Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Orang atasan gaji pendatang tanpa izin


Senior

Status: Offline
Posts: 122
Date:
Orang atasan gaji pendatang tanpa izin


KUANTAN: Ramai golongan atasan, termasuk orang kenamaan dan pemimpin masyarakat dikesan menyimpan pendatang tanpa izin di rumah, sama ada sebagai pekerja biasa atau pembantu rumah.






Sehubungan itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid (gambar), mengingatkan golongan itu segera menghantar pulang pekerja terbabit bagi mengelak dikenakan tindakan apabila Ops Tegas bermula 1 Mac ini.

“Kita mendapat maklumat, masih ramai golongan atasan, orang kenamaan dan tokoh berkedudukan tinggi yang mempunyai pendatang tanpa izin, bekerja di rumah mereka sama ada sebagai pekerja biasa atau pembantu rumah.

“Sebenarnya, mereka tidak terkecuali dikenakan tindakan apabila Ops Tegas bermula 1 Mac ini. Jadi, saya nasihatkan mereka supaya menghantar segera pendatang berkenaan bagi mengelakkan nama mereka tercemar apabila dikenakan tindakan,” katanya selepas majlis perasmian kompleks pejabat kementerian itu di Bandar Indera Mahkota di sini, semalam. Majlis itu disempurnakan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Turut hadir, Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Aseh Che Mat.

Azmi berkata, pendatang yang dihantar pulang sebelum 1 Mac ini, boleh dibawa masuk semula secara sah dengan membawa surat jaminan majikan masing-masing.

Katanya, proses kemasukan semula itu boleh dilakukan di 11 pusat yang dibuka di Indonesia selama tiga bulan bermula esok.

Beliau berkata, kementerian berkenaan menghantar lebih 50 pegawai imigresen untuk berkhidmat di 11 pusat itu bagi membantu mempercepatkan proses kemasukan semula pendatang terbabit.

Katanya, semua pegawai imigresen yang ditempatkan di pusat itu bersama enam agensi Indonesia, diberi perlindungan diplomatik dan dibenar memakai pakaian seragam Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kita akan memproses permohonan kemasukan semula pekerja berkenaan secara sah ke Malaysia selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan. Paling penting, ketika keluar mereka sudah meletakkan cap jari dan hanya yang berbuat demikian dibenar memasuki semula Malaysia.

“Jika mereka tidak berbuat demikian dan mahu memasuki negara ini, kita andaikan mereka sebagai orang baru.

“Bagaimanapun, pada masa ini kita tidak izinkan orang baru masuk ke Malaysia kerana kita berpegang pada janji, iaitu pendatang harus pulang dulu ke negara mereka dan balik semula ke negara ini menggunakan dokumen sah,” katanya.

Azmi berkata, Malaysia sudah meminta kerjasama enam agensi Indonesia itu supaya mempercepatkan proses kemasukan semula pendatang berkenaan.

Mengulas tindakan penguatkuasaan mulai Selasa depan, Azmi berkata, lebih 500,000 anggota Rela dan Rukun Tetangga (RT) di seluruh negara akan membantu mengesan pendatang tanpa izin yang masih bersembunyi di negara ini.

“Anggota Rela dan RT ada di seluruh pelusuk negara, termasuk di kampung, bandar atau tempat kerja sama ada di jabatan atau syarikat.

“Jadi, mereka tahu siapa yang menggaji pendatang tanpa izin. Menerusi penguatkuasaan, majikan akan jadi sasaran utama kerana adanya majikan, maka ada pekerja asing itu dan kedua-duanya akan dikenakan tindakan,” katanya.

Azmi berkata, pihaknya juga sudah berbincang dengan pihak mahkamah supaya mempercepatkan proses perundangan membabitkan majikan dan pendatang tanpa izin agar hukuman yang dikenakan dapat dijadikan pengajaran.

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard