Malaysia tubuh Pusat Sukan di UK PUTRAJAYA - Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan bersetuju menjadikan Pusat Penyelidikan Tun Razak yang terletak di Hertfordshire, United Kingdom, sebagai Pusat Sukan Prestasi Tinggi untuk atlet Malaysia di luar negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pusat itu yang dimiliki oleh Institut Penyelidikan Getah (RRI), akan diubahsuai untuk dijadikan tempat latihan prestasi tinggi bagi atlet negara.
``Sasaran kita menjadikan pusat tersebut sebagai tempat persediaan bagi atlet-atlet kita sebelum menghadapi Sukan Asia di Doha hujung tahun depan,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di pejabatnya di sini semalam.
Najib berkata Hertfordshire, yang berdekatan London, dipilih kerana banyak kejohanan antarabangsa berlangsung di Eropah.
``London juga boleh menjadi tempat atlet kita menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca sebelum bertanding di Eropah. Begitu juga bagi atlet yang memerlukan tempat latihan yang berterusan di sekitar Eropah,'' katanya. - Bernama