Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Akhlak pengaruhi peradaban manusia


Senior

Status: Offline
Posts: 255
Date:
Akhlak pengaruhi peradaban manusia




ISLAM Hadhari bukan agama dan ajaran baru. Ia adalah satu usaha murni untuk mengembalikan umat Islam kepada fundamental seperti yang terkandung di dalam al-Quran dan Hadis yang menjadi teras pembinaan tamadun Islam.





Melalui pendekatan Islam Hadhari, seluruh masyarakat dapat menikmati kebahagiaan hidup dunia dan akhirat. Ini kerana Islam Hadhari menekankan fokus kehidupan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat bertamadun dan mempunyai peradaban yang unggul.

Dalam ajaran Islam kehidupan bukan di dunia ini semata-mata, tetapi mempunyai kaitan dengan alam akhirat. Lantaran itu Islam mengajar umatnya supaya menggunakan segala nikmat, manfaat sumber alam dan perhiasan dunia ini sebagai bekalan untuk kebahagiaan akhirat dengan suatu penekanan bahawa nasib di dunia tidak diabaikan.

Firman Allah swt seperti yang termaktub di dalam al-Quran, Surah al-Qasas ayat 77, maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia;…”.

Oleh itu mencari keselesaan hidup berdasarkan bimbingan Ilahi adalah salah satu tuntutan Islam. Islam tidak mahu umatnya hidup dalam kemunduran, kemiskinan, merempat, meminta-minta, tidak mempunyai tempat perlindungan, tiada makanan yang berzat, nyawa yang sentiasa terancam serta serba kekurangan.

Sebaliknya Islam ialah agama yang menekankan kemajuan dan ketinggian, justeru ia menuntut umatnya supaya kuat berusaha untuk mencapainya.

Dalam konteks merealisasikan matlamat Islam Hadhari seperti yang dijelaskan di atas, beberapa pra syarat perlu dipenuhi. Antaranya ialah melalui kekuatan dalaman seperti penguasaan ilmu pengetahuan, keutuhan iman, keluhuran akhlak dan seumpamanya. Seiring kekuatan dalaman, aspek fizikal menjadi kombinasi sepadu yang tidak boleh disisihkan. Antara perkara yang perlu diberi keutamaan ialah dari segi pembangunan ekonomi, keadilan dan kestabilan masyarakat, kekuatan pertahanan, peningkatan kualiti hidup dan sebagainya.

Menguasai Ilmu Pengetahuan

UMAT yang maju memerlukan penguasaan dalam pelbagai bidang ilmu. Pendekatan Islam Hadhari memerlukan masyarakat Malaysia menjadi masyarakat yang berilmu kerana ia amat penting untuk perubahan dan kemajuan.

Ilmu pengetahuan meliputi kombinasi ilmu-ilmu fardu ain dan fardu kifayah supaya kecemerlangan intelektual dapat dikembangkan, kekuatan peribadi dapat ditampilkan dan ketangkasan jasmani dapat dibangunkan.

Peri pentingnya ilmu pengetahuan dalam kehidupan sememangnya tidak dapat disangkal sehinggakan Islam meletakkan tanggungjawab menuntut ilmu sebagai satu kefarduan. Rasulullah saw bersabda melalui sebuah hadis riwayat Ibn Majah dan al-Baihaqi, maksudnya: “Menuntut ilmu adalah satu kefarduan bagi setiap Muslim.”

Sesungguhnya antara faktor kemunduran umat Islam ialah disebabkan salah faham terhadap konsep fardu kifayah yang dianggap sebagai ilmu keduniaan sekular yang tiada kaitan dengan kehendak agama.

Akibatnya umat Islam mempelajari ilmu-ilmu sains, matematik, perubatan dan sebagainya secara terpisah daripada ilmu akidah dan syariah. Oleh itu kesepaduan ilmu pengetahuan dalam aspek keagamaan seperti akidah, syariah dan akhlak dengan ilmu-ilmu berkaitan sunnatullah seperti sains, teknologi, falsafah dan lain-lain adalah amat penting. Kesepaduan ini pasti dapat melahirkan tamadun gemilang yang terpancar daripada bimbingan syariat seperti yang pernah dicapai oleh umat Islam suatu ketika dulu.

