BEBAS: Dua pegawai DBKL (kiri depan, belakang) yang ditangkap atas kes menfitnah Datuk Bandar Kuala Lumpur dibebaskan dari Balai Polis Daerah Dang Wangi, semalam.
KUALA LUMPUR: Selepas penulis buku ‘Skandal Seks & Rasuah Ruslin’ dibebaskan kelmarin, dua lelaki pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang turut terbabit dalam siasatan kes dibebaskan dengan jaminan polis pagi semalam.
Pegawai dari Bahagian Perumahan dan Jabatan Pengurusan Penjaja yang tamat reman semalam, dibebaskan kira-kira jam 11 pagi selepas diberi jaminan polis dengan ikat jamin RM10,000 setiap orang.
Kedua-duanya dibebaskan dengan jaminan untuk tempoh 14 hari sementara polis membuat keputusan sama ada mereka didakwa atau dibebaskan terus.
Jurucakap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi mengesahkan pembebasan lelaki itu tetapi enggan mengulas lanjut.
Ketika dibebaskan, lelaki yang diiringi peguam dilihat menaiki dua kereta berasingan dan meninggalkan perkarangan IPD.
Ketiga-tiga lelaki termasuk penulis buku yang menggunakan nama pena Amir Fitri Hakimi ditahan polis bagi membantu siasatan penyebaran buku memfitnah Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ruslin Hassan.
Penulis buku berusia 41 tahun itu itu dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin.
Kes itu terbongkar apabila Timbalan Pengarah Operasi Pelesenan DBKL, Abdul Salim Mansor memperoleh buku berkenaan daripada seorang lelaki tidak dikenali di Jalan Masjid India pada 17 Oktober dan membuat laporan polis tiga hari kemudian.
Buku itu antara lain mendakwa Ruslin sanggup melakukan apa saja untuk merebut jawatan Datuk Bandar dan terbabit dengan beberapa kes penyelewengan.
Sumber berkata, polis masih memburu empat lagi pegawai kanan DBKL dan seorang awam iaitu ahli perniagaan yang dikatakan membeli sebahagian besar buku yang sudah dicetak untuk diedarkan.
“Maklumat awal mendapati, lelaki itu membeli banyak buku dan polis percaya ia untuk diedarkan. Tetapi kami masih menyiasat siapa sasaran mereka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 jika sabit kesalahan.