SAKIT: Ahmad Fuad terlantar di Hospital Alor Star kerana cedera di mata akibat terkena percikan bunga api ketika bermain bersama rakan-rakannya di Lorong Kenangan, Tongkang Yard, Alor Star kelmarin.
ALOR STAR: Seorang murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Seberang Perak Baru di sini cedera di mata kiri terkena percikan bunga api, malam kelmarin, dipercayai mangsa pertama bermain mercun dan bunga api pada musim perayaan ini.
Ahmad Fuad Ahmad Saad, 9, menjalani pembedahan dua jam bermula jam 10.30 pagi di Hospital Alor Star (HAS) semalam dan keadaannya dilaporkan stabil.
Murid dari Lorong Kenangan, Tongkang Yard itu dikatakan terkena percikan bunga api ketika bermain bersama dua rakannya selepas bertadarus al-Quran di masjid berdekatan, kira-kira jam 12 malam kelmarin.
Bapa mangsa, Ahmad Saad Mohamad, 46, berkata beliau mengesyaki sesuatu apabila anaknya pulang ke rumah dengan menutup mata kirinya.
"Apabila saya tarik tangannya, saya nampak mata kirinya berdarah. Saya terus membawanya ke unit kecemasan Hospital Alor Star," katanya semalam.
Ibu mangsa, Hairunisa Nahood Ghani, 39, berkata kejadian itu di luar jangkaan kerana anaknya pendiam.
Kedua-dua ibu bapanya tidak mahu membuat laporan polis mengenai kejadian itu.