Malapetaka alami bagaikan menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Malapetaka itu berskala besar dan kesannya terhadap manusia juga amat besar. Banyak yang terkorban dan kerosakan yang menyusul melangkau jumlah berbilion-bilion ringgit.
Mungkin dengan kekerapan kejadian bencana alam yang meningkat ia akan menimbulkan kepercayaan bahawa Bumi semakin tidak selamat untuk manusia. Musibah yang menimpa tidak mengira status bangsa dan agama. Musibah boleh terjadi di negara maju mahupun di negara miskin atau sedang membangun.
Gempa bumi yang berlaku di sekitar Pakistan dan India baru-baru ini merupakan bencana alam terkini. Sebelum itu taufan Katrina, Rita dan tsunami di Sumatera telah membaham sejumlah besar nyawa baik kanak-kanak mahupun orang tua.
Bagaimanapun ahli sains tidak melihat fenomena bencana alam berskala besar itu sesuatu yang luar biasa. Misalnya ahli seismologi, Seth Stein dari College of Arts and Sciences, Northwestern University Weinberg berpendapat semua kejadian bala itu merupakan perkara biasa, setidak-tidaknya yang berkaitan dengan gempa bumi.
Alasan beliau adalah kekerapan kejadian gempa bumi selama berjuta tahun lalu masih mengikut corak biasa. Fenomena gempa bumi cuma memperlihatkan bagaimana bumi kita berfungsi.
Berdasarkan pada rajah di atas kegiatan gempa bumi sentiasa berlaku pada Bumi, cuma skalanya yang berbeza. Gempa bumi daripada magnitud kuat hingga sangat kecil sering berlaku, gempa jenis ini tidak bersifat memusnahkan nyawa atau harta benda, kalau ada pun ia tidak menjejaskan dengan teruk mutu hidup manusia yang menjadi mangsanya. Gempa bumi adalah kegiatan alamiah yang berlaku pada lapisan kerak bumi. Ia telah berlaku sejak zaman silam lagi.
Mengikut Survey Geologi Amerika Syarikat (USGS), pada puratanya terdapat sekurang-kurangnya satu kejadian gempa bumi bermagnitud 8 mengikut skala Richter berlaku setiap tahun dan lebih kurang 17 kejadian gempa bumi bermagnitud 7-7.9 berlaku sepanjang tahun 1990-an.
Tempat yang paling cenderung dilanda gempa bumi di planet kita ialah Alaska. Alaska berada pada wilayah seismos yang paling aktif sekali berbanding dengan kawasan-kawasan lain.
Alaska pada hampir setiap tahun akan mengalami gegaran bumi bermagnitud 7 atau lebih, sementara tiada gempa bumi yang dalam kategori besar telah berlaku pada persekitaran Dakota Utara sejak zaman silam.
Gempa bumi yang terbesar berlaku pada plat-plat persempadanan di mana dua plat berinteraksi. Gempa bumi terbesar berlaku tatkala satu plat menyonsor ke bawah plat yang satu lagi. Mengikut Seth Stein lagi, kedua-dua gempa bumi yang berlaku di Sumatera dan Pakistan kerana terjadinya seperti yang dijelaskan di atas.
Gempa bumi di Sumatera berlaku tatkala plat India menyonsor ke bawah plat Burma dan gempa bumi di Pakistan pula terjadi kerana plat India menyonsor ke bawah plat Eurasia.
Bagaimana pula dengan kejadian ribut dan taufan berskala besar? Ribut dan taufan berskala besar seperti yang kita ketahui boleh memaksa sebuah populasi dalam sebuah wilayah itu berhijrah atau dipindahkan ke tempat lain yang lebih selamat.
Ada pendapat mengatakan bahawa ribut dan taufan berskala besar kian meningkat jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada masa lalu. Antara tahun 1970 hingga 1994 terdapat purata sembilan ribut tropika di Lembangan Atlantik. Tujuh di antara ribut itu bertukar menjadi puting beliung, iaitu angin ribut yang berkelajuan melebihi 135 batu sejam.
Pada tempoh 1995 hingga 2004 jumlah ribut melonjak sebanyak 14 dan 12 puting beliung. Tahun 2005 menjadi rekod, kerana bukan sahaja jumlah ribut telah meningkat tetapi skala dan intensitinya juga bertambah. Data-data berkenaan itu dibekalkan oleh National Center for Atmospheric Research (NCAR).
Saintis yang membuat analisis mendapati terdapat putaran tempoh gelombang dan sepi sepanjang beberapa dekad sejak pertengahan tahun 1800-an. Kejadian ribut bukan satu fenomena serentak dalam satu tempoh melainkan ia adalah kali pertama bagi ramai manusia yang telah menghuni di persisiran pantai semasa ribut taufan itu berlaku.
Ketua Analisis Cuaca NCAR, Kevin Trenberth berpendapat bahawa terdapat beberapa faktor yang menyumbang ke arah terjadinya fenomena bencana alam itu. Faktor-faktor itu termasuklah fenomena pemanasan global, keberubahan alam dan juga El-Nino.
El-Nino ialah fenomena pemanasan perairan pada belahan pantai timur Amerika Selatan yang berlaku secara alamiah setiap empat hingga 12 tahun. Apabila El-Nino muncul maka suhu lautan kian meningkat. Ia pula mengubah putaran atmosfera lalu membina pemanasan berlebihan pada Samudera Atlantik. Ketika permukaan Samudera Atlantik memanas, lebih banyak air laut menyejat ke atmosfera, lantas memberi laluan kepada pembinaan ribut tropika.
Sementara pemanasan global pula diyakini sebagai menyumbang kepada terbentuknya puting beliung dengan cara yang sama, mula-mula permukaan samudera dipanaskan dan seterusnya menyumbang banyak lembapan ke atmosfera.
Begitulah dinamik proses di atmosfera mahupun di lapisan kerak luar Bumi. Semua aktiviti alamiah itu menyumbang menjadi fenomena gempa bumi mahupun ribut dan taufan. Itu sebahagian kegiatan alamiah Bumi. Bukan perkara luar biasa seperti anggapan sesetengah pihak.