Tamadun Baghdad dan Andalusia menjadi contoh nyata bagaimana ilmu yang sepadu ini mampu menyumbang ke arah pembangunan tamadun Barat dan Timur. Ada ramai pakar dalam pelbagai bidang ilmu pada zaman itu seperti al-Khawarizmi, al-Bairuni, Ibn al-Haytham, Ibn al-Nafis, Ibn al-Bayttar, al-Farabi dan al-Ghazali.

Masyarakat Islam kini seharusnya mencontohi mereka untuk menghasilkan tamadun Islam yang berjaya mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang untuk menerajui kepimpinan tamadun dunia hari ini. Semua ini dapat dicapai menerusi kefahaman bahawa menuntut ilmu ialah satu ibadat, manakala mengadakan penyelidikan dalam ilmu-ilmu berkenaan sehingga membawa kepada kemajuan agama adalah sebahagian daripada jihad.

Sesungguhnya kefahaman yang jelas, minat yang tinggi, kecenderungan yang mendalam dan sistem yang mantap perlu dimiliki oleh masyarakat untuk mencapai kemajuan dalam apa jua bidang. Lebih-lebih lagi dalam menghadapi era globalisasi dan cabaran semasa, faktor ilmu yang bersepadu serta kemajuan sains dan teknologi amat diperlukan kerana pada masa kini umat Islam agak ketinggalan dalam beberapa lapangan.

Meningkatkan iman dan takwa

SESEORANG mukmin yang berpegang teguh kepada agama dari segi syariat tidak akan melakukan sesuatu yang negatif malah bertindak secara positif. Mukmin yang bertakwa juga akan dapat mengurus dan membangunkan alam secara berhemah, adil dan produktif kerana pembangunan diri ialah punca utama kepada pembangunan masyarakat.

Pendekatan Islam Hadhari meletakkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt sebagai teras utamanya. Al-Quran dan al-Hadis menjadi rujukan yang dapat menggabungkan kemantapan akidah, syariah dan akhlak dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan. Ini akan membantu mewujudkan umat yang berkualiti dan negara yang cemerlang.

Dalam ajaran Islam, konsep keimanan dan ketakwaan berkait rapat dengan aspek akidah dan bersifat mutlak manakala urusan pentadbiran dan gaya hidup manusia adalah fleksibel dan boleh menerima perubahan dengan syarat ia dipayungi oleh akidah dan syariah.

Firman Allah swt seperti yang dipaparkan melalui Surah Yunus ayat 15, maksudnya: “Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas nyata, berkatalah orang-orang yang tidak menaruh ingatan menemui Kami (untuk menerima balasan): “Bawalah al-Quran yang lain daripada ini, atau tukarkanlah dia.” Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku tidak berhak menukarkannya dengan kemahuanku sendiri, aku hanya tetap menurut apa yang diwahikan kepadaku sahaja. Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhaka kepada Tuhanku, akan azab yang besar (soal jawabnya)”.

Dalam aspek syariah, konsep keimanan dan ketakwaan menggariskan bahawa dalam mengejar kemajuan ummah, ajaran-ajaran Islam yang menekankan aspek keadilan, amanah, tiada penindasan, tiada riba dan seumpamanya hendaklah dihayati.

Firman Allah swt di dalam Surah al-Jathiyah ayat 18, maksudnya: “Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utusan engkau) menjalankan satu Syari’at (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah Syariat itu dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

Aspek akhlak pula menepati maksud keutuhan integriti, iaitu memiliki sifat amanah, jujur, ikhlas, tidak melakukan rasuah dan seumpamanya kerana semua perkara itu boleh mendatangkan impak tersendiri terhadap kemajuan negara.

