Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Bukan Cinta Biasa...


Ahli Baru

Status: Offline
Posts: 1
Date:
Bukan Cinta Biasa...


source: http://demipena.blogspot.com/

Apabila kita ingin menyentuh persoalan cinta sesama insan, kebayakkan kita pasti akan terbayang indahnya kasih sayang antara teruna dan dara yang asyik masyuk dengan cinta. Yang dah berpunya mungkin terbayang si jantung hati masing-masing. Mungkin yang lebih hebat imaginasinya akan membayangkan senario siap dengan latar belakangkan tempat-tempat indah dan romantik sambil tersipu-sipu mungkin.

Akan tetapi saya tidak berniat nak menyentuh topik cinta sesama insan dalam konteks seperti atau mungkin yang dibayang-bayangkan diatas tetapi sesuatu yang kebanyakkan kita kadang-kadang terlupa seketika walaupun ianya amat penting. Iaitu kasih sesama saudara yang sama-sama bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah. Atau dengan bahasa yang lebih mudah kasih sayang atau cinta terhadap saudara se-Islam yang lain. Tidak keterlaluan saya rasa andai saya katakan setiap umat Islam perlu belajar dan tahu mencintai dan mengasihi saudara se-Islamnya yang lain dahulu sebelum berani merasa cinta pada insan berlainan jantina kerana ianya melibatkan kesempurnaan iman.

Di dalam al-Quran Allah telah menjelaskan yang setiap umat Islam itu adalah bersaudara, firmann-Nya yang bermaksud:

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.
[al-Hujurat 49:10]

Dan persaudaraan ini sudah pasti melangkaui batas kaum atau bangsa berdasarkan firman Allah yang bermaksud:

Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.[al-Hujurat 49:13]


Tiada garis pemisah dalam persaudaraan Islam walaupun sehalus horizon yang memisahkan langit dan bumi. Allah melihat kemulian seseorang itu adalah pada taqwanya dan bukan warna kulit, kaum, kasta, kaya atau miskin, mazhab yang diikuti atau kelompok-kelompok yang disertai. Itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa persaudaraan Islam adalah bersifat universal.

Sedalam manakah pula kasih sayang dalam kita meniti persaudaraan Islam ? Hadis berikut menjelaskannya. Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a, khadim kepada Rasulullah shallahu a’laihi wasallam, Nabi shalallahu 'alaihi wasallam bersabda :

Tiada beriman sesaorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia menyintai dirinya sendiri. [1]

Bayangkan sendiri betapa akrabnya persaudaraan di atas landasan Islam. Kita dituntut untuk mencintai saudara-saudara kita seperti kita mencintai diri sendiri. Menyayangi saudara-saudara kita yang lain seperti kita sayang pada diri boleh dilihat sebagai kita sentiasa berikan yang terbaik pada saudara-saudara kita sebagai mana kita mahukan yang terbaik.

Bukan susah untuk memanifestasikannya, seseorang yang tidak suka hatinya disakiti sepatutnya berusaha tidak menyakiti hati saudaranya yang lain andai dia faham akan konsep mengasihi saudara se-Islam yang diterangkan hadis tersebut. Konsep ini juga sepatutnya digunapakai sebagai motivasi dan panduan kita untuk mengajak kepada kebaikan dan mengajak saudara-saudara kita meninggalkan perkara-perkara mungkar kerana andai kita tidak mahu mendapat siksa Allah maka sepatutnya kita berusaha menjauhkan saudara-saudara kita dari mendapat kemurkaan Allah. Sebagai bukti rasa sayang, seperti mana kita ingin orang lain menasihati kita dengan cara baik maka kita perlu menggunakan cara terbaik kita dalam mengajak saudara yang lain kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

Andai setiap umat Islam faham sebenar-benarnya dan mengamalkan kasih sayang sebegitu maka keadaan ummah hari sudah pasti akan lebih baik. Tidak perlu kita lihat perbalahan sesama Muslim sehingga membawa kepada kasar mengasari antara satu sama lain. Tidak perlu kita lihat umat Islam bermasam muka atau saling memaki hanya kerana tidak sehaluan dalam sesuatu perkara kecil atau perkara cabang. Tidak perlu kita lihat umat Islam dibiar dizalimi dan ditindas tanpa bantuan kerana andai kita tak mahu diri dizalimi dan ditindas sepatutnya kita tidak membiarkan ianya berlaku pada saudara kita yang lain.

Perlu diingat hadis tersebut berpesan kepada semua orang-orang yang beriman, kasih sayang yang dianjurkan juga meliputi semua orang-orang beriman, bukannya digunapakai hanya untuk kelompok-kelompok yang kita senangi sahaja. Tiada assobiyah atau berpuak-puak di dalam Islam. Maka mari kita sama-sama perbaiki diri dan berusaha kearah kesatuan Islam. Sebelum kita terfikir hendak melakukan sesuatu yang melibatkan saudara kita yang lain kita tanya diri, “adakah ini yang aku mahukan pada diri aku, adakah ini yang Islam mahukan pada diri aku.” Jika jawapannya “tidak” maka jauhilah daripada melakukannya kepada saudara kita yang lain.

Teringat pada pesan ibu saya, katanya “ kalau kita tak suka orang lain buat kat kita macam tu, kita jangan buat kat orang lain macam tu.”

Wallahua’lam bisawab

--------------------------------------------------------------
[1] Diriwayatkan Bukhari dan Muslim (Sahih Muslim Kitab Al-Iman 1/72), Musnad Imam Ahmad, Matan Arb'ain An-Nawawi


__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard