IBU bapa perlu memberi kasih sayang dan perhatian kepada anak-anak dengan mendampingi mereka. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa berada di samping mereka walau dalam apa keadaan sekalipun.
Jika ibu bapa menyayangi anak sepanjang masa, anak juga akan berbuat begitu terhadap mereka.
Dalam hal ini, Nabi Muhammad sentiasa menunjukkan contoh terbaik mengasihi anak.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, katanya: “Sesungguhnya al-Aqra’ bin Habis pernah melihat Nabi memeluk Hasan. Lalu al-Aqra’ berkata: Sesungguhnya aku mempunyai 10 anak, namun aku tidak pernah memeluk seorang pun daripada mereka.
“Kemudian Rasulullah bersabda: Sesungguhnya sesiapa yang tidak menyayangi (anak-anak), nescaya dia tidak akan disayangi.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Allah akan menarik segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada ibu bapa yang tidak menyayangi dan menghiraukan anak mereka.
Hal itu seperti diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah, katanya, pada suatu hari, beberapa Arab desa datang kepada Rasulullah. Mereka bertanya kepada sahabat: “Apakah kamu pernah memeluk anak-anak kecil kamu?” Sahabat menjawab: “Ya.”
Orang kampung itu berkata: “Akan tetapi, demi Allah, kami belum pernah memeluknya.” Kemudian Rasulullah bersabda: “Aku tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya Allah mencabut rahmat daripada kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari) wassalam,,,