Penyiaran karikatur hina Nabi bertujuan cetuskan konflik
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Malaysia percaya penyiaran karikatur yang menghina Nabi Muhammad oleh akhbar-akhbar Barat didalangi oleh pihak tertentu bertujuan mencetuskan konflik dengan memburukkan Islam.
Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, pihak berkenaan juga cuba mengalih perhatian masyarakat antarabangsa terhadap banyak masalah yang sedang dihadapi oleh dunia termasuk masalah di Asia Barat, isu senjata nuklear dan masalah-masalah yang perlukan penyelesaian segera.
``Pihak tersebut mempunyai agenda untuk mencetuskan konflik dan menggambarkan Islam agama yang negatif,'' katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan antarabangsa bertajuk `Siapa bercakap bagi pihak Islam? Siapa bercakap bagi pihak Barat'' oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, di sini hari ini.
Syed Hamid berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan akhbar di Denmark dan beberapa negara Barat menyiarkan karikatur yang menghina Nabi Muhammad.
Pada 30 September lalu, akhbar Denmark, Jyllands-Posten mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dengan penyiaran karikatur tersebut.
Sebuah akhbar tempatan, Sarawak Tribune yang turut menyiarkan karikatur itu telah digantung penerbitan sehingga satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Sehubungan itu, Syed Hamid menasihati umat Islam supaya berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap insiden itu.
``Walaupun kita marah, tetapi kita tidak harus mengambil tindakan yang boleh mencemarkan kewibawaan dan nama baik agama kita.
``Kita tidak mahu akibat tindakan kita menyebabkan umat Islam menjadi mangsa dan rugi. Umat Islam perlu mengambil tindakan secara rasional bukan emosional,'' katanya.
Menurut Syed Hamid, umat Islam perlu menyampaikan mesej bantahan yang jelas mengecam tindakan menggunakan kebebasan akhbar untuk menghina dan mencemarkan sesuatu agama.
Beliau berkata, Malaysia sebagai Pengerusi Persidangan Pertubuhan Islam (OIC) juga telah mengeluar nota bantahan berhubung insiden itu minggu lepas.
``Nota bantahan itu ditandatangani bersama oleh Setiausaha Agung Kesatuan Eropah (EU), Javier Soliana; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan dan Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu,'' ujarnya.
OIC katanya, turut menyeru semua pihak tidak memburukkan lagi keadaan sehingga boleh mencetuskan lebih banyak masalah dan konflik.
Syed Hamid berkata, semua pihak perlu mematuhi resolusi PBB yang menyeru masyarakat antarabangsa menghormati budaya warisan dan agama bagi memupuk toleransi, persefahaman dan muhibbah di kalangan masyarakat dunia.
Beliau berkata, kerajaan juga telah menyampaikan bantahan kepada Duta Denmark dan Presiden EU.
``Saya telah bercakap dengan Duta Denmark meminta mereka memberi penjelasan, memohon maaf dan memberi jaminan kejadian itu tidak akan berulang,'' katanya.
Syed Hamid berkata, Duta Denmark menjelaskan bahawa mereka kecewa perkara itu berlaku.
Katanya, Duta Denmark itu turut memberi penjelasan bahawa kerajaan Denmark tidak dapatmendesak akhbar di negara itumemohon maaf kerana mereka sukar menguasai akhbar di negara mereka.
pHiz: masuk akal ke alasan dia bahawa 'sukar untuk control media di negara yg ditadbir sendiri ?' memang besar penipu. Mereka dah cuba memulakan penghinaan secara terang-terangan terhadap Islam. Kalau kita, sanggupkah kita lukis karikatur orang kristian bersalib didada bersama wanita seksi?