Pengklonan manusia cabar urusan Allah - Tokoh agama
KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pengklonan manusia sewajarnya diharamkan kerana ia bukan sahaja perbuatan yang melanggar etika kemanusiaan malah cuba mencabar urusan Allah.
Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, sebarang bentuk pengklonan jelas membuktikan kerakusan manusia untuk mencampuri kuasa Allah.
Katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan telah lama mengambil keputusan mengharamkan pengklonan manusia justeru keputusan Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah amat wajar.
Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Jawatankuasa PBB semalam yang akhirnya bersetuju mengharamkan semua bentuk pengklonan manusia setelah empat tahun berdebat mengenai isu tersebut.
Jawatankuasa itu bersetuju menerima resolusi tersebut sambil menyeru semua kerajaan dunia supaya mengharamkan semua bentuk pengklonan berkenaan.
Pentadbiran Presiden George W. Bush sebelum ini menyokong kuat usaha mengharamkan aktiviti pengklonan kerana ia dianggap sebagai satu perbuatan tidak bermoral lebih-lebih lagi yang melibatkan nyawa manusia.
Menurut Ismail, melalui pengklonan, manusia dicipta tanpa mengikut sunah Allah.
``Manusia adalah makhluk yang mulia, dicipta daripada benih lelaki dan wanita melalui perkahwinan yang sah dan mengikut proses yang telah ditentukan oleh Allah seperti hamil dan bersalin,'' katanya.
Sementara itu, bekas Imam Besar Masjid Putrajaya, Tan Sri Abdul Kadir Talib berkata, pengklonan hanya dibenarkan bagi binatang-binatang yang halal di dalam Islam contohnya lembu, kerbau, kambing dan arnab.
``Itu pun ia dilakukan dengan tujuan bagi membiakkan keturunannya.
``Bagi manusia, ia diharamkan sama sekali walau apa pun alasannya,'' ujarnya.
Beliau menambah, manusia adalah satu makhluk ciptaan Allah yang istimewa dan suci. Allah menjadikan manusia daripada tangannya tanpa campuran mana-mana pihak.
``Manusia yang ingin mencipta manusia lain seolah-olah ingin mengambil tugas Allah,'' katanya.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya pula berkata, di dalam Islam, keturunan seseorang manusia itu amat penting terutama untuk menentukan waris atau wali.
``Apabila manusia diklonkan, mereka tidak akan tahu keturunan mereka dan menyebabkan sistem keturunan manusia menjadi kucar-kacir,'' katanya.
Menurut Hashim, Allah telah menetapkan keturunan manusia mengikut yang dikehendakinya, iaitu melalui perkahwinan, kehamilan dan seterusnya melahirkan anak.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mustaffa Abdul Rahman berkata, pengklonan manusia merupakan perbuatan buruk yang memang sepatutnya diharamkan.
Pengklonan akan menyebabkan keturunan manusia haru-biru dan menimbulkan pelbagai masalah sosial yang sukar diselesaikan.
``Manusia klon tidak mengetahui keturunan, ibu bapanya, berhakkah dia atas harta pusaka, hubungan halal haram dan sebagainya,'' jelasnya.
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.