Upacara letak kalungan bunga amalan jahiliah, kata Presiden PUM Tue | Aug 01, 06 | 03:04:43 PM Oleh Nyza Ayob KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Hrkh) - Upacara meletak kalungan bunga saban tahun pada Hari Pahlawan (31 Julai) sebagai memperingati jasa para pejuang negara merupakan amalan jahiliah, kata Presiden Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Ustaz Salleh Ahmad. Malahan Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan di bawah Muftinya, Tan Sri Abdul Kadir Talib tidak lama dahulu memutuskan amalan tersebut adalah haram, katanya.
Ustaz Salleh sewaktu dihubungi Harakahdaily menegaskan fatwa tersebut terus kekal walaupun ada pihak termasuk Perdana Menteri pada waktu fatwa itu dikeluarkan, Dr Mahathir Mohamad meminta fatwa pengharamannya ditarik balik.
Jelasnya kerajaan telah melanggar fatwa tersebut saban tahun ketika sambutan berkenaan.
Perkara ini, katanya, bertentangan dengan sikap kerajaan meminta rakyat menghormati Majlis Fatwa, sebaliknya kerajaan sendiri melanggarnya.
"Perbuatan membina patung itu sendiri sudah menggambarkan tidak Islamik dan menyerupai budaya jahiliah. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk memperingati para pahlawan kita.
"Selain tahlil dan bacaan al-Quran, bantuan kepada balu dan ahli keluarga pahlawan juga boleh dilakukan sebagai cara untuk mengenang jasa mereka. Ini lebih baik daripada meletak kalungan bunga," katanya.
Semalam Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi melakukan istiadat meletak kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara sempena Hari Pahlawan, sebagai memperingati wira yang gugur semasa mempertahankan tanah air.