Pendapat : Bina kedai mampu milik pikat Melayu ke bandar
PEMERHATIAN saya di beberapa bandar utama di negara maju dan membangun menunjukkan adanya perancangan rapi dalam membina kemudahan dan prasarana bagi memajukan bidang perniagaan.
Kebanyakan kedai yang dibina adalah kedai mampu milik dan kedai mampu sewa di lokasi yang strategik.
Ruang yang dibina atau yang disewa adalah kecil. Kedai demikian tidak memerlukan seseorang untuk berniaga dengan modal besar. Jika diamalkan di Malaysia, pelbagai bangsa terutama Bumiputera mampu berniaga.
Namun, di negara kita keadaan agak berbeza. Kedai dibina dengan ruang besar dan biasanya mampu dibeli oleh golongan tertentu saja
Contoh kedai kecil mampu milik dan mampu sewa adalah seperti di pasar raya terbesar di Seoul, Korea Selatan iaitu Lotte Mall; Carreleon City (Perth, Australia), Shanghai (China), Cardiff City (Wales, England) dan banyak negara lain.
Cadangan agar orang Melayu berniaga di bandar akan kekal sebagai angan-angan jika kerajaan masih terus membenarkan kedai bersaiz besar dibina.
Di samping itu, pasar raya yang terlalu banyak dan didirikan berhampiran bandar sebenarnya membunuh kedai runcit dan perniagaan kecil.
Ramai kalangan cerdik pandai dan pembuat dasar sebenarnya melihat situasi ini ketika berada di luar negara sama ada ketika belajar, melawat atau membuat kaji selidik.
Ke mana perginya ilmu dan pemerhatian dibuat itu pada hal kajian dilakukan adalah ihsan wang rakyat diberikan melalui biasiswa dan tajaan kerajaan?
Tidakkah pembinaan kedai besar dan pasar raya besar hanya menguntungkan golongan kecil pemodal dan peniaga yang sudah kaya raya yang akhirnya menindas golongan kerdil?
Lihat negara seperti Jepun, England, Belanda atau pun Indonesia yang tidak menggalakkan pembukaan terlalu banyak pasar raya besar.
Sebenarnya kita ada banyak agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang boleh membantu pengusaha Bumiputera jika mereka ada wawasan dan menggunakan kajian cara kerajaan negara maju membantu golongan peribumi mereka.
Majlis Amanah Rakyat (Mara), UDA Holdings Bhd, Tabung Haji, Baitulmal, Petronas dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebenarnya boleh melabur dalam pembinaan rumah kedai kecil dan sederhana di tengah bandar dan setiap bandar baru.
Buat apa kita terlalu sibuk memikirkan usaha melabur di luar negara sedangkan pelaburan wang rakyat sepatutnya ditumpukan di dalam negara terlebih dulu. Malah ada baiknya kita biarkan syarikat besar milik swasta bersaing di pasaran luar negara sama seperti Samsung, Toyota dan Canon serta banyak lagi syarikat gergasi Asia yang ke negara kita.
Semoga cadangan membina kedai mampu milik dan mampu sewa akan membolehkan lebih ramai usahawan dan peniaga Bumiputera bersaing dan menikmati sama keuntungan yang selama ini dirasai oleh segolongan kecil pengusaha saja.