Setiap perlakuan buruk tentunya bertentangan dengan sifat seorang yang beriman dan bertakwa. Oleh itu ciri-ciri insan contoh (qudwah hasanah) yang ada pada diri Rasulullah saw hendaklah sentiasa diikuti oleh umat Islam sebagaimana firman Allah swt di dalam surah al-Qalam ayat 4, maksudnya:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.”

Penentuan akidah bagi orang bukan Islam di sisi Islam ialah berasaskan kepada prinsip yang jelas iaitu tiada paksaan dalam agama. Prinsip ini termaktub dalam surah al-Baqarah ayat 256, maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam),...”

Begitu juga dalam ayat 6, surah al-Kafirun yang maksudnya: “Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.”

Namun demikian, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam dalam konteks negara berbilang bangsa dan agama supaya mengamalkan akhlak yang baik dalam setiap masa dan ketika. Amalan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan agama pada praktiknya semata-semata, tetapi matlamatnya ialah memberi jaminan kepada masyarakat bukan Islam bahawa mereka selamat sejahtera ketika berada dalam sebuah negara Islam dan mempunyai hak menikmati kemajuan dan kemakmuran secara bersama.

Memantapkan akhlak dan budaya

ISLAM amat mementingkan hubungan baik sesama makhluk. Perhubungan yang baik dapat dijalin dan diamalkan sekiranya setiap individu dihiasi dengan akhlak yang mulia. Akhlak mempunyai tempat yang tinggi dalam Islam dan ia umpama cermin dalam memancarkan cahaya Islam itu sendiri.

Rasulullah saw telah menyatakan bahawa tujuan ia diutuskan ialah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabdanya melalui sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, maksudnya: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

Bagi umat Islam, contoh ikutan terbaik ialah Rasulullah saw. Allah swt menyatakan hal ini menerusi firman-Nya di dalam surah al-Ahzab ayat 21, maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Pelaksanaan akhlak mulia tidak membezakan antara orang Islam dan bukan Islam. Sebagai contohnya tingkah laku orang Islam ketika berurusan dengan orang bukan Islam perlulah sama sebagaimana mereka berurusan dengan orang Islam.

Ini kerana tujuan kebaikan dan keadilan hidup yang diperjuangkan oleh Islam ialah untuk seluruh alam. Hal ini dijelaskan oleh Allah swt menerusi firman-Nya dalam surah al-Anbiya’ ayat 107, maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

Penghayatan nilai akhlak yang luhur akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat, sekali gus menjadikan sesuatu bangsa itu dihormati dan disegani. Kewibawaan dan kemuliaan sesuatu bangsa bergantung kepada bangsa itu sendiri. Jika akhlak bangsa itu baik dan mulia maka ia mampu menahan segala gelombang dan ujian yang mendatang. Namun begitu, sekiranya bangsa itu kucar kacir maka ia akan musnah. Imam al-Syaukani dalam syairnya ada menyatakan bahawa: “Sesungguhnya sesuatu bangsa itu bergantung kepada akhlak. Apabila rosak akhlak maka rosaklah bangsa itu.”

Sejarah juga telah membuktikan bahawa tamadun dan empayar Romawi yang begitu hebat pada suatu ketika dahulu telah runtuh ekoran daripada kepincangan dan keruntuhan akhlak yang berlaku di kalangan masyarakat pada ketika itu.

Jelaslah bahawa akhlak adalah unsur penting dalam kehidupan manusia sekali gus mempengaruhi pembinaan peradaban. Ini kerana akhlak mempunyai pengaruh dan kesan yang amat besar terhadap tindakan dan perlakuan seseorang sama ada baik atau buruk yang dinilai daripada perbuatannya sendiri. Apa yang pasti keindahan Islam tidak akan terserlah selagi umat Islam tidak merealisasikan kemurnian akhlak seperti yang dituntut dalam Islam.

__________________
salam perjuangan...
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard