Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: SATU CINCIN PERMATA


Senior

Status: Offline
Posts: 114
Date:
SATU CINCIN PERMATA


>Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu.
>Bukan cemburu kerana ibu lebih cantik atau menawan
>dariku. Tapi aku cemburu bila melihat ibu selalu
>membeli barang-barang keperluan dirinya yang pelbagai.
>Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya
>disimpan di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan
>setiap bulan, ibu akan membeli kain ela baru untuk
>dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa
>memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam
>almari. Pakaian ibu cantik-cantik dan sebagai anak
>yang sudah meningkat remaja (14 tahun) aku akui rasa
>cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya
>sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan
>yang baru.
>Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu
>ialah, ibu selalu membazir duit  dengan membeli
>barang-barang kemas yang pelbagai bentuk. Cincinnya
>hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima
>utas. Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang
>satu lagi bulat-bulat bagai kepingan syiling lima
>puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk
>mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan
>semua itu. Aku lihat jiran-jiran ibu juga begitu.
>Kerlipan emas sarat di leher, tangan dan jemari. Aku
>tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau
>keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu.
>
>Yang sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak
>pernah membelikan barang kemas walau sepasang
>anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit hati juga
>kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat
>sekurang-kurangnya sebentuk cincin dari ibu. Biasanya
>cincin yang ibu rasakan sudah lama dipakai, ibu akan
>berikan kepada kakak-kakakku, tetapi tidak aku. Ini
>membuatkan aku betul-betul sakit hati.
>
>"Mak ni, asyik beli rantai...jee...kan mak dah banyak
>rantai.."Aku membebel satu hari bila mak menunjukkan
>seutas rantai yang baru dibeli. Juga secara hutang.
>"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana
>tahu, mungkin berguna satu hari nanti. Lagipun rantai
>ni ayah kamu dah janji lama nak belikan mak
>dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu. "Asyik
>belikan mak....aje. Orang punya takde belikan
>pun..."Aku mencebik. Seharusnya aku anak perempuan
>yang bongsu patut dilebihkan dalam segala hal. Tapi
>ibu tidak pernah bersikap begitu. "Ibu belikan kak yah
>dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu tak belikan apa-apa
>pun..." "Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai
>barang kemas, tunggu dah kerja esok."Begitu selalunya
>ibu membahasakan aku. Sakit hati aku.  Tambah sakit
>hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun
>lebih, ibu menukar rantainya dengan yang lebih besar
>lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku dengan sikap
>ayah.
>
>Lama-lama aku jadi malas untuk melayan sakit hatiku
>lagi. Bila aku terlihat cincin atau rantai baru
>dileher ibu, aku hanya diam saja. Aku tidak mahu
>bertanya apa-apa. Sehinggalah aku masuk ke asrama di
>bandar dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang dari
>asrama, aku lihat ibu masih dengan hobinya mengumpul
>barang-barang kemas.
>
>Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku
>tidak tahu sama ada ibu gembira atau sebaliknya.
>Kerana dalam keluarga belum pernah ada anak-anaknya
>yang berjaya belajar di universiti. Aku tidak kisah
>kalau ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana
>sedari kecil memang cita-citaku untuk ke universiti
>begitu kuat sekali. Kini hasratku itu telah tercapai
>dan  tiada apa lagi yang lebih menggembirakan selain
>kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan
>cemburu andai ibu lebih sayangkan kakak-kakakku atau
>ibu lebih sering membelikan pakaian atau perhiasan
>untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah manja
>sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama.
>Sepanjang tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu
>tidak belikan langsung apa-apa untuk aku. Aku tidak
>perlukan barang-barang kemas begitu dari ibu. Aku
>boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti. Yang
>penting aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari
>kakak-kakakku yang lain.
>
>  Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami
>lemah badan dan pening-pening yang keterlaluan.
>Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas dan ini
>sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku.
>Aku tidak pernah mengadu pada sesiapa walau dengan
>ibu. Kerana aku tidak pernah merasakan ibu akan
>memberi perhatian kepadaku. Sehinggalah aku pitam
>sewaktu beratur mengambil makanan dan hanya tersedar
>bila merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang
>penuh garis-garis halus itu aku tatap pilu dan terasa
>ada getaran dalam dadaku. Betapa aku tidak pernah
>membelek wajah itu sungguh-sungguh sebelum ini. Dan
>baru aku sedari betapa berbezanya wajah ibu kini.
>
>  Aku cuba bersikap seperti biasa bila doctor
>memaklumkan akan keganjilan darahku yang menyebabkan
>ia tidak dapat mengalir senormal mungkin. Penyakitku
>belum diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga
>harus menjalani pembedahan dibahagian buah pinggang.
>Sejak itu ibu  mengunjungiku saban hari. Dia
>membawakan apa-apa saja yang dirasakan menjadi
>kegemaranku. Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat
>pisang makanan kegemaranku aku jadi begitu terharu
>lalu aku menangis teresak-esak. Tapi aku hanya
>menangis dalam diam-diam. Aku terlalu menghargainya
>tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku
>tidak mahu dia melihat aku seperti terlalu berharap
>akan kasih sayangnya.
>
>Saban hari ibu menemani dan menyuapkanku makan, aku
>mula sedar betapa ibu juga menyayangiku, cuma mungkin
>dia tidak atau kurang menunjukkan perasaannya. Aku
>jadi malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku.
>  Beranggapan yang ibu tidak mengendahkanku semata-mata
>  kerana dia tidak pernah membelikan apa-apa untukku.
>   Setiap kali ibu ingin pulang, aku teringin sekali
>memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal
>dan malu untuk melakukannya. Aku hanya mampu mencium
>tangan ibu seperti selalu.
>
>Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari.
>Bukan kerana aku tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia
>menghabiskan wang semata-mata untuk berulang alik dari
>rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar
>sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di
>menengah. Pembedahanku pula terpaksa ditangguhkan
>kerana kekurangan wang. Aku  terpaksa  mendahulukan
>wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi.
>
>Semalam, ibu tidak  mengunjungiku. Hari ini juga
>tidak. Hanya Ayah yang terpacul tengahari itu dengan
>membawa khabar gembira. Wang yang dikumpul telah
>mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila
>aku bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa
>sihat dan tidak dapat datang. Aku menunggu hari esok
>dengan sabar.
>
>Pagi itu aku disorong ke bilik pembedahan.  Aku tidak
>tahu berapa lama pembedahan tersebut. Bila tersedar
>aku melihat wajah ayah dan kedua kakakku di sebelah.
>Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang wajah-wajah
>didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu
>apakah mereka tidak gembira melihat aku selamat
>dibedah.
>
>"Mak mana, ayah?'Aku bersuara perlahan. "Kenapa mak
>tak datang?" Ayah tidak menjawab sebaliknya hanya
>memandangku dengan mata yang mula berkaca.
>
>Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat
>sambil berbisik ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak
>sedar diri selepas itu.
>
>Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak
>dapat diselamatkan setelah parah dilanggar motorsikal
>dari belakang. Aku tidak dapat menahan hiba bila ayah
>menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar dari
>sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar
>motorsikal yang dipandu laju. Ibu dikejarkan ke
>hospital dan sempat menyerahkan bungkusan itu sebelum
>menghembuskan nafas.
>
>Kata ibu, bungkusan itu untuk aku. Tanganku
>terketar-ketar saat membuka bungkusan kain perca itu.
>Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata satu.
>Cincin itu untuk aku. Ibu telah menebus  semula cincin
>itu untuk dihadiahkan kepadaku. Bila aku harus
>menjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih
>belum mencukupi, ibu telah menggadai semua
>barang-barang kemasnya hingga tiada satu yang tersisa.
>Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan kepadaku. Ibu
>bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh
>nanti.
>
>Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin.
>Bukankah itu yang selalu aku harapkan selama ini?
>Adakah ia telah dapat membayar segala rasa iri hatiku
>selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu sepi.
>Aku rasa seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang
>yang amat aku perlukan .Kenapa baru sekarang aku sedar
>segunung intan permata pun tidak akan mampu menandingi
>kebahagian memiliki seorang ibu. Dan segunung intan
>permata juga tidak dapat membayar air mata seorang
>wanita yang telah melahirkan aku.


__________________
eZra
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard