Pada jam 9.00 pagi, 20 Oktober 2005, Pengarah RND Pekida Pusat Dr Hj Masjuki telah mendapat penggilan dari wakil JPM dan sekali lagi panggilan oleh YB Dato' Presiden Pekida Malaysia sejurus selepas itu beserta arahan untuk mewakili Pekida Malaysia ke Putrajaya bagi menziarahi dan memberikan penghormatan terakhir kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, yang meninggal dunia akiibat kanser payu dara.
Sehubungan itu, Jemaah RND Pekida Pusat telah mula di hubungi dan berkumpul di ibu pejabat RND Pekida Pusat sejak jam 1 tengahari lagi. Setelah solat Zuhur, rombongan Team RND Pekida Pusat bertolak ke Putrajaya dengan diketuai oleh Dr. Hj. Masjuki. Rombongan tiba di Kompleks Seri Perdana lebih kurang jam 2.30 petang. Dengan berpakaian seragam baju melayu hitam lengkap bagaikan sebahagian dari protokol atau istiadat majlis. Waktu itu diperuntukkan untuk lawatan VVIP, Duta Negara Asing serta raja-raja Melayu.
Cuaca mendung dan hujan renyai-renyai yang turun pada petang itu bagaikan mengiringi pemergian Allahyarham. Rombongan dipersilakan masuk dan terus melapor diri pada Presiden Pekida, Dato Dr. Hj. Fuad Hj Ahmad, yang kebetulan berada di sana bersama Kekanda Mazni, Pengerusi Pekida Wilayah Persekutuan dan Ali Boo. Selepas itu, rombongan RND Pekida Pusat memasuki Dewan Penghormatan bagi bertemu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan mengucapkan takziah kepada beliau. Beliau juga turut mengucapkan terima kasih pada rombongan Jemaah RND Pekida Pusat atas kehadiran.
Di Seri Perdana, Jemaah RND Pekida Pusat juga sempat membacakan Yassin secara berjemaah untuk Allahyarham sebelum jenazah di bawa ke Masjid Putrajaya. Sebelum beredar, Pengarah R&D Dr Hj Masjuki berkesempatan mengabadikan ucapan dalam buku ucapan Takziah mewakili Seluruh Warga Pekida Malaysia. Seluruh anggota yang hadir turut menurunkan tandatangan.
Sejurus selepas itu, rombongan RND Pekida Pusat bergegas ke Tanah Perkuburan Islam di Presint 20. Di sana rombongan ditempatkan bersama-sama para VIP dalam kemah khas. Sambil menunggu jenazah tiba, rombongan sekali lagi membacakan Yassin secara berjemaah untuk Allahyarham.
Selesai upacara pengkebumian, Rombongan RND Pekida Pusat sempat beramah mesra dengan beberapa orang kenamaan seperti Menteri Besar Selangor Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Azmi Khalid, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, Tan Sri Dato' Seri Ramli bin Ngah Talib, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Seri Abd Ghani Othman, Dato' Seri Haji Idris Bin Jusoh, Dato' Seri Mohamad Hasan dan ramai lagi VIP yang tertarik melihat penampilan Team RND Pekida Pusat.
Turut berada di Kemah itu bersama Pak Lah ialah Tn Dr Mahathir, Mantan Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri najib Tun Razak, Menteri-menteri Kabinet.
Di akhir majlis rombongan RND Pekida Pusat berbaris tanda hormat ketika keberangkatan pulang tetamu kehormat sebelum berangkat pulang. Kami sempat berbuka puasa beramai-ramai di ibu pejabat RND Pekida Pusat di Sg. Ramal, Kajang.
Akhir kata, takziah dari kami di RND Pekida Pusat. Semoga roh Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
SAYU: Saudara terdekat Datin Seri Endon Mahmood tidak dapat menahan sebak kerana kehilangan orang tersayang.
PUTRAJAYA: Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood masih bercerita mengenai projek kebajikan yang dikendalikan Yayasan Budi Penyayang sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya, awal pagi semalam.
Sahabat karib Allahyarham, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang, Lela Mohd Ali (gambar), berkata Allahyarham masih berminat mengetahui projek kebajikan yang dianjurkan yayasan ketika beliau menemuinya, malam kelmarin.
"Sebelum waktu berbuka puasa malam kelmarin, saya tiba di Seri Perdana. Saya menyuapkan Allahyarham makan dan berbual seperti biasa.
"Kami berbual mengenai projek yayasan termasuk Minggu Batik yang dijadual diadakan akhir tahun ini serta projek amal di Kepala Batas pada 29 Oktober ini," katanya di sini, semalam.
Lela yang bersahabat dengan Endon sejak 40 tahun lalu berkata, Allahyarham sentiasa bersemangat dalam kerja kebajikan malah mengambil berat setiap projek kebajikan yang diusahakan.
"Ketika bersamanya, Allahyarham tidak memberi sebarang pesan... kami berbual sebagai rakan seperti biasa," katanya yang tidak menduga detik itu adalah yang terakhir dikongsi bersama rakan karibnya.
Lela berkata, Allahyarham Endon adalah seorang yang bersemangat tinggi dan sentiasa berfikiran positif dalam mengubati penyakit barahnya.
"Allahyarham adalah seorang yang tabah menghadapi apa jenis perubatan. Beliau sentiasa berfikiran positif dan ingat setiap kebaikan daripada rawatannya," katanya yang menemani Allahyarham menjalani rawatan di Amerika Syarikat sejak Jun lalu.
Lela berkata, Allahyarham mula sesak nafas sejak tengah malam semalam dan semua ahli keluarga, termasuk ibunya dimaklumkan mengenai keadaan beliau.
Beliau berkata, yayasan akan meneruskan kerja kebajikan yang diusahakan Allahyarham dan mengambil iktibar dari semangat beliau.
Sementara itu, Setiausaha Peribadi Allahyarham, Normah Mohd Zain berkata, Allahyarham tidak suka bercerita mengenai kesakitannya.
"Allahyarham memang tidak suka menunjukkan kepada orang yang beliau sakit dan jarang bercerita pasal kesakitannya," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Normah yang berkhidmat selama enam tahun dengan Endon menganggap beliau sebagai seorang yang tabah.
"Ketika beliau menghubungi saya dari Los Angeles ketika mendapat rawatan di sana, Allahyarham memberitahu beliau sihat.
"Allahyarham bercerita mengenai rambutnya yang semakin pendek, kesan kemoterapi, itu saja, itu pun secara bergurau, yang lain beliau menyatakan semua OK," katanya.
Normah berkata, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham adalah ketika menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menjalani rawatan di Amerika Syarikat.
"Saya mengirim surat kepada beliau bertanyakan khabar dan memberitahu betapa rindunya saya dan kakitangan lain terhadapnya, dia terus menghubungi saya selepas itu untuk menyatakan keadaannya baik," katanya.
Normah berkata, Allahyarham amat mengambil berat terhadap kakitangan.
"Beliau memang seorang yang sangat baik, boleh berurusan dengan mudah, tidak ada protokol," katanya yang berkhidmat dengan Allahyarham sejak 1999.
SEDIH: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi Permaisuri Nur Zahirah turut memberi penghormatan.
PUTRAJAYA: Ketabahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadapi pemergian isteri tercinta, Datin Seri Endon Mahmood, dikagumi pemimpin dan anggota Kabinet yang berpeluang bertemu dan bersalam dengan Perdana Menteri semalam.
Abdullah nampak tenang dan reda dengan pemergian Endon, sekali gus jelas menunjukkan ciri-ciri seorang yang beriman dan menerima dengan tenang takdir Allah.
Beberapa anggota Kabinet yang ditemui mengakui Abdullah seorang yang tabah, sabar dan tenang menghadapi kematian Endon.
Abdullah juga tidak menunjukkan keresahan atau kerisauan ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet kelmarin, apatah lagi berkongsi perasaan itu dengan orang lain.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin, berkata Perdana Menteri menunjukkan ciri-ciri orang beriman dengan tenang menghadapi pemergian Endon.
“Masa bertugas pun dia cakap (mengenai Endon), dalam Kabinet pun dia sebut. Susah bagi dia untuk melupakan sakit yang dialami.
“Kita lihat dia terpaksa batalkan rancangan diatur seperti berbuka puasa di tempat lain, tabah dan sabar... orang beriman,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi jenazah Endon Endon semalam.
Abdul Aziz berkata, Abdullah turut berkongsi kesakitan yang dialami Allahyarham ketika Endon berjuang melawan penyakit barah yang dihidapinya.
“Walau dalam apa keadaan pun, Pak Lah berasa sakit isterinya lebih daripada itu. Dia belas dengan isterinya seolah-olah dia lebih sakit daripada isterinya,” katanya.
Abdul Aziz berkata, sebagai se orang yang beriman, Abdullah mampu bertenang dan menghadapi dugaan kehilangan Endon.
“Abdullah adalah seorang yang beriman dan dapat kawal keadaan. Sesiapa yang beriman dapat kawal keadaan, jika tidak ada iman kita gelabah,” katanya.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula berkata Perdana Menteri tenang menghadapi kehilangan Allahyarham.
“Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada Pak Lah dan mendoakan roh isterinya dimasukkan dalam golongan salihah. Pak Lah nyata seorang yang kuat dan tabah. Saya bertemu Pