ISLAM memandang tinggi kedudukan mereka yang beriman dan gagah berbanding mereka yang lemah.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Orang mukmin yang gagah lebih baik dan lebih dikasihi Allah daripada orang mukmin yang lemah.” (Riwayat Muslim)
Hal ini juga ditekankan oleh al Quran melalui firman-Nya bermaksud: “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka dengan kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya...” (Surah al-Anfal, ayat 60)
Maka, Islam menganjurkan kita supaya mempelajari ilmu berkaitan ketenteraan dan kekuatan. Antaranya menerusi latihan riadah. Hak ini kerana ia bukan saja dapat menguatkan badan, malah mempertajamkan kemahiran seseorang.
Justeru, Islam menganjurkan umatnya supaya mempelajari cara memanah, berenang dan menunggang kuda. Hal ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah bermaksud : “Tiap-tiap sesuatu yang tiada kaitannya dengan zikir kepada Allah dikira lahwun (sia-sia) atau lupa kepada Allah, kecuali empat perkara iaitu kepergian manusia antara dua matlamat (iaitu bermain panah), mengajar kudanya, bermain-main dengan isterinya dan belajar berenang.” (Riwayat at-Tabarani)