Assalamualaikum ... Perwakilan kecam usaha hidupkan semangat DEB
Laporan HAIRULAZIM MAHMUD, MARKUS LIM dan CYNTHIA YEOH KUALA LUMPUR 21 Ogos - Pendirian UMNO untuk menghidupkan semula semangat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan memperkenalkan Agenda Nasional Baru (ANB) dikecam beberapa perwakilan MCA yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif dan menyinggung perasaan masyarakat Cina.
Perwakilan Negeri Sembilan, Siow Kai Wen berkata, cadangan UMNO pada Perhimpunan Agung parti itu baru-baru ini tidak mengambil kira pandangan dan perasaan masyarakat Cina di negara ini.
Beliau sebaliknya menggesa UMNO menumpukan perhatian tentang cara-cara bagaimana membesarkan `kek' ekonomi negara agar semua kaum boleh menikmati faedahnya.
``Mereka tidak seharusnya bercakap fasal pengagihan kekayaan semata-mata tetapi fikirkan juga kepentingan kami,'' katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-52 hari ini.
Isu-isu berkenaan DEB dan ANB mendominasi perbahasan perhimpunan kali ini apabila sebahagian besar perwakilan mempersoalkan langkah menghidupkan semula semangat DEB serta dan kemudiannya diikuti ANB.
Menurut Kai Wen, orang Melayu tidak sepatutnya melihat orang Cina atau India sebagai pesaing mereka tetapi sebaliknya persaingan yang sebenar ialah proses globalisasi.
Tambahnya, proses globalisasi memerlukan semua masyarakat tanpa mengira kaum bersedia menghadapi cabarannya serta melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Sementara itu, perwakilan Melaka, Yen Tien Loo membangkitkan isu kegagalan pelajar-pelajar Cina yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan memasuki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Beliau meminta kerajaan lebih telus dan terbuka melaksanakan proses pengambilan pelajar-pelajar ke IPTA bagi memastikan tidak ada lagi mereka yang teraniaya walaupun mendapat keputusan cemerlang.
``Kami tidak meminta apa-apa, cuma mahu melihat satu sistem pengambilan pelajar ke IPTA yang lebih terbuka dan adil pada masa hadapan.
``Sampai bila lagi anda mahu melihat perasaan duka lara para ibu bapa dan anak-anak yang dinafikan hak mereka untuk menuntut di IPTA? Jadi, janganlah nafikan hak para pelajar yang benar-benar berkebolehan,'' tambahnya.
Dalam pada itu, perwakilan Selangor, Mong Yi Rong membidas segelintir pemimpin parti yang bertanding pada pemilihan kali ini tetapi tidak menjalankan tanggungjawab mereka kepada MCA dan masyarakat Cina dengan baik.
Beliau mendakwa, terdapat calon yang bertanding kali ini hanya muncul pada saat-saat akhir bagi meraih sokongan.
Justeru, menurutnya, perwakilan sepatutnya menolak pemimpin tersebut yang dilihat tidak memberikan sumbangan kepada parti.