Hari Asyura ialah hari ke-10 dalam bulan Muharram. Islam menggalakkan umatnya mengerjakan puasa sunat pada hari tersebut berdasarkan hadith Baginda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Baginda Rasulullah s.a.w berpuasa pada hari Asyura dan menyuruh para sahabatnya supaya turut berpuasa. (Hadith Muttafaqun Alaihi).
Kelebihan puasa sunat Asyura ialah Allah menghapuskan dosa orang yang berpuasa itu setahun yang lalu berdasarkan hadith daripada Abu Qatadah r.a bahawa Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Puasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) dapat menghapuskan dosa dua tahun iaitu setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan puasa pada hari Asyura (10 Muharram) dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu. (Hadith Riwayat Jama’ah kecuali Bukhari dan Tarmizi).
Imam Abu Laith As-Samarqandi menyebut bahawa antara peristiwa yang berlaku pada hari Asyura ialah:
Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat atas Bukit Judi setelah berlakunya banjir besar.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari menjadi korban api Raja Namrud.
Nabi Isa diangkat kelangit.
Nabi Musa diselamatkan Allah dari serangan Firaun.
Ditenggelamkan Firaun dalam Laut Merah.
Nabi Yunus dikeluarkan dari perut ikan Nun.
Puasa pada hari 9 atau 11 Muharram:
Oleh kerana orang Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura kerana bersyukur selamatnya Nabi Musa dari serangan Firaun maka sahabat bertanya kepada Baginda Rasulullah bahawa hari Asyura ialah hari yang agung bagi orang Yahudi. Maka Baginda Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Puasalah pada hari Asyura (10 Muharram) dan bezakanlah dengan puasa orang yahudi iaitu dengan cara kamu berpuasa sehari sebelumnya (9 Muharram) dan sehari selepasnya (11 Muharram). Hadith Riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi.
Berdasarkan hadith di atas sudah memadai perbezaan dengan puasa orang yahudi apabila umat Islam berpuasa sehari sebelum 10 Muharram atau sehari selepas 10 Muharram.
Niat Puasa Sunat 10 Muharram:
Sahaja aku berpuasa esok hari pada hari ke-10 bulan Muharram sunat kerana Allah Taala.
Niat Puasa Sunat 9 Muharram:
Sahaja aku berpuasa esok hari pada hari ke-9 bulan Muharram sunat kerana Allah Taala.
Niat Puasa Sunat 11 Muharram:
Sahaja aku berpuasa esok hari pada hari ke-11 bulan Muharram sunat kerana Allah Taala.