KUALA LUMPUR 8 Julai - Hakim Mahkamah Sesyen Ampang, Mohammad Saman Kasi, menjatuhkan hukuman 12 bulan mulai hari ini terhadap pengarang buku '50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM'.
Namun, Khalid dibebaskan atas ikat jamin RM5,000. Peguam Khalid, Shashi Menan, memohon kepada mahkamah untuk membuat rayuan. Beliau akan mengemukakan rayuan selewat-lewatnya Isnin ini.
Khalid Jafri tenang semasa hakim membaca pertuduhan terhadapnya.
Menurut Hakim, hukuman tersebut dibuat atas tiga alasan iaitu; Khalid Jafri adalah penanggung tunggal di dalam keluarganya, mempunyai masalah jantung dan buku tersebut tidak mendatangkan keuntungan kerana tidak dapat dijual dalam kuantiti yang banyak.
Hakim juga menjatuhkan hukuman tersebut sesuai ketika memberi hujah bahawa kesalahan Khalid tidak mendatangkan kesan fizikal kepada mangsa.
"Hukuman denda yang sepatutnya dikenakan ke atas tertuduh tidak mencukupi kerana berkepentingan awam sebab menjejaskan maruah beberapa pihak," kata Hakim. Kesalahan yang dibuat oleh Khalid hanya menjejaskan teruk maruah yang dialami oleh Azmin Ali, isterinya, Shamsidar Tahrin dan anak mereka Farah Afifah Azmin.
Menurut Hakim, Khalid didapati bersalah kerana buku tersebut diterbitkan hanya berdasarkan laporan akhbar. Berita Farah Afifah bukan anak sebenar pasangan suami isteri Azmin dan Shamsidar dihebahkan oleh Umi Hafilda dan Norliah.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat, Saiful Izham Ramli berada di situ menganggap keputusan mahkamah terhadap Khalid tidak memadai kerana fitnah yang dilemparkan oleh Khalid menerusi bukunya bukan hanya memberi kesan buruk kepada keluarga Azmin Ali tetapi juga kepada keluarga bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut Saiful lagi, buku tersebut bukannya tidak sempat untuk diedarkan dalam kuantiti yang banyak tetapi buku tersebut telah disebarkan dengan sungguh meluas dalam Perhimpunan Agung Umno sehingga Anwar disingkirkan dari Umno.
Khalid Jafri didakwa mengikut Seksyen 8A(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa maksimum penjara tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua--duanya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Kamal Baharin Omar.