Antara tokoh tokoh sejarah yang saya kagumi ialah Shamsiah Fakeh kerana pahaman agama Islam yang tinggi dan semangat perjuangan yang tiada berbelah bagi.Pada penpadat saya,fahaman Ilmu Hakikat Shamsiah Fakeh juga adalah tinggi,tak hairanlah kerana dia berasal dari keluarga Al-Fakeh.Sila berikan komen jika ada yang sudi.
BEBERAPA bulan lalu, British Broadcasting Corporation London (BBC) menyiarkan satu program khas berjudul Malaya: The Undeclared War setelah menemuramah Chin Peng, 73 tahun, ketua Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka menemuinya di Thailand dan membawanya ke London untuk siaran khas itu. Menurut cerita, Chin Peng sedang menulis memoirnya.
Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Inggeris, beliau menjelaskan sebab perjuangan komunis gagal di Tanah Melayu. Beliau berkata, “Marxisme Leninisme tidak tahu menangani fahaman kebangsaan dan agama.”
Hal ini disebabkan Karl Marx sendiri pernah menyifatkan agama sebagai “candu” yang meracun hati nurani manusia. Chin Peng mengaku ia gagal memujuk majoriti orang Melayu menyokong perjuangan Komunis kerana keteguhan sifat kemelayuan dan iman.
Darurat bermula pada tahun 1948 dan ketika itu PKM mempunyai kira-kira 8000 orang gerila yang menentang askar British, Melayu, dan kira-kira 50 000 anggota polis. Sebanyak lebih 12 000 orang, termasuk orang awam, terkorban pada masa darurat itu. Wawancara itu juga menyebut usaha PKM menubuhkan sebuah organisasi sayap kiri Melayu, tetapi kesemua pemimpinnya ditangkap setelah darurat diisytiharkan, dan Chin Peng sendiri nyaris ditangkap.
Menurut sumber lain, beberapa orang Melayu yang aktif dalam gerakan sayap kiri itu terlepas, seperti Wahi Anwar, Musa Ahmad, Abdullah CD, Rashid Maidin, dan Shamsiah Fakeh. Shamsiah seorang ustazah setelah mempelajari agama di kampungnya dan melanjutkan pelajaran di Sumatera. Beliau kemudian aktif dalam politik kiri hingga menjadi Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS), salah satu sayap Parti Nasionalis Melayu. Shamsiah kemudian memasuki Rejimen ke-10 Tentera Pembebasan Nasional bersama-sama Abdullah CD dan Wahi Anwar di Pahang. Rejimen itu terdiri sepenuhnya daripada orang-orang Melayu tetapi jumlah sebenar regimen itu tidak diketahui.
Shamsiah berkahwin dengan Ibrahim Mohamad, seorang kader komunis, dan mereka melarikan diri ke Jakarta pada tahun 1960-an untuk menubuhkan cabang gerakan komunis. Mereka berdua bersama-sama Abdullah CD ditangkap oleh tentera Indonesia berikutan penumpasan Gerakan 30 September (Gestapu), pada tahun 1965, yang membawa kepada kejatuhan Presiden Sukarno. Mereka kemudian mendapat lindungan politik di Vietnam Utara sebelum berpindah ke negara China.
Ketika berumur 69 tahun, Shamsiah dan suaminya serta tiga orang anak mereka dibenarkan oleh kerajaan Malaysia kembali ke tanah air dan balik ke kampung yang ditinggalkan selama kira-kira 46 tahun. Dalam satu wawancara setelah pulang ke kampung Kuala Gemuroh, di Kuala Pilah, Shamsiah menyatakan: “Saya ingin menghampiri Tuhan Nabilalamin. Saya mungkin mati tahun ini atau tahun depan. Oleh itu, saya mahu menumpukan sepenuh masa kepada amal ibadat.”
Menarik juga ialah pementasan drama berjudul Member of the Club oleh Syed Alwi semasa Pesta Komanwel. Terdapat babak polemik politik antara seorang wanita Melayu yang komunis dengan seorang yang ditawan oleh pasukannya.
Menurut Syed Alwi, watak wanita komunis itu menggabungkan beberapa aspek pandangan Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, dan seorang dua lagi kader komunis Melayu. Antara lain dipersoalkan bagaimana seorang Melayu boleh menjadi anggota fahaman komunis yang tidak percaya kepada Tuhan. Mengikut jalan ceritanya wanita komunis itu menjawab, “Saya Melayu dulu, kemudian Islam.”
Pelbagai pihak menanti penerbitan memoir yang sedang ditulis oleh Chin Peng. Maka segera akan ditanya: Tidak adakah kenang-kenangan seumpamanya daripada kader-kader Melayu yang dahulu menyertai perjuangan komunis? Kita tunggu.