CANBERRA: Beratus-ratus penduduk Australia, khususnya warga kulit putih sekitar Perth di barat negara itu kini memilih untuk memeluk Islam berbanding agama lain, menjadikan bilangan penduduk Islam di negara itu meningkat lebih 40 peratus sejak 1996.
Akhbar The Sunday Times melaporkan semalam, ramai mualaf menganggap Islam mampu menjawab pelbagai persoalan berhubung aspek kerohanian selain menitik beratkan soal kemasyarakatan dan peraturan yang mudah diikuti.
Sekurang-kurangnya 200 warga Perth menjadi mualaf dan tinggal di antara warga Muslim di Australia Barat yang berasal dari 70 negara di Asia Barat, Afrika, Asia dan timur Eropah.
Biro Statistik Australia menyatakan, secara keseluruhan bilangan penduduk Islam negara itu meningkat lebih 40 peratus bagi tempoh 1996-2001.
"Agama Islam menetapkan peraturan bagi setiap aspek kehidupan. Ia mempunyai garis panduan untuk umatnya berkelakuan baik, termasuk kepada mereka di sekeliling. Kitab Injil ada menyatakannya, tetapi kerana terlalu banyak terjemahan, isinya seakan lari.
"Namun paling penting, dalam Islam tidak wujud sebarang perbezaan atau soal hierarki atau mereka yang lebih tinggi daripada saya.
"Semua umat itu sama. Memang Islam ada imam dan pegawai agama lain, tetapi soal kehidupan seharian adalah antara umat Islam dengan Allah," kata mualaf, Axel Cremer, 50.
Malah Cremer atau nama Islamnya Mohammed, sebelum ini sering mengejutkan jemaah di Masjid Rivervale, apabila melintasi dengan bunyi bising motosikal Harley Davidson miliknya.
Tetapi kini, jaket kulit dan imej `ganas' yang dipamerkannya sebelum ini sudah lenyap, sehinggakan ada jemaah yang terkejut melihatnya berubah dan menjadi sebahagian daripada jemaah masjid itu.
"Mereka juga tidak lagi mendengar deruman bising motosikal saya. Saya pun berasa lebih tenteram berbanding sebelumnya," kata Pengarah Urusan sebuah firma ini. – Agensi
Cremer adalah antara beratus-ratus warga Australia Barat yang memilih memeluk Islam biarpun agama itu dan umatnya dikelilingi pelbagai tanggapan negatif selepas kejadian 11 September, 2001. – Agensi
Islam juga katanya adalah satu cara hidup dan bukannya sekadar hidup pada setiap hujung minggu.
"Namun, apa yang paling menarik adalah konsep zakat membantu golongan miskin dengan sepenuh keikhlasan," kata bapa empat anak yang berkahwin dengan seorang wanita Indonesia, tujuh tahun lalu.
Tetapi, dia mengakui mendalami Islam sebelum berkahwin - iaitu bertahun-tahun selepas mengkaji pelbagai persoalan dalam agama lain.
Nicole Banks, 36, pula masih bergelar Muslim biarpun selepas berpisah dengan suaminya, seorang rakyat Mesir.
"Saya tertarik dengan Islam kerana nilai murninya bukan kerana perkahwinan. Kini, saya masih berbangga dapat mempertahankan agama ini biarpun berpisah dengan suami," katanya yang memeluk Islam pada 1999. - Agensi