ISLAM adalah agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pedoman dan panduan hidup untuk umat sejagat. Islam menyediakan segala peraturan dan undang-undang menyeluruh untuk mengemudi perjalanan manusia ke arah kesejahteraan dan kebahagiaan hidup.
Antara perkara yang diberi perhatian oleh Islam adalah wanita yang mendapat pelbagai keistimewaan di sisi Islam. Wanita juga adalah antara makhluk yang diciptakan Allah untuk menemani kaum lelaki demi meneruskan kelangsungan hidup ini. Islam memuliakan wanita dengan pelbagai hak dan keistimewaan.
Sebelum kedatangan Islam, wanita tidak mempunyai kedudukan. Mereka tidak dipedulikan sama sekali. Mereka hanya berperanan untuk menguruskan hal ehwal rumah tangga atau penerus keturunan.
Mereka dijadikan kuli atau khadam oleh sesetengah bangsa. Ada juga bangsa yang menganggap kaum wanita sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Kadang-kadang wanita akan diwarisi secara turun temurun sebagai harta pesaka jika ayahnya tidak mempunyai anak lelaki.
Oleh itu, Islam datang memberikan hak wanita untuk hidup di dunia ini. Seterusnya, Islam menganggap perbuatan merampas hak wanita perbuatan zalim yang tidak berperikemanusiaan. Maka, Islam mengharamkan penanaman hidup-hidup anak perempuan. Islam juga mengharamkan sebarang bentuk perbuatan provokasi atau manipulasi yang bertujuan merampas hak wanita. Begitu juga hal yang boleh menjatuhkan maruah mereka.
Dari satu sudut lain, Islam mengangkat wanita sebagai tenaga kerja yang berupaya memberikan sumbangan bermakna kepada masyarakat dengan kemuliaan, kedudukan, kepentingan dan wawasannya dalam meneruskan kelangsungan hidup ini. Islam memberikan kepada wanita hak untuk hidup, menerima harta pusaka, mahar, nafkah, tempat tinggal, makanan dan pakaian. Begitu juga hak lain seperti menuntut ilmu, pemilikan, jual beli dan bekerja berdasarkan kepada kemampuannya, di samping memelihara kehormatan dan kewanitaannya.
Pendek kata, dalam lembayung Islam, wanita hidup dengan penuh kemuliaan dan penghormatan sebagai seorang ibu, isteri, anak, kakak, ibu saudara dan nenek.
Seorang wanita akan menjadi mulia dan terhormat dengan perhiasan Islam yang mewarnai kehidupannya. Dia akan menjadi seorang anak yang salihah lagi taat kepada ibu bapa. Isteri yang taat kepada suami dan hamba Allah yang bertakwa kepada-Nya.
Rasulullah pernah bersabda maksudnya: “Mana-mana isteri yang mati dan suaminya telah reda ke atasnya, maka dia akan masuk syurga.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Al-Quran banyak membicarakan isu wanita. Semuanya menunjukkan betapa Islam memberi perhatian sewajarnya kepada wanita.
Biarpun ada pihak yang membincang dan membahaskan kedudukan wanita dalam Islam. Mereka menganggap Islam menghapuskan hak golongan Hawa. Wanita kononnya hanya barang perhiasan lelaki.
Hakikatnya, dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak).” (Surah al-Baqarah, ayat 228)
Persoalan yang timbul bukan kerana menegakkan kebenaran atau menghapuskan kebatilan. Ia sebaliknya didorong oleh asabiah perkauman, keagamaan atau terpengaruh dengan budaya asing melalui cara mengharuskan sesuatu yang dipandang baik oleh kuasa besar biarpun ia perkara mungkar, lagi keji. Begitu juga, mengharamkan sesuatu yang dipandang baik oleh golongan lemah, biarpun perkara itu sememangnya baik, lagi terpuji. Inilah antara punca yang menyebabkan manusia tidak memandang baik apa yang dipandang baik dan tidak memandang buruk apa yang dipandang buruk. Arus feminisme Barat ini sedang melanda ummah dewasa ini.
Oleh itu, umat Islam wajib berwaspada apabila berdepan dengan aliran feminisme Barat yang banyak menimbulkan kekeliruan dan menggugat keharmonian masyarakat Islam selama ini.
