NILAI 7 Sept. - Tindakan DAP mempertikaikan peranan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra selaku pejuang kemerdekaan sebenar boleh menyebabkan berulangnya peristiwa 13 Mei 1969.
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam berkata, ini kerana artikel Setiausaha Biro Antarabangsa DAP, Ronnie Liu dilihat sebagai berbahaya kerana ia menjurus kepada politik kebencian.
Tragedi berdarah yang dilalui negara katanya, berpunca daripada parti pembangkang yang ketika itu memainkan sentimen kebencian disebabkan kehabisan modal lain untuk menyerang kerajaan.
Sehubungan itu, beliau melihat DAP yang kini sudah kehabisan modal kembali menggunakan isu seperti itu.
``Sekarang ini Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) masih baru jadi Perdana Menteri, maka mereka pun tidak nampak banyak yang boleh dieksploitasi bagi dijadikan modal.
``Jadi untuk terus hidup, mereka akhirnya gunakan politik kebencian dengan menimbulkan perkara yang seperti itu bagi menimbulkan kemarahan,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta pada Ceramah Hari Kemerdekaan anjuran Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM) di sini hari ini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sebelum ini mendedahkan mengenai artikel Ronnie yang menyebut pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan dan Chin Peng sebagai turut menyumbang kemerdekaan negara.
Ronnie dalam artikel itu mendakwa, pemimpin-pemimpin UMNO pasca merdeka yang juga pegawai kanan British sebagai rakan rapat penjajah.
Musa berkata, beliau gembira kerana sejak isu ini timbul, wujudnya perbahasan mengenainya setiap hari.
``Dalam akhbar hari-hari dibincangkan, bagi saya ia bagus. Biar DAP dengan pendapat dia, dia nak cakap apa biar.
``Bagaimanapun hujahnya kena dipatahkan dan saya percaya ia dapat dipatahkan dengan tidak susah,'' jelasnya.
Mengulas lanjut, Musa menegaskan komunis dan PKM sama sekali berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh nasionalis yang diiktiraf selama ini.
Tegasnya, perjuangan Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan pemimpin UMNO serta Perikatan yang lain adalah benar-benar sebuah negara merdeka berdaulat yang tidak boleh dipersoalkan.
``Bagaimanapun perjuangan PKM adalah untuk mengkomuniskan seluruh Malaya yang mana mereka mendaulatkan ketertinggian komunis, iaitu siapa sahaja duduk di bawah mereka perlu mengikut pucuk pimpinan komunis.
``Komunis menolak semua agama dan ideologi. Komunisme tuhannya adalah kebendaan dan ini yang PKM mahu buat, malah untuk meletakkan negara kita di bawah sistem komunis,'' ujarnya