Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: CARA CARA MENGKAPANKAN MAYAT


Veteran

Status: Offline
Posts: 69
Date:
CARA CARA MENGKAPANKAN MAYAT


Menurut huraian ulama, 'kafan' yang wajib bagi mayat ialah sehelai kain yang dapat menutup aurat dan membalut tubuhnya.

Boleh digunakan sebarang kain yang biasa dipakai oleh si mati semasa hidupnya tetapi yang afdhal ialah kain putih seperti yang diterangkan dalam hadith yang lalu. Kain kafan, sungguhpun yang wajibnya ialah selapis, namun 'mayat lelaki' sunat dikafankan dalam tiga lapisan (tiga potongan kain), tiap-tiap satu dapat menutup seluruh badannya - dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.

Mayat lelaki tidak harus dikafankan dalam kain sutera kerana haram bagi lelaki memakainya semasa hidup. Sebaliknya mayat perempuan boleh dikafan dalam kain sutera ia halal dipakai oleh perempuan. Setengah ulama pula mengatakan makruh hukumnya jika mayat perempuan dikafankan dengan kain sutera kerana perbuatan yang demikian adalah membazir dan kain yang mahal-mahal lebih layak dipakai oleh orang yang hidup.

Jika sukar mendapat sebarang kain (kerana keadaan darurat), maka mayat boleh dikafankan dengan sebarang benda yang boleh membalut badan - seperti tikar, daun-daun pokok tanaman dan sebagainya.

'Mayat lelaki' juga harus dikafankan dalam lima lapis, iaitu tiga lapis tersebut tadi, ditambah dengan baju dan serban.* (Kerana Ibnu 'Umar r.a. telah mengkafankan mayat-mayat keluarganya dengan lima lapis termasuk baju dan serban)

'Mayat perempuan' pula sunat dikafankan dengan lima lapis**, iaitu kain yang membalut bahagian badannya; antara pusat dan lututnya; kemudian baju kurung; kemudian telekung yang menutup kepala; kemudian dua lapis kain lebar yang dapat membalut seluruh tubuhnya, dari hujung rambut hingga ke hujung kakinya.*** 'Mayat khunsa demikian juga.***
'Mayat kanak-kanak' sama hukumnya seperti 'mayat orang dewasa'.***

Belanja kain kafan dan lain-lain berhubung dengannya, hendaklah dari si mati. Kalau ia tidak tinggalkan harta, hendaklah ditanggung oleh warisnya, kalau tiada waris, hendaklah ditanggung oleh Baitulmal. Kalau Baitulmal tidak ada, atau Baitulmal ada tetapi sukar mendapat perbelanjaan, maka belanja mengkafannya ditanggung oleh orang yang mampu di kawasan itu.****

Jika si mati itu perempuan yang ada suami dan ia tetap taat (tidak menderhaka atau nusyuz pada suami), maka belanja mengkafannya ditanggung oleh suaminya yang mampu, sekalipun isteri yang mati itu kaya, atau telah diceraikan tapi dalam edah talaq yang boleh dirujuk, atau diceraikan dengan talaq yang tidak boleh dirujuk tetapi ia dalam keadaan mengandung.****

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard