info ni di ambil dari berita harian...semoga roh nya dicucuri rahmat dari Allah
SEDIH: Siti Zubaidah, Mohd Zakiquddin (kiri) dan Saifullah menatap gambar Ismail.
Ismail Din ‘pergi’ secara mengejut Oleh Zainuri Misfar dan Serimah Mohd Sallehuddin BELASUNGKAWA ISMAIL DIN (1951-2005) SEMASA menghadiri pratonton filem Anak Mami Kembali, dua minggu lalu, Ismail Din, kelihatan ceria dan tidak ada langsung menunjukkan tanda dia mempunyai sebarang tanda masalah kesihatan serius. Bagaimanapun, dia meminta diri kerana terpaksa meninggalkan majlis itu lebih awal kerana ada urusan penting, katanya. Tengah malam Selasa lalu, Ismail menghembuskan nafas terakhirnya di Makkah secara mengejut ketika beliau sedang bertasbih di depan Kaabah. Ismail dikhabarkan meninggal dunia sewaktu mengerjakan ibadat umrah di Makkah sejak ke sana pada Jumaat lalu. Allahyarham Ismail meninggal dunia dalam usia 54 tahun. Allahyarham berangkat ke Tanah Suci bersama isteri pertamanya, Kalsom Idris, 58. Difahamkan, arwah memang sudah lama berhasrat menunaikan ibadat puasa di sana setelah gagal berbuat demikian tahun lalu gara-gara sibuk dengan kerjaya lakonannya. Namun, ini bukanlah kali pertama Ismail menjejakkan kaki ke sana, kali terakhir Allahyarham berkunjung ke Makkah pada Mei lalu bersama isteri keduanya, Siti Zubaidah Abidin, 40. Allahyarham meninggalkan lima anak - Syuja’uddin, 16, Tohirattun, 15, Mohd Saifullah, 12, Makqiuddin, 8, dan Mohd Zakiquddin, 4, hasil perkahwinan bersama Siti Zubaidah dan tidak dikurniakan anak dengan isteri pertamanya. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Makkah, kelmarin. Biarpun hidup bermadu, hubungan Kalsom dan Siti Zubaidah cukup rapat malah mereka juga tinggal sebumbung di Keramat, Kuala Lumpur. Menurut Siti Zubaidah, Allahyarham berada dalam keadaan sihat sebelum berangkat. Malah, dua hari sebelum Ismail meninggal dunia, dia ada menelefon bertanyakan khabar mereka sekeluarga. “Semasa Allahyarham telefon tempoh hari dia berada dalam keadaan sihat walaupun dia menghidap kencing manis. Saya menerima panggilan telefon daripada Kalsom mengenai kematiannya tengah hari tadi (kelmarin). Saya dapat bercakap dengan Kalsom sekejap jadi tidak tahu apa punca sebenar kematiannya. Berita lanjut mengenai pemergian suami hanya akan saya ketahui setelah Kalsom pulang 15 Oktober ini. “Allahyarham seorang yang pendiam, berbeza dengan watak yang selalu dibawakan dalam filem. Dia juga seorang yang penyayang dan rapat dengan anak-anak, sebab itu saya tidak sampai hati untuk memberitahu dua lagi anak iaitu Syuja’uddin dan Tohirattun kerana mereka sedang menduduki peperiksaan,” katanya dengan linangan air mata ketika ditemui di kediamannya, petang kelmarin. Tohirattun pelajar Maktab Rendah Sains Mara yang sedang menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) beberapa kali menelefon ibunya pada hari pemergian bapanya untuk menyampaikan salam. Kata Siti Zubaidah, dia dan suaminya dijadualkan berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan fardu haji tahun awal depan setelah anak sulung mereka, Syuja’uddin menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selama 41 tahun jadi anak seni PELAKON hebat Ismail Din, berasal dari Jalan Langgar, Alor Star, Kedah. Sejarah seninya agak panjang. Dia mula aktif dalam kegiatan teater, malah Ismail juga adalah antara pengasas kumpulan Angkatan Seni Alor Star (ASAS) yang ditubuhkan pada 1964. Kumpulan ini menghimpunkan ramai anak seni kelahiran Kedah, seperti Zulkifli Zain, Noorjaya, Morad Ibrahim dan Abu Bakar Omar. Ismail juga pernah berlakon dalam pementasan bertajuk Alang Rentak Seribu arahan Morad dan teater Warung pada awal kemunculannya sebagai pelakon. Menerusi kaca TV, dia pernah muncul dalam ratusan judul drama sama ada dalam bentuk episod, bersiri atau