MEMANG ramai wanita yang takut kepadanya. Tidak kurang yang beranggapan, ia adalah `zaman gelap' dalam meniti fasa kehidupan sebagai seorang wanita. Mahu atau tidak, jika dipanjangkan usia, tiada wanita yang dapat menolak kehadirannya.
Menopaus atau terhentinya kitaran haid merupakan satu fasa semula jadi apabila wanita menjengah usia lingkungan 50 tahun ke atas. Seseorang wanita dikategorikan menopaus apabila dia tidak lagi mengalami kitaran haid dalam tempoh 12 bulan berturut-turut. Namun, menopaus tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia adalah satu proses yang berlaku secara perlahan-lahan sehingga ia sampai ke noktahnya.
Pada peringkat ini, penghasilan hormon seksual seperti estrogen dan progesteron daripada kilang telur atau ovari akan berkurangan dan lama-kelamaan terus terhenti. Dengan erti kata lain, apabila melangkaui menopaus wanita akan berehat daripada `tugas hakiki' mereka daripada mengalami kitaran haid dan proses kehamilan.
Presiden Persatuan Menopaus Malaysia, Profesor Dr. Nik Nasri Nik Ismail memberitahu, purata usia wanita di negara ini mencapai menopaus ialah 51 tahun. Fakta yang harus diterima oleh setiap wanita ialah kekurangan hormon estrogen dan progesteron akan memberi banyak perubahan dalam diri mereka seperti gangguan pada emosi dan fizikal.
Antaranya, rasa panas, berpeluh-peluh, mudah tersinggung, kemurungan, menangis tanpa sebab dan sebagainya. ``Kekeringan pada faraj yang dialami akibat menopaus mengakibatkan kehidupan seksual terjejas sekali gus rumah tangga mereka goyah.
``Pada jangka masa panjang kemungkinan mereka berisiko menghidap osteoporosis atau kerapuhan tulang, penyakit jantung, kulit berkedut dan keguguran rambut. Selain itu organ seksual seperti buah dada juga semakin mengecut,'' jelasnya.
Gejala yang dialami oleh wanita boleh bermula pada fasa perimenopaus. Fasa ini berlangsung antara empat hingga lima tahun sebelum seseorang wanita menopaus.
``Gejala boleh dialami sebelum menopaus dan apabila haid terhenti ada kebarangkalian gejala tersebut berterusan,'' katanya.
Malangnya, gejala-gejala ini mengambil masa yang tertentu sebelum ia terhenti. Mereka yang tidak mendapatkan bantuan untuk mengatasi gejala ini terpaksa menanggungnya dalam tempoh beberapa lama. ``Sesetengah wanita hanya mengalami gejala ini dalam tempoh antara satu hingga dua tahun, sebahagiannya pula terpaksa menderita sehingga mencecah usia 60 tahun. Ia bergantung kepada individu,'' kata Prof. Dr. Nik Nasri.