Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Rasulullah tidak larang wanita ziarah kubur


Senior

Status: Offline
Posts: 122
Date:
Rasulullah tidak larang wanita ziarah kubur


  PETIKAN DARIPADA BERITA HARIAN.http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Wednesday/Agama/20050302014028/Article/
BOLEHKAH wanita menziarahi kubur? Mengenai masalah ini, ada pendapat yang memakruhkannya. Namun, makruh ini pun masih diperselisihkan. Ada pendapat yang menyatakannya karahah tahrim (larangan yang menunjukkan haram) dan ada yang menjelaskannya sebagai karahah tanzih (larangan yang menunjukkan makruh)
 
Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ menganggapnya sebagai karahah tanzih dan ini yang dipegang oleh jumhur al-Syafiiyyah.

Saidatina Aisyah pernah bertanya Nabi Muhammad saw apakah yang harus diucapkan ketika menziarahi kubur. Baginda bersabda bermaksud: “Ucapkanlah salam atasmu wahai penduduk kampung daripada golongan mukminin dan Muslimin dan semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua sama ada mereka yang telah terdahulu mahupun yang akan datang, insya-Allah kami akan menyusul kemudian.” (Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis itu, Rasulullah mengajar Aisyah mengenai doa yang sepatutnya dibaca ketika menziarahi tanah perkuburan tanpa Baginda menyatakan sebarang tegahan dan larangan.

Hal ini menunjukkan bahawa tidaklah menjadi suatu larangan hukum ziarah kubur bagi kaum wanita.

Riwayat daripada Ibn Mulaikah bahawa pada suatu hari, Aisyah kembali dari arah tanah perkuburan. Ibn Mulaikah bertanya maksudnya: “Wahai ummul mukminin, dari mana engkau datang?” Aisyah menjawab: “Dari menziarahi kubur saudaraku Abdul Rahman.” Aku bertanya lagi: “Bukankah Rasulullah melarang daripada menziarahi kubur?”

Aisyah menjawab: “Benar bahawa Rasulullah melarang daripada menziarahinya, tetapi kemudian Baginda membenarkannya.” (Hadis riwayat al-Hakim, juga oleh al-Baihaqi yang menyatakan pada sanadnya Bustam b Muslim al-Basri yang meriwayatkan seorang diri, manakala menurut az-Zahabi, hadis itu sahih)

Kenyataan Aisyah itu jelas menunjukkan bahawa Rasulullah membenarkan kaum wanita menziarahi kubur.

Hadis sahih al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan oleh Anas bahawa Rasulullah lalu di tanah perkuburan dan Baginda terlihat seorang perempuan yang meratapi kematian anaknya.

Baginda berkata: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan bersabarlah.” Perempuan itu menjawab: “Alangkah malangnya daku ditimpa musibah ini.”

Apabila Baginda pergi, ada orang menyatakan kepada perempuan itu bahawa lelaki itu ialah Rasulullah. Bagaikan dikejar maut, perempuan itu bergegas pergi ke pintu gerbang rumah Nabi dan tiada seorang pun penjaga pintu di situ.

Perempuan itu berkata: “Wahai Rasulullah, aku tidak mengenali bahawa engkau adalah Rasulullah.” Nabi bersabda bahawa sesungguhnya kesabaran itu adalah ketika mula-mula ditimpa musibah. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis di atas, Baginda melihat dan bertemu serta berbual-bual dengan perempuan itu tanpa larangan terhadap perbuatan menziarahi kubur.

Ia adalah bukti bahawa kaum perempuan tidak dihalang menziarahi kubur. Jika ia suatu tegahan, pasti Rasulullah akan menjelaskannya. Ziarah kubur dibenarkan untuk memperingatkan manusia akan kematian dan hari akhirat.

Golongan yang menyatakan makruh bagi kaum wanita menziarahi kubur kerana mereka berpandukan kepada sabda Nabi yang menegur wanita yang menziarahi kubur. Hujah mereka lagi bahawa kaum wanita kurang tabah dan lebih mudah terpengaruh.

Dalam menjawab dakwaan ini, al-Qurtubi ada menyatakan yang dipetik oleh Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh as-Sunnah, katanya:

“Teguran itu hanya kepada wanita yang selalu sangat menziarahi.

“Dalam erti kata lain, ia mengenai, perempuan yang selalu sangat menziarahi kubur.

“Mungkin kesan daripada ziarah itu akan mengakibatkan mensia-siakan hak suami, memperagakan diri, kemungkinan menangis, meratap dan sebagainya.”

Kata al-Qurtubi lagi, kalau semua itu dapat diatasi, maka tidak ada alasan untuk menghalang wanita daripada menziarahi tanah perkuburan. Semua pihak perlu sedar urusan mengingati kematian itu tidak dikhususkan kepada sesiapa baik lelaki mahupun wanita, selagi bergelar insan.

Al-Syaukani menambah atas keterangan al-Qurtubi itu, katanya, pendapat itu yang harus dipegang dalam menghimpunkan hadis yang pada zahirnya bertentangan


-- Edited by badd beserah at 08:38, 2005-03-02

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard