MELANGKAH sahaja ke ibu kota pada 5 Jun lalu penulis dapat melihat apa yang sudah terbayang di benak fikiran sebelum ini; jalan sesak, hiruk-pikuk, LRT, orang ramai, gadis berpakaian seksi...!
Sudah hampir dua tahun penulis tidak ke Kuala Lumpur (KL), dan kali terakhir adalah semasa menghadiri Muktamar Dewan Pemuda pada tahun 2003.
Namun dalam kesesakan, hiruk-pikuk kota raya ini, masih ramai insan yang menghuninya terdiri daripada golongan yang murah hati, bergelar dermawan.
Baru-baru ini penulis sempat mengikuti sebuah kuliah di Markas Tarbiyah PAS di Taman Melewar. Asalnya penulis hanya ke sana untuk menikmati laksa yang dijual di depan pintu gerbang markas dan tidak tahu adanya majlis ilmu pada malam itu.
Rupanya ustaz yang berkuliah malam itu adalah sahabat dari tempat asal penulis yang memberikan kuliah pada malam itu. Beliau saban minggu datang ke KL menyampaikan ilmu di samping membawa barang jualan sebagai projek ekonomi.
Projek ekonomi ini bukanlah untuk tujuan individu tetapi untuk kepentingan jemaah khususnya untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan perjuangan jemaah.
Sehabis sahaja kuliah, si ustaz pun mengumumkan dia membawa ubat gigi herba untuk jualan projek ekonomi sekolah. Tidak sampai sepuluh minit, pengerusi majlis mengumumkan,” Tuan-tuan boleh ambil ubat gigi secara pecuma kerana sudah ada orang yang membeli kesemuanya”.
Beberapa ketika kemudian semasa penulis berbual dengan si ustaz, datang seorang kanak-kanak menghulurkan sekeping cek dan katanya, “Abah bagi”.
Setelah agak lama berbual, barulah si ustaz melihat cek yang terlipat itu.
“ Mak oi, lima ratus……Alhamdulillah,” katanya teruja.
Bertuahnya duduk dalam perjuangan yang suci ini, begitulah yang terlintas di fikiran penulis.
Ada sahaja orang sentiasa simpati dan ingin memberikan bantuan dalam bentuk infaq, zakat mahupun derma asalkan apa yang mahu dibuat kerana Allah Ta’ala.
Bagi penulis, begitu murahnya hati orang-orang di KL.
Sehabisnya berkursus selama lebih sebulan, tibalah masa penulis pulang ke Indera Kayangan. Penulis sengaja ingin mencuba bermotosikal dari KL untuk pulang ke kampung.
Setibanya di Pulau Pinang , penulis singgah di Kompleks Nahdhoh, Kubang Semang berdekatan Bukit Mertajam. Kompleks madrasah yang diasaskan seorang tok guru muda ini dianggarkan melebihi RM1 juta.
Penulis begitu kagum dengan binaan yang disiapkan kerana sumber kewangannya adalah daripada hasil derma orang ramai yang mahu melihat tertegaknya sebuah pusat untuk orang ramai menimba ilmu Islam.
Terlintas di hati penulis, apakah agaknya yang telah berlaku kepada SAR yang isunya hangat diperkatakan setahun dua yang lalu.
Adakah isu ini terus hilang begitu sahaja? Berapa banyakkah yang telah ditutup atau kalau masih beroperasi pun apakah ianya ibarat hidup segan mati tak mahu?
Ini berikutan keputusan kerajaan menarik balik bantuan perkapita kepada institusi yang bakal melahirkan cerdik pandai khususnya di bidang agama.
Di negeri penulis, Badan Perhubungan PAS Negeri sendiri mengelola tiga buah sekolah, dua rendah dan satu menengah. Ketiga-tiganya kalau mahu ditadbir dengan kutipan yuran sahaja, mungkin sudah lama sekolah terpaksa gulung tikar.
Namun dengan iltizam dan semangat pimpinan serta guru-guru terutamanya, sekolah-sekolah ini terus beroperasi seperti biasa. Orang ramai yang faham akan keperluan mempertahankan SAR terus menyalurkan sumbangan.
Penulis agak begitulah juga dengan SAR di tempat lain yang terus beroperasi walaupun menghadapi pelbagai tekanan dan kesusahan.
Untuk itu, setiap minggu ada sahaja ustaz-ustaz atau tok guru pondok yang turun ke KL untuk berkuliah di samping menagih sumbangan untuk terus menghidupkan ‘kilang’ ulama ini.
Ada yang memohon derma, menjual tanah wakaf untuk membuat bangunan, menjual buah mempelam dan sebagainya asalkan dapat membawa pulang wang untuk kegunaan sekolah mereka.
“Dan orang-orang yang berusaha bersungguh-sungguh (berjihad) di jalan Kami, nescaya Kami tunjuki mereka ke jalan Kami. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang membuat kebaikan.” (Al-Ankabut, 69).
SAR inilah benteng terakhir untuk orang Islam di negara kita. Kalau hilangnya SAR, maka sanggupkah kita melihat generasi akan datang yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini adalah dari kalangan mereka yang tandus pengetahuan agama?
Menyedari hakikat ini, maka SAR terus dipertahankan oleh golongan yang mahu melihat Islam terus bertapak dan diamalkan di negara kita.
Hari ini kita dihantui dengan pelbagai masalah sosial yang semakin teruk. Bohsia, bohjan, dadah, seks rambang, pergaulan bebas, lepak, hiburan tanpa sempadan dan sebagainya adalah istilah yang saling datang silih berganti bila kita menyebut tentang gejala sosial.
Golongan yang terlibat majoritinya adalah para remaja atau belia. Sebab utama adalah kurangnya didikan agama. Jika kelompok ini mempunyai didikan agama yang kukuh, nescaya mereka tidak akan terjebak ke kancah ini.
Perkara pokok yang patut menjadi persoalan adalah pemerintah sendiri yang seakan-akan hilang pedoman dan tandus idea untuk menghadapi masalah ini.
Dulu mereka cuba mengadakan program Rakan Muda tetapi gagal. Kini PLKN yang belum menampak kesan selain mengindotrinasikan pelatih dengan fahaman sebelah pihak. Kini mahu diberi jarum suntikan dan kondom percuma pula. Kembalilah kepada Islam wahai 'ulil amri' sekalian.
Itu dalam keadaan SAR ini masih ada, kalau sudah habis ditutup apa nak jadi?
Penulis yang selalu berdamping dengan ustaz-ustaz SAR kadang-kadang berasa sayu bila melihat pengorbanan mereka. Mereka tidak berharap untuk berkereta mewah atau memiliki banglo besar, malah cukup sekadarnya.
Tambahan lagi, mereka rata-ratanya adalah amilin parti yang bekerja tanpa menghiraukan penat lelah untuk melihat Islam dapat ditegakkan di muka bumi Allah ini.
“Wahai orang-orang beriman, mahukah aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan hartabenda dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahuinya.” (As-Saff, 9-10).
Semoga SAR serta apa jua institusi yang akan membekalkan ulama pada masa depan akan terus dipertahankan.
Semoga semua pihak terus bermurah hati menyalurkan sumbangan-sumbangan untuk institusi pendidikan Islam khususnya dan perjuangan Islam amnya.