KUALA LUMPUR 11 Nov. - Anggota Jemaah Islamiah (JI), Nordin Mat Top, yang dilaporkan berjaya meloloskan diri sebelum polis Indonesia membunuh Dr. Azhari Husin kelmarin, dilihat sebagai pengganti perancang keganasan yang lebih berbahaya.
Maklumat perisikan memberitahu Utusan Malaysia, Nordin berupaya `mengambil alih' posisi Azhari serta-merta.
Serentak dengan itu, polis Indonesia dan Malaysia mengklasifikasikan Nordin sebagai `pengganas nombor 1' dan melancarkan buruan ke atasnya.
Mengikut rekod yang diperoleh, Nordin adalah perancang utama atau mastermind dalam serangan di Hotel J.W Marriott Jakarta yang membunuh 12 orang pada 5 Ogos 2003.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan memberitahu Utusan Malaysia malam ini: `'Nordin sama bahaya dengan Azhari.''
Tugas utama Nordin ialah merekrut anggota-anggota JI.
Nordin, 38, dan Azhari, 48, turut terbabit secara langsung dalam serangan di Bali pada malam 12 Oktober 2002 membunuh 202 orang, kebanyakannya pelancong Australia .
Akhbar hari ini melaporkan Nordin berjaya melarikan diri beberapa minit sebelum pasukan elit polis Indonesia menyerbu sebuah rumah di Jawa Timur, Indonesia, Rabu lalu. Selain Azhari, dua lagi mayat yang belum dikenal pasti ditemui ekoran serbuan itu. Nordin dikatakan membolosi kepungan polis dengan motosikal setelah menjadikan orang awam sebagai tebusan.
Nordin pernah meninggalkan surat wasiat kepada isterinya rakyat Indonesia, adik kepada pengebom di Bali, Mukhlas.
Dalam wasiatnya beliau menyatakan hasrat untuk berjuang kerana jihad dan sanggup meletupkan dirinya sendiri.
Pendedahan surat itu dibuat oleh Pengarah Cawangan Khas, Datuk Yusuf Abdul Rahman dalam satu seminar di sini sebelum ini, setelah surat berkenaan ditemui oleh pihak berkuasa Indonesia berikutan penangkapan lapan anggota JI 27 Jun tahun lalu.
Yusuf berkata, Nordin, pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menulis surat berkenaan bersama Azhari bertarikh 24 Jun 2003.
Pendedahan itu dibuat Yusuf pada seminar ``Dealing With Terrorism Today: Lessons From the Malaysian Experience'' tahun lalu.
Nordin pernah mengajar di sekolah Luqmanul Hakiem di Ulu Tiram, Johor dan sekolah berkenaan dipercayai telah diasaskan oleh Ketua JI, AbuBakar Ba'asyir, yang kini ditahan polis Indonesia dan sekolah berkenaan pernah mengambil beberapa pelajar yang menjadi anggota JI.
Satu sumber memberitahu Bernama, Nordin adalah berbahaya dan berdasarkan rekod lepas dia akan melawan dalam apa jua keadaan.
Pertemuan Azhari dan Nordin bermula lebih awal lagi setelah mereka melarikan diri ke Indonesia pada awal 2002 berikutan langkah polis Malaysia menjalankan operasi besar-besaran menghapuskan kegiatan pengganas.
Malahan kedua-dua mereka mempunyai fahaman yang sama dalam usaha mewujudkan ``Daulah Islamiyah'' di rantau ini melalui jihad yang dipercayai dibawa oleh Abubakar Ba'asyir.