PUTRAJAYA 10 Ogos - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegur sikap segelintir pelajar Melayu yang enggan memperbaiki kelemahan diri walaupun sedar mereka mempunyai banyak kekurangan berbanding pelajar kaum lain.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelajar-pelajar Melayu bukan tidak boleh memperbaiki diri mereka tetapi tidak berminat untuk berbuat demikian.
``Mereka ini tidak mahu bekerja keras dan tidak berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri.
``Kita boleh lihat, ramai pelajar Melayu tidak pulang terus ke rumah untuk membuat kerja-kerja rumah yang diberikan oleh guru. Mereka ini sebaliknya pergi ke pusat membeli-belah,'' katanya pada sesi dialog dengan pelajar-pelajar Sekolah Alam Shah, di sini hari ini.
Sebelum itu, beliau melancarkan Bulan Patriotisme dan pengiktirafan jigsaw puzzle terbesar di Malaysia oleh pelajar-pelajar sekolah itu.
Turut hadir isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Dr. Mahathir berkata, segelintir pelajar Melayu lebih suka menghabiskan masa dengan berhibur sehingga tidak menghiraukan pelajaran.
``Malam-malam pula tengok Akademi Fantasia (AF). Bukan maksud saya untuk memperkecilkan Mawi, saya ucap tahniah pada dia.
``Tetapi pelajar Melayu kita tengok AF sampai tidak boleh buat kerja lain. Jari asyik bergerak-gerak hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi otak tak bergerak,'' katanya.
Jika AF3 disambung semula, beliau berharap agar AF4 diadakan dengan lebih `berpada-pada'.
Sehubungan itu, beliau meminta pelajar Melayu lebih berminat untuk memperbaiki diri dengan penguasaan ilmu pengetahuan.
``Saya yakin pelajar-pelajar Melayu mempunyai kemahiran yang tinggi termasuk boleh bersaing dengan pelajar-pelajar asing tetapi mereka perlu mempunyai minat untuk berusaha menguasai ilmu itu,'' katanya.
Jigsaw puzzle terbesar yang mendapat pengiktirafan The Malaysian Book Of Records diperbuat daripada papan lapis.
Ia dihasilkan oleh 68 orang pelajar tingkatan empat sekolah tersebut dan kerja-kerja pembinaannya bermula sebulan yang lalu.
Jigsaw itu memaparkan gambar Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra yang juga Bapa Kemerdekaan Malaysia.
tapi nak wat mcm mane... dah yang betul... tapi mesti ada dikalangan pelajar ni marah bila ada seseorang cakap yang tun cakap tu... minta maaf kalau ada yang terasa.... dalam AF pun kalau kita tengok boleh kate majoriti yang datang tengok semua pelajar melayu....
hhmmm..... selagi takde kesedaran diri sendiri memang pelajar melayu kita takkan kemana...
beginilah nasib bangsa ku... ditipu.... undi sms habiskan duit... masuk kocek bangsa lain...
generasi muda perlu dibimbing... agar tidak leka... dengan hiburan semata-mata!
p/s: generasi muda perlu dibimbing oleh generasi tua... generasi muda mudah lupa... tapi generasi tua kena pandai 'tackle' generasi muda yang keras hati... belajar-belajar hormati generasi muda... untuk dihormati and perlu menghormati... dah dihormati generasi muda... apa lagi.. ambil peluang tarbiyah cukop cukop! bagi insaf... sekadar pandangan...