasa dan ia turut dinyanyikan oleh hampir 90,000 penonton di stadium tersebut.
Malah, penyanyi itu juga mendakwa tidak melakukan sebarang kesilapan dari segi melodi dan lirik sewaktu mendendangkan lagu itu.
``Saya tidak menokok tambah melodi ataupun lirik semasa menyanyikan lagu Negaraku. Cuma lagu itu dinyanyikan tanpa diiringi muzik.
``Saya sudah menyanyi lebih 20 tahun. Jadi, saya tahulah sama ada lagu yang saya nyanyikan itu sumbang ataupun tidak.
``Sebelum saya nyanyikan lagu itu, saya terlebih dulu menyanyikannya di depan Datuk Seri Ibrahim Saad (Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia).
``Beliau (Ibrahim) kata okay. Saya cuma ikut arahan sahaja. Lagu itu sengaja dinyanyikan tanpa iringan muzik dengan harapan dapat menimbulkan semangat patriotik yang lebih tinggi di kalangan penonton.
``Takkanlah itupun salah?'' soal penyanyi berstatus duda itu lagi dalam nada lantang.
Isu itu ditimbulkan oleh seorang penyokong kerajaan yang menyanyikan semula baris akhir lagu itu seperti yang dinyanyikan Hattan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Wakil Barisan Nasional Sri Gading, Datuk Mohamed Aziz menyifatkan tindakan Hattan itu sebagai menghina lagu kebangsaan dan penyanyi itu patut `dihumban ke laut.'
Kata Hattan, dia kesal apabila Mohamed mengeluarkan kenyataan seperti itu yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.
``Saya kesal apabila orang seperti saya dijadikan bahan politik. Seorang Yang Berhormat tidak sepatutnya menghukum dan mengeluarkan kenyataan seperti itu.'' katanya.
liriknya sama cuma melodinya berlainan skit... mungkin ia boleh dijadikan perubahan kpd melodi lagu negaraku... tapi tak la ketara mana spt yg di war-war oleh Datuk Mohd Aziz tu... minor je kesilapan dia... Agong yg berdiri sama pon tak ckp apa2....