KLUANG 21 Okt. - Semua aktiviti Kementerian Pelajaran dan Pergerakan Pemuda UMNO dibekukan sehingga Ahad ini sebagai menghormati Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dan seorang Exco pergerakan itu, Mat Mazlan Abu yang meninggal dunia semalam.
Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, adalah tidak manis aktiviti yang dirancang diteruskan ketika seluruh negara pilu dengan kematian isteri Perdana Menteri.
Begitu juga dengan Pemuda, jelas beliau, mereka kehilangan ahli Exconya, Mat Mazlan, 41, yang terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 30, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Putrajaya, semalam.
``Tidak sesuailah buat program sekarang dengan pemergian dua-dua insan tersebut,'' katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan raya bagi pihak Felda kepada peneroka di sini hari ini.
Allahyarham Endon, 64, menghembuskan nafas terakhir di Kompleks Sri Perdana pukul 7.50 pagi semalam setelah bertahun-tahun berjuang melawan penyakit barah payu dara.
Allahyarham Mat Mazlan pula ialah Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Pergerakan Pemuda yang juga Ketua Pemuda UMNO Pasir Gudang.
Namun Hishammuddin berkata, pembekuan itu tidak melibatkan program bantuan kemanusiaan ke Pakistan yang dilanda gempa bumi pada 8 Oktober lalu.
Pasukan peninjau empat anggota Pemuda UMNO sudah berada di sana dan penghantaran pasukan lengkap dari Malaysia bergantung kepada maklum balas yang diterima nanti, jelas beliau.