Betapa Malunya Apabila. Bayangkan apabila Rasulullah s.a.w tiba-tiba muncul mengetuk pintu rumah kita.Baginda datang dengan penuh senyuman dan muka yang bersih di muka pintu. Apa yang akan kita lakukan?
Semestinya kita akan sangat berbahagia mencium tangan dan memeluk erat baginda lantas mempersilakan baginda masuk ke ruang tamu.Kemudian kita tentu akan meminta dengan bersungguh-sungguh supaya baginda tinggal beberapa hari di rumah kita. Baginda tentu tersenyum.
Tapi.. mungkin kita meminta Rasulullah menunggu sebentar di hadapan pintu kerana kita baru teringatkan VCD rated XXX yang ada di ruang tamu dan kita tergesa-gesa memindahkan dahulu VCD itu ke dalam. Adakah baginda akan terus tersenyum?
..Atau kita teringatkan lukisan wanita separuh bogel yang kita pasang di ruang tamu kita sehingga kita terpaksa menyembunyikannya dengan tergesa-gesa.Barangkali kita juga kelam kabut memindahkan kalimah Allah dan Muhammad yang berhabuk ke ruang tamu kita sebagai gantian kepada gambar wanita separuh bogel yang telah kita susupkan. Adakah baginda akan terus tersenyum?
Bagaimana kalau Rasulullah bersetuju menginap di rumah kita?
Barangkali kita teringat kepada anak atau adik beradik kita yang lebih arif tentang lagu-lagu barat yang melalaikan dari selawat dan zikir.Kita tentu berasa malu memikirkan yang keluarga kita tidak mengetahui sirah Rasulullah kerana kelalaian kita mengajar mereka. Adakah baginda akan terus tersenyum?
Barangkali kita lebih malu apabila anak dan keluarga kita tidak mengetahui walau satupun nama ahli keluarga Rasulullah tetapi lebih menghafaz nama-nama artis,penyanyi dan watak-watak kartun.Barangkali kita terpaksa menukar sebuah kamar mandi menjadi satu ruang solat.Barangkali juga kita teringat bahawa anak gadis atau saudara perempuan kita tidak mempunyai koleksi pakaian yang sesuai untuk berhadapan dengan Rasulullah hingga memaksa meminjam pakaian muslimat lain. Adakah baginda akan terus tersenyum?
Belum lagi buku-buku kepunyaan kita dan keluarga kita yang memaparkan gambar artis-artis yang mendedahkan tubuh jua auratnya untuk diratah oleh mata pembaca yang tidak takutkan azab Allah. Belum lagi koleksi kaset-kaset artis pujaan kita dan kaum keluarga kita.Belum lagi koleksi VCD hits popular dan karaoke.Belum lagi dilihat komputer dan laman web mana yang kita gemar melayarinya. Ke mana harus kita singkirkan semua ini demi menghormati Nabi akhir zaman ini?!
Barangkali kita akan merasa malu kepada baginda apabila baginda tahu bahawa kita tidak pernah pergi ke masjid meskipun azan tetap setia menyeru para mukmin untuk tunduk dan memperhambakan diri kepada Allah. Adakah baginda terus tersenyum?
Barangkali kita akan malu kerana pada saat azan maghrib berkumandang kita masih lagi sibuk dengan bola dan TV.Barangkali kita rasa malu kerana kita menghabiskan hampir seluruh masa kita dengan mengadap komputer,chatting dan melayari laman-laman web yang tidak senonoh dan mengghairahkan. Adakah baginda akan terus tersenyum?
Barangkali kita rasa malu kerana keluarga kita tidak pernah mengerjakan amalan-amalan sunat apatah lagi kalau melengahkan amalan fardhu.Barangkali kita akan rasa malu kerana keluarga kita hanya menjadikan Al-Quran sebagai perhiasan dalam almari dan apabila ditanya kenapa tidak dibaca maka kita menjawab ia dibaca apabila ada kematian sahaja. Adakah baginda akan terus tersenyum?
Bayangkan Rasulullah tiba-tiba muncul di hadapan rumah kita..? Apa yang akan kita lakukan?Masihkah kita akan memeluk Kekasih Allah itu dan mempersilakan baginda untuk masuk dan bermalam di rumah kita?
Atau.akhirnya kita dengan berat hati terpaksa menolak kunjungan Rasulullah ke rumah kita kerana hal itu akan membuatkan kita menjadi kelam kabut dan malu!!??
Masihkah baginda akan terus tersenyum di saat itu!!?? Senyuman pedih,senyuman pilu.
Oh,betapa malunya hidup kita di hadapan mata Rasulullah!Kerana disaat inipun Rasulullah mengetahui kelakuan umatnya dengan perkhabaran dari Allah selepas kewafatan Baginda. Agaknya,adakah di saat ini Rasulullah sedang senyum gembira atau sedang berduka atas kelakuan umatnya yang telah melupakan segala pengobanannya selama ini?