Cerite ini mengambarkan kisah benar... jgn main judi ...taik judi minum todi..hehehehe
Begini ceritenya....... BIASANYA larut malam baru Anok pulang. Jebah pula tak pernah bertanya apa yang Anok buat selama ini. Dia bimbang kalau bertanya banyak-banyak, suaminya marah.
Lagipun, budaya dan pantang larang Orang Asli di kampungnya menghendaki isteri tidak banyak bersoal atau bertanyakan suami mereka.
Tok Batin Nah selalu mengingatkan semua isteri anak-anak buahnya mengenai perkara itu. Kata tok batin lagi, kalau isteri banyak tanya, rezeki suami biasanya tergugat.
“Jangan bising-bising. Aku tahu suami engkau ke hutan menjebak pelanduk. Tak ke mananya dia. Kadangkala dia menyumpit lotong atau cikah! Tak elok bising-bising pada suami,” Tok Batin Nah pernah berpesan.
Akhirnya, Jebah diam. Setiap malam Anok pulang lewat. Cuma Jebah mengesan bukan setiap hari suaminya membawa pulang habuan. Adalah sesekali bawa seekor dua cikah atau lotong. Pelanduk pula tak pernah merasa sejak dua bulan ini.
Satu lagi yang Jebah sering tengok ialah, Anok kerap bawa pulang bungkusan kain kuning. Kadangkala, Anok jumpa kain macam tali pinggang berwarna merah dalam saku seluar suaminya.
Entah apa gunanya, Jebah tidak tahu. Dia pula takut mahu bertanya. Tok Batin Nah pun sudah berpesan. Dia patuh.
Cuma pada satu malam, Jebah resah hati. Pukul 2 pagi suaminya masih belum pulang. Dia meninjau ke bawah beranda buluh rumahnya. Basikal Anok tiada. Sah, fikirnya, Anok belum pulang.
Bagaimanapun, mencecah jam 4 pagi, resah Jebah makin kuat. Hatinya berdebar. Perkampungan Orang Asli itu sunyi sepi. Dia biarkan dua anaknya yang masih kecil tidur di dalam. Perlahan-lahan dia menapak ke rumah tok batin yang hanya beberapa langkah dari rumahnya, di sebelah utara Bukit Payong.
Jebah luahkan risaunya pada tok batin. Peliknya, tok batin masih yakin Anok akan pulang.
“Suami engkau masuk hutan. Cari rezeki. Yang engkau sibuk sangat kenapa?” tok batin nampak marah. Mungkin tidurnya kena ganggu. Namun Jebah tetap tidak berpuas hati.
Dia pulang semula. Belum sempat kakinya menongkat anak tangga kayu jambu rumah, dia nampak kelibat Anok susup-sasap mengayuh basikal.
Meninjau
“Awak pergi mana? Dah lambat sangat. Embun dah habis turun!” Jebah bersoal. Namun, tiada suara menjawab.
Anok tongkat basikal dan terus menunduk lalu melintas depan Jebah dan kemudian bergegas naik rumah. Jebah pula yang naik angin.
“Awak pergi mana? Tak kan berburu sampai lewat macam ni. Nanti kalau dibaham rimau siapa susah. Aku jugak!” Jebah membebel. Peliknya Anok langsung tak menjawap.
Dia duduk diam-diam, membatu macam orang bodoh. Namun, wajahnya tak langsung berpaling melihat Jebah yang bising-bising.
“Sudahlah! Kalau tak nak jawab, tak apa. Lain kali aku tak nak tanya. Nak pergi mana, pergilah!” Jebah akhirnya kecewa. Sakit hatinya bila suami buat tidak layan.
Cuma saat itu Jebah terhidu juga bau kemenyan. Mata Jebah juga terpandang ada ikatan kain merah melilit kepala suaminya.
Namun, Anok hanya duduk menundukkan muka. Malas Jebah melayan.
Bagaimanapun, sewaktu Jebah mahu ke dapur, dia terdengar bunyi pelik. Jebah balik semula ke beranda dan tengok ke arah suaminya.
Alangkah terkejutnya Jebah. Mulut Anok berbuih. Jebah tergamam. Ada suara seperti ngauman terdengar.
“Apa kena awak ini?” hanya itu yang Jebah tanyakan.
Namun Jebah tambah terkejut. Anok memandangnya dengan wajah lain. Muka Anok merah. Mata Anok menyala. Buih di bibirnya meleleh-leleh.
“Apa kena ni?” Jebah semakin takut.
Belum sempat Jebah turun untuk memberitahu tok batin, Anok menerkam macam harimau.
“Auuummmm!” dan sekali pulas, tengkuk Jebah terkulai. Kuat benar tenaga Anok saat itu. Lepas itu Anok terus lari melompat tangga dan dalam gelap subuh, dia hilang di dalam hutan.
Satu kampung gempar. Tok batin yang selama ini hanya buat kisah tak kisah, mula dapat petanda. Ada anak buahnya pecah rahsia. Terbeliak mata tok batin.
Rupanya selama ini Anok jadi tukang ‘ngangkung’ di kubur lama orang Asli di Bukit Payung.
Semuanya gara-gara kehendak kaki judi di kalangan orang kampung sebelah.
Setiap malam, Anok bertapa dan menurun di tanah kubur lama. Rupa-rupanya ada sesuatu meresap ke dalam tubuh Anok selepas berbulan-bulan melakukan kerja yang dilaknati Tuhan.
Usaha mencari Anok yang hilang menuju jalan buntu dan gagal . Sehingga kini kehilangan Anok menjadi misteri, tetapi yang pasti tiada lagi kaki judi datang ke perkampungan itu. Musibah yang menimpa Anok menakutkan mereka.