PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tuntutan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya memohon maaf dan ganti rugi fitnah RM100 juta kerana mendakwanya terbabit aktiviti homoseksual.
Dalam jawapan terhadap notis tuntutan yang diserahkan oleh peguam Anwar kepadanya pada 23 September lalu, Dr Mahathir berkata, beliau mempertahankan dirinya jika dihadapkan ke mahkamah.
Jawapan kepada Anwar melalui Tetuan SN Nair & Partners yang dihantar jam 9.30 pagi semalam, Dr Mahathir mendakwa, keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes liwat itu menggambarkan Anwar terbabit dalam aktiviti homoseksual.
Notis jawapan itu juga memetik penghakiman yang berbunyi... “kami mendapati bukti untuk mengesahkan bahawa perayu, (Anwar dan Sukma Darmawan Sasmitaat Madja) terbabit dalam aktiviti homoseksual dan kami lebih cenderung untuk percaya bahawa kejadian yang didakwa berlaku di Trivoli Villa memang berlaku...”
Notis melalui Tetuan V K Lingam & Co itu juga mengatakan bahawa keputusan akhir oleh mahkamah tertinggi di negara ini membuktikan Anwar terbabit dalam aktiviti homoseksual.
Ia juga menjelaskan Anwar pernah mengemukakan saman terhadap Mahathir berhubung perkara dan perkataan yang sama serta saman fitnah itu ditolak Mahkamah Tinggi pada 30 Ogos 1999.
Rayuan Anwar Ibrahim berhubung kes itu di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan juga ditolak dengan alasan Mahkamah Tinggi tidak silap dalam mengemukakan isu justifikasi kes.
Mahathir juga memohon supaya jika sebarang perintah interloktori diambil terhadapnya seperti yang tertera dalam notis tuntutannya, sebarang dokumen dan tarikh perbicaraan hendaklah dimaklumkan kepadanya terlebih awal.
Dalam notis tuntutannya, Anwar menuntut ganti rugi fitnah RM100 juta dan menuntut Mahathir meminta maaf atas perkataannya yang berbaur fitnah.
Notis itu menjelaskan pada 9 September lalu dalam sidang media di Suhakam yang diadakan di Menara Tun Razak, Dr Mahathir didakwa antara lain dipetik sebagai menyatakan beberapa perkara yang memfitnah Anwar berbunyi:
“Saya tidak boleh ada peliwat dalam Kabinet saya” (“I cannot have a sodomiser in my cabinet).”
“Bayangkan seorang Perdana Menteri yang gay... tiada siapa akan selamat” (“Imagine a gay PM… nobody will be safe).”
Nair berkata, anak guamnya mengatakan perkataan yang disebut Mahathir dilaporkan secara berleluasa oleh agensi berita, agensi berita asing, media cetak dan media elektronik yang disebarkan di seluruh Malaysia dan dunia.
Katanya, anak guamnya menyatakan bahawa pada 2 September 2004, beliau dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan meliwat oleh Mahkamah Persekutuan.
“Mahkamah Tinggi juga pada 18 Ogos lalu memutuskan tuduhan salah laku seksual yang terkandung dalam buku 50 Dalil adalah tidak benar dan dinafikan bertujuan memfitnah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya anak guamnya menuntut Mahathir dalam masa 14 hari membuat tuntutan maaf bertulis kepada Anwar untuk disiarkan dalam akhbar utama berbahasa Inggeris dan bahasa Melayu serta media elektronik pilihan Anwar.
Anwar juga menuntut bayaran ganti rugi RM100 juta yang mana jika gagal berbuat begitu, Anwar akan mendapatkan perintah menghalang (injunksi) Mahathir dan agensinya daripada terus memfitnah Anwar.
wrote: AKHIRAT PENENTU KEBENARAN...MAHATHIR KAH BENAR.....ATAU.....ANWAR KAH BENAR...DEPAN ALLAH TAK BOLEH NAK PUSING DAH!!!... -- Edited by along pauh at 21:55, 2005-12-21