Barangkali inilah maksud daripada amaran Rasulullah saw kepada umatnya. Baginda bersabda bermaksud: “Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih membahayakan bagi lelaki dari kalangan wanita.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Dapat disimpulkan daripada hadis di atas, betapa wanita berupaya mendatangkan bahaya besar kepada sesebuah masyarakat. Wanita juga boleh menimbulkan permusuhan dan peperangan antara satu bangsa dengan bangsa lain. Malah, wanita berupaya mendorong seseorang lelaki untuk melakukan perkara haram.
Demikianlah betapa besarnya fitnah yang dibawa oleh wanita jika mereka tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Oleh itu, Islam sentiasa memelihara maruah wanita dan menjaga mereka daripada terjerumus dalam kancah fitnah besar itu.
Perlu diinsafi bahawa wanita juga adalah antara punca utama kepada kehancuran sesuatu bangsa berdaulat. Dalam hal ini, Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Berhati-hatilah kamu dengan wanita! Maka, sesungguhnya fitnah yang pertama ditimpakan kepada Bani Israil ialah berpunca daripada wanita.” (Hadis riwayat Muslim)
Maka, tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa Islam yang diutuskan Allah swt datang untuk menyelamatkan kaum wanita daripada sebarang penindasan dan kezaliman. Seterusnya, memelihara maruah mereka sebagai insan yang mempunyai kepentingan dan hak kewajipan di dunia ini. Ia juga bagi mengembalikan keadilan yang sepatutnya dimiliki oleh mereka.
Islam menegaskan bahawa lelaki dan wanita adalah sama di sisi Allah dari segi balasan pahala dan dosa, hak untuk hidup dan sebagainya.
Ciri perbezaannya antara lelaki dan wanita cuma berdasarkan fizikalnya dan peranan yang terpikul.
Sehubungan itu, Allah swt berfirman maksudnya: “Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu sama ada lelaki atau perempuan (kerana) sesetengah kamu (adalah keturunan) daripada setengahnya yang lain.” (Surah Ali Imran, ayat 195)
Jelas, bahawa peranan wanita bukan sekadar melahirkan zuriat yang bakal mewarisi kesinambungan tamadun manusia. Malah, wanita yang sebenarnya pembina dan penjana generasi baru yang bakal mewarisi tampuk pemerintahan negara pada masa depan.
__________________
Tanamkan Azam dan semangatmu Setinggi Bintang Dilangit dan Rendahkan Hatimu Serendah Mutiara Di Laut...
Poligami cara Rasulullah lindungi martabat wanita Siti Shamsiah Md Supi Pegawai Penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia
5 Jun 2003
ADA berpendapat apabila isu poligami dibangkit dan diperbahaskan, kesimpulan yang boleh dibuat ialah lelaki menyenanginya manakala wanita mencemuhnya. Hakikatnya, kita perlu menyedari bahawa apabila poligami diamalkan, seorang lelaki akan terbabit bersama sekurang-kurangnya dengan dua wanita. Itulah pembabitan paling minimum dalam pelaksanaan poligami. Adakah di sini kita akan memberi justifikasi bahawa kedua-dua wanita ini akan mencemuh pelaksanaan poligami? Lazimnya, yang akan mencemuh adalah isteri yang ‘senior’, manakala isteri yang ‘junior’ sekurang-kurangnya akan mengatakan “I have no comment!”, kecualilah isteri yang junior ini tidak mengetahui lelaki yang dikahwininya itu bukanlah bujang.
Maka mungkin lebih diterima sekiranya kita menyimpulkan isu poligami ini sebagai isu yang lazimnya memang disenangi oleh kaum lelaki dan sebahagian kaum wanita saja yang menolak pelaksanaannya, manakala sebahagian wanita yang lain pula amat menyokongnya. Ini kerana dari segi praktikalnya kaum wanita jugalah yang menyempurnakan pelaksanaan poligami.
Bagaimanapun, ada juga golongan wanita yang menerima secara rasional hakikat poligami sebagai suatu perkara yang diharuskan oleh syarak. Dan apabila terbabit dalam pelaksanaan ini, mereka akan meminggirkan perasaan yang emosional dan rasa kurang selesa.
Jika dilihat melalui perspektif sosiobudaya masyarakat kita, pelbagai faktor poligami diamalkan.
Lazimnya, kita hanya merujuk poligami berlaku kerana fitrah lelaki yang mahu memiliki lebih daripada seorang isteri. Kenyataan ini memang ada benarnya dan ini diakui oleh beberapa lelaki yang penulis temui. Namun begitu, sebenarnya banyak lagi sebab dan sukar untuk kita buat satu kesimpulan umum mengapa poligami diamalkan kecuali jika kita melakukan kajian terperinci. Lantaran itu apa saja faktor ia perlu dilihat secara saksama kerana itulah yang menjadi sebab berlakunya poligami di Malaysia.
Selain lelaki yang berkahwin ini mempunyai naluri semula jadi untuk menghimpun sejumlah isteri dan ‘jatuh cinta sekali lagi’, faktor lain ialah kesihatan isteri, isteri tidak mampu menyambung zuriat, bekerja di luar daerah dan perniagaan adalah di antara sebab poligami diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia.
Ada juga kes yang dirujuk kepada penulis bagaimana poligami disebabkan kompromi persetujuan di antara ibu dan anak lelakinya. Lelaki ini tadi sudah mempunyai pilihannya sendiri sebagai calon isteri, tetapi si ibu berkeras supaya anak lelakinya turut mengahwini calon menantu pilihan ibu tadi. Dalam usia yang sangat muda, lelaki ini terpaksa menanggung lebih tanggungjawab demi mendapatkan restu daripada si ibu dalam kehidupannya. Bagi kes terpencil sebegini, penulis tidak merasakan lelaki muda ini selesa dengan kehidupannya yang terpaksa berpoligami dan kemungkinan berlaku konflik dalam dirinya bagaimana ingin membahagiakan orang yang terpaksa dikahwininya dan pada masa sama, apakah nasib isteri yang menjadi pilihan si ibu tadi?
Juga tidak dinafikan poligami dilaksanakan kerana faktor ingin membantu wanita yang malang. Sekalipun, alasan ini tidak dapat diterima oleh sebahagian pihak, tetapi ia tetap wujud dan seharusnya diambil kira. Pihak yang menafikan alasan ini berpendapat bahawa ada pilihan lain sekiranya seseorang lelaki itu benar-benar ingin membantu wanita malang.
Persoalannya, wanita malang ini adalah insan biasa yang dijadikan Allah bersama naluri semula jadi seorang manusia. Mereka mempunyai perasaan untuk berkasih-sayang, menerima perlindungan serta kehendak batiniah dan semuanya ini tidak dapat diberikan secara alat, persatuan atau khidmat nasihat semata-mata. Tetapi daripada seorang manusia yang bergelar suami. Itulah yang diamalkan dalam poligami Rasulullah yang di antara tujuan baginda untuk memberi perlindungan dan martabat yang tinggi terhadap status wanita.
Mungkin ada pembaca yang tersinggung jika penulis nyatakan sesetengah poligami tidak dapat dielak disebabkan godaan kuat daripada wanita yang tidak mempedulikan status lelaki yang disukainya, sama ada masih bujang atau berkeluarga. Mungkin dengan kejelitaan, harta dan kerjaya yang dimilikinya, wanita tadi mampu mencairkan kesetiaan si lelaki terhadap isterinya. Tetapi, inilah di antara hakikat yang berlaku di kalangan masyarakat kita.
Agak mengejutkan juga apabila penulis dimaklumkan ada lelaki yang berpoligami disebabkan mereka mahu mendapatkan ‘kos melepas’ dalam kehidupan. Mengahwini beberapa wanita yang berkedudukan, bekerjaya dan berharta menyebabkan lelaki ini mempunyai ‘back-up’ dari aspek kewangan. Perkahwinan ini memang sah dari segi hukumnya tetapi apakah nilai sebenar perkahwinan ini di sisi Allah? Apa yang pasti, poligami seumpama ini begitu menyimpang daripada tujuan sebenar poligami yang diharuskan oleh syarak!
Disebabkan pelbagai faktor menyebabkan poligami, maka ia mewujudkan pelbagai bentuk keluarga yang mengamalkan poligami. Kadang kala, apabila poligami dilaksanakan disebabkan ‘jatuh cinta sekali lagi’ (atau pun si lelaki memberikan alasan bahawa pernikahannya dengan isteri sedia ada dalam keadaan terpaksa), maka isteri senior dipinggirkan secara langsung atau tidak langsung.
Tentulah lebih menyakitkan apabila si suami ini bernikah lagi selepas berada dalam keadaan stabil disebabkan sokongan dan pengorbanan isteri senior. Fenomena seperti inilah yang menyebabkan sesetengah pihak seolah-olah berhasrat untuk menghapuskan amalan poligami sehingga hampir-hampir menafikan bahawa poligami juga sebenarnya salah satu penyelesaian terhadap masalah sosial.
Persoalannya di sini, apakah kaedah yang boleh digunakan bagi membentuk amalan ini kepada bentuknya yang lebih stabil, selesa atau sekurang-kurangnya tidak menyakitkan hati apabila poligami tetap mahu dilaksanakan oleh pihak suami? Ini kerana mereka enggan untuk menimbang permintaan atau mungkin rayuan isteri mereka? Bagi suami yang salih, yang mengetahui hukum-hakam secara terperinci, tentulah masalah ini tidak timbul. Masalahnya, apabila si suami hanya berpegang kepada zahir ayat al-Quran yang mengatakan bahawa amalan ini diharuskan tanpa melihat kepada asbab al-nuzul (sebab turun ayat) dan juga syarat yang diketengahkan oleh fukaha.
Dalam hal ini, pada pendapat penulis cadangan yang diutarakan ini mungkin boleh menjadi salah satu jalan penyelesaiannya. Setiap diri manusia dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan dan kelemahan.
Seseorang wanita (dan juga isteri) sebenarnya boleh mengukur diri sendiri, di mana kekuatan diri mereka.
Bagi isteri yang mampu untuk tawar-menawar dengan pihak suami yang menyuarakan hasratnya untuk berpoligami dan isteri ini tadi melihat bahawa suaminya tiada halangan untuk melaksanakannya, mengapa tidak dibuat permintaan supaya poligami yang akan dilaksanakannya itu turut memberi faedah kepada si isteri dalam jangka masa panjang atau sehingga akhir hayat? Sebagaimana pihak suami yang dapat menikmati faedahnya (mempunyai teman hidup tambahan) sehingga akhir hayat? Sejumlah wang ‘pampasan’ atau ‘sagu hati’ sebenarnya tidak memadai, kerana ia akhirnya akan lenyap!
Umpamanya, serahkan anak-anak untuk dijaga oleh madu sekiranya dia tidak bekerja. Sekiranya si isteri tadi wanita bekerja yang kadang-kala pulang hingga lewat, dia meminta si madu menemani anak-anak membuat kerja sekolah mereka.
Pada hemat penulis, tidak salah meminta ‘bayaran’ daripada madu kerana isteri senior sudah ‘menyerahkan sebahagian daripada miliknya’ kepada isteri baru, di mana dengan serahan itu mereka menikmati kehidupan yang lebih baik daripada sebelumnya. Bayaran yang diterima ini sekurang-kurangnya akan menjadikan wanita yang dimadukan tetap mengakui bahawa amalan yang diharuskan Islam ini memberikan manfaat kepada kehidupannya dan keluarga keseluruhannya.
Begitu juga bagi pihak suami yang berhasrat untuk berpoligami dan mendakwa layak untuk melaksanakannya, maka perlulah menjadikan poligami itu sebagai suatu perkara yang memberi manfaat kepada setiap ahli keluarganya. Apakah bentuknya, terpulang kepada budi bicara suami sebagai ketua rumah tangga. Sememangnya dalam Islam dinyatakan syarat bahawa poligami yang akan dilaksanakan itu tidak akan menjatuhkan kedudukan atau taraf isteri yang sedia ada, tetapi, adalah sesuatu yang lebih baik sekiranya setiap isteri menerima kebaikan dari pelaksanaan itu.
Bagi mereka yang kurang mampu untuk membuat tawar-menawar dengan suami, keberanian perlu ada. Dapatkan bantuan, sokongan dan ‘back up’ daripada sesiapa yang dirasakan boleh. Jadilah isteri yang berilmu, yakni yang mengetahui hak dan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Fahamilah undang-undang dan prosedur undang-undang keluarga Islam bagi mendapatkan bantuan sekiranya suami tidak berlaku adil.