telemovie. Hampir semua drama lakonannya boleh dianggap berjaya menambat hati penonton seperti yang terbaru berjudul Sephia, Pondok Buruk, Nur Ramadhan, Kiranya Aku Tahu, Mengejar Pelangi, 2+1.com, Salam Taj Mahal, Orang Gaji, Cinta Korporat, Menantukah Yang Bersalah, Seruling Kasih, Darling...Aku Benci Tapi Rindu dan Sesuci Kelopak Merubah Sofia. Drama yang lakonannya meninggalkan kesan mendalam ialah Pondok Buruk dan Pondok Buruk 2 yang menggandingkan dia dengan Fauziah Nawi. Menerusi filem pula, nama Ismail Din mula meniti populariti apabila menjadi barisan utama pelakon Anak Mami arahan Prof Madya Razak Mohaideen. Terdahulu, Ismail sudah membintangi filem Penyair Malam arahan Kamal Ishak dan filem Gemerlapan terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB). Ismail adalah pelakon asal drama Anak Mami yang disiarkan menerusi slot cerekarama TV3 sebelum diangkat menjadi filem oleh Razak. Persefahaman yang baik menyebabkan dia sering menjadi pilihan Razak untuk membintangi filem arahannya sama ada dengan memegang watak kecil atau memikul peranan besar - semuanya dilakukan dengan baik seperti Mami Jarum, Hingga Hujung Nyawa dan Potret Mistik. Sebagai anak jati Kedah, loghat utaranya memang kedengaran cukup menjadi. Faktor itu jelas menyumbang kepada kejayaan siri anak mami. Selepas Anak Mami The Movie, Ismail terus diundang beraksi dalam versi Anak Mami, Anak Mami Junoir dan Anak Mami Kembali. Filem lain yang turut dibintangi Ismail menerusi arahan Razak ialah Tangkai Jering, Hingga Hujung Nyawa, Lady Boss dan Mistik. Dia juga pernah berlakon dalam filem Anaknya Sazali arahan Jack Ad-Din, Idola (Aziz M Osman) dan Embun (Erma Fatima). Anak Mami Kembali filem terakhir FILEM arahan Prof Madya Razak Mohaideen, Anak Mami Kembali yang bakal ditayangkan di seluruh negara pada musim Aidilfitri ini adalah filem terakhir lakonan Ismail Din. Dalam filem terbitan Metrowealth Movies Productions (MMP) itu, beliau membawa watak bapa kepada pelakon Fasha Sandha, suami yang takut pada isteri (lakonan Sheila Mambo). Razak ketika dihubungi mengaku terkejut dan sedih dengan berita kematian Ismail sambil menyifatkan beliau sudah kehilangan seorang pelakon yang bagus dan seorang rakan karib yang jujur. “Allahyarham mempunyai disiplin kerja yang cukup bagus dan dia mesti tepat sampai di lokasi mengikut jadual penggambaran. Dia suka berkongsi pengalaman dengan pelakon baru. Saya minat ambil dia sebab bakatnya yang baik dan dia mampu membawa dialek utara dengan berkesan. “Kali terkahir saya jumpa dia kira-kira dua minggu lalu, ketika pratonton Anak Mami Kembali. itulah kali terakhir berbual dengannya dan dia ada beritahu hendak buat umrah. Saya juga nampaknya tidak dapat lagi mengambil dia berlakon selepas ini. Allahyarham sebelum ini juga sudah bersetuju untuk berlakon untuk filem terbaru arahan saya, Nana Tanjung yang bakal dibuat selepas hari raya nanti,” kata Razak Penerbit MMP, David Teo juga mengaku terharu atas pemergian Ismail kerana dia seorang pelakon yang bagus tetapi jarang diberi publisiti oleh media massa. “Ismail seorang pelakon yang senang dibawa berbincang, ada disiplin tinggi dan pendiam. Tetapi dia mudah mesra apabila mula berbual dengannya. Pelakon muda harus mencontohi Ismail dari segi disiplin dan mutu lakonan,” kata David.
__________________
There Can Be Triumph Without Loss, No Victory Without Suffering, No Freedom Without Sacrifice
hari ini semua anak anak allahyarham adalah di antara senarai penerima sumbangan utk anak yatim Pekida Wilayah Persekutuan, di Masjid Keramat petang semalam.
SESUNGGUHNYA KAMI TELAH KEMUKAKAN TANGGUNGJAWAB AMANAH (KAMI) KEPADA LANGIT DAN BUMI SERTA GUNUNG-GANANG (UNTUK MEMIKULNYA), MAKA MEREKA ENGGAN MEMIKULNYA DAN BIMBANG TIDAK DAPAT MENYEMPURNAKANNYA, DAN MANUSIA SANGGUP MEMIKULNYA…."