Dua minggu telah berlalu umat Islam berpuasa bermakna kita sekarang dalam suasana memperingati Nuzul Quran (turunnya al-Quran). Peringatan ini bagi kita kaum Muslimin amat penting kerana kita memperingati peristiwa besar yang terjadi pada sekitar abad yang lalu.
Kita memperingati Nuzul Quran kerana kita berkeyakinan bahawa al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah satu-satunya rahmat yang sebesar-besarnya kepada umat manusia di seluruh alam.
Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad pertama kalinya ketika baginda sedang berkhalwat di Gua Hira' pada malam Jumaat bertepatan pada tanggal 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran beliau atau pada tanggal 6 Ogos 610 M.
Kebanyakan ulama menetapkan bahawa pada hari penghabisan turunnya al-Quran ialah hari Jumaat 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah atau tahun ke-63 dari tarikh kelahiran Nabi.
Pada saat itu Nabi s.a.w. sedang berwukuf di Padang Arafah dalam menyelenggarakan haji yang terkenal dikenali haji wada'. Kebanyakan ulama tafsir menetapkan bahawa sesudah hari itu tidak ada lagi al-Quran diturunkan untuk menerangkan hukum dan nabi pun setelah haji wada' selama 18 hari, baginda wafat iaitu pada tanggal 12 Rabiulawal tahun 11 Hijrah.
Ayat yang terakhir menurut pendapat Jumhur adalah surah al-Maidah ayat 3 yang bermaksud:
Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-ucapkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu.
Kalau kita sekarang ini sedang berbicara tentang Nuzul Quran, sangat wajarlah bagi kita sebagai hamba Allah s.w.t. secara khusyuk dan rendah hati menghayati suasana malam diturunkannya al-Quran sebagaimana yang tersebut dalam surah al-Qadr ayat 1 hingga 5 yang bermaksud;
Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut; Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar!
Demikian juga dalam Surah Ad-Dukhan ayat 3 Allah berfirman yang bermaksud; (Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan kepada malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).
Meskipun kata-kata `malam' disebut dalam al-Quran sebanyak 92 kali, namun khusus untuk malam Qadar ini diberikan kehormatan yang amat tinggi sekali. Ia dinamakan `malam' yang diberi berkat kerana turunnya al-Quran pada malam itu bersama seluruh malaikat di bawah pimpinan malaikat Jibril.
Penghormatan ini berlangsung satu malam suntuk dengan tenang dan aman damai sehingga terbitnya fajar pagi. Sengaja digambarkan oleh Allah s.w.t. dengan kata `salam' akan ketenangan malam yang semalaman itu sebagai kiasan daripada mesej dan isi yang dibawa oleh kitab suci iaitu perdamaian.
Inilah satu penghormatan yang begitu besar yang pernah terjadi dalam coretan seluruh sejarah kemanusiaan. Justeru Lailatulqadar sentiasa segar dan hidup setiap tahun sepanjang perjalanan sejarah manusia untuk memperingati peristiwa turunnya wahyu Allah s.w.t.
Di dalam surah al-Qadr juga disebut malam Lailatulqadar melebihi seribu bulan. Ini bermakna amal yang dilakukan pada semalaman Lailatulqadar melebihi pahalanya daripada amal seribu bulan. Banyak ulama menjelaskan seribu bulan itu bukanlah memperhitungkan angka yang tepat, tetapi dimaksudkan kemuliaan Lailatulqadar berbanding dengan segala hari dan malam yang lainnya, iaitu suatu saat yang tidak terhingga ketinggian nilainya.
Apakah hikmat Allah tidak menyebut mana satu hari akan berlakunya Lailatulqadar. Berdasarkan pada hadis nabi, Lailatulqadar akan jatuh pada tarikh ganjil di akhir bulan Ramadan iaitu 21, 23, 25, 27, dan 29. Ia terjadi pada salah satu malam itu dan hanya Allah sahaja yang mengetahui waktunya yang tepat.
Panduan inilah yang sering digunakan oleh umat Islam untuk mengisi hari-hari itu dengan meningkatkan amal-amal yang soleh. Mereka optimis dan mempunyai harapan yang tinggi dan mengharapkan amal yang dilakukan bertepatan dengan Lailatulqadar yang nilai pahalanya ribuan bulan.
* Mohd. Shauki Abd. Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)