Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Setiap kerja boleh menjadi ibadah


Senior

Status: Offline
Posts: 223
Date:
Setiap kerja boleh menjadi ibadah


Allah telah berfirman di dalam Al Quran, surah al Baqarah ayat 21
yang bermaksud:

"Wahai sekelian manusia, sembahlah tuhanmu yang telah menciptakan
kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Seruan ini Allah tujukan kepada semua manusia tidak kira orang
Islam, orang yang beriman, orang yang durhaka atau pun orang kafir.
Pendek kata, setiap manusia adalah dikehendaki oleh Allah supaya
menyembahNya. Ada pun menyembah Allah itu bererti mengabdikan diri
atau memberi baktinya kepada Allah swt.

Pengabdian diri ini adalah dikehendaki oleh Allah secara total dan
menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan manusia itu. Ini
berdasarkan firman Allah swt dalam surah AzZuriat ayat 56 yang
bermaksud:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada
Aku."

Dalam ertikata yang lain, setiap jin dan manusia ini adalah
dijadikan khusus untuk beribadah kepada Allah. Ertinya, apa saja
yang dibuat oleh manusia, ia mesti merupakan ibadahnya atau
pengabdiaan dirinya atau amal baktinya kepada Allah swt. Tidak
kiralah samada usahanya itu berupa usahanya dalam mencari rezeki,
dalam membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak,
dirinya atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat,
dalam berekonomi, berjual beli, dalam berjuang dan berjihad dan
dalam apa saja baik dalam tidur atau makan minum kita seharian,
semuanya mestilah menjadi ibadah kepada Allah.

Ini jelas Allah gambarkan dalam sepotong firmannya yang lain dalam
surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

"Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam
keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit
dan bumi seraya berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan
ini dengan sia-sia belaka'."

Jadi, Allah tuntut dari setiap manusia supaya sentiasa, setiap saat
dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada Allah. Kerana
itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap
usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah swt.

Ibadah terbahagi kepada tiga: petama ibadah asas, dan kedua ialah
ibadah furu' (cabang) yakni amalan-amalan utama dan yang ketiga
ialah ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya
ialah keenam-enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya
fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib menyakini dan beramal
dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang itu tidak beriman (kafir).

Ibadah cabang atau ibadah furu' ialah yang berkaitan dengan
fardhailull `amal (amalan utama). Diantaranya seperti sembahyang
dhuha, sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu
dan lain-lainnya.

Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita
lakukan setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri
rumahtangga, kampung halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan,
ekonomi, masyarakat, politik, persoalan dalam dan luar negeri.
Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah kehendaki
maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya
kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka
rugilah kita.

Kita hanya dapat pahala dari sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir,
wirid (fadhailull a'mal) tapi tidak pernah mengutip pahala dari
amalan-amalan yang lebih banyak kita buat tiap-tiap hari itu.

Sebenarnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia
mesti menempuh lima syarat. Apabila setiap kerja kita, yang kita
lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan
diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu
pengabdian diri kita kepada Allah swt. Syarat itu ialah:

1. Niat mesti betul
2. Perkara yang dibuat sah / halal ikut syariat
3. Perlaksanaan mesti betul.
4. Natijah mesti betul
5. Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).

Supaya lebih difahami saya akan buat satu tamsilan atau ibarat
bagaimana sesuatu kerja itu boleh jadi ibadah. Kalau faham tamsil
ini maka ribuan kerja lain boleh dikiaskan supaya jadi ibadah. Untuk
tamsil ini saya pilih bidang perniagaan sesuai dengan selera
masyarakat kita yang sedang sibuk berjuang untuk meninggikan taraf
ekonomi melalui bidang ini.

Perniagaan itu luas. Jadi saya bincang tentang berniaga kedai
runcit, bagaimana perniagaan itu boleh jadi ibadah:

1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di
tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini
hal fardhu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di
sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu
adalah niat yang betul, yang tidak betul hatinya berkata, "Aku nak
berniaga supaya untung, bila untung aku nak ek," Mana boleh niat nak
sombong. Itu niat tak betul.

2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam, seperti
gula, garam, asam, kicap dan keperluan-keperluan lain. Barang-barang
yang tidak boleh jual ialah todi, "anchor beer", "tiger beer",
dadah, tiket loteri, rokok dan lain-lain.

3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan
mengikut syariat. Timbangan mesti betul, sukatannya pun betul, tidak
ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.

4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada
kehendak syariat. Bila mendapat untung, cukup haul maka keluarkan
zakat. Bantu fakir miskin, derma masjid dan surau, korban untuk
jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah
digunakan keuntungan dari perniagaan itu ke meja judi, ke tempat-
tempat disco, kelab-kelab malam, ke tempat pelesiran dan lain-lain
lagi.

5. Berniaga jangan sampai tidak sembahyang. Mentang-mentang hendak
menegakkan fardhu kifayah, fardhu ain tak payah. Mana boleh fardhu
ain tak payah, ia lebih utama daripada fardhu kifayah. Ertinya
fardhu ain lebih utama dari fardhu kifayah. Orang yang berniaga tapi
tak sembahyang, tidak akan dapat pahala apa-apa. Perniagaan yang
diaturkan oleh orang-orang yang tak sembahyang tidak diterima
sebagai ibadah di sisi Allah. Sebaliknya seorang yang berniaga
mengikut syariat dengan menunaikan kelima-lima syarat itu dianggap
ia telah berbakti, beribadah dan mengabdikan diri ke pada Allah swt.

Kalau sepuluh jam dia berniaga maka sepuluh jam pulalah dia dalam
beribadah, yakni sepuluh jam dia diberi pahala. Kalaulah ada dalam
masa yang sama seorang lain beriktikaf di masjid, sembahyang sunat,
baca Quran, zikir, wirid, maka di sisi Allah sipeniaga itu adalah
lebih baik daripada orang yang beriktikaf kerana orang berniaga
tidak boleh menyesal atau rasa bersalah, sebab dia berkedai tidak
dapat beriktikaf. Sebab orang yang di dalam masjid dia beramal untuk
dirinya sedangkan orang yang berkedai itu berkhidmat untuk orang
lain.

Islam memandang mulia kepada orang yang berbuat amal untuk
masyarakat. Sabda baginda yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak manfaatnya pada
manusia."

Daripada contoh usaha ikhtiar yang menempuh 5 syarat ini, maka
bolehlah kita kiaskan dengan lain-lain usaha ikhtiar kita, seperti
menyusun rumahtangga, berpendidikan, berpolitik, berjuang dan
berjihad dan lain-lainnya. Di situ nanti kita akan dapat menilai
yang mana kalau seluruhnya tidak menempuh 5 syarat, ia tidak jadi
ibadah.





__________________
/// Black 3036 HaRiMaU kAnDaNgAN /// I|I Bersatu Aman Sejagat I|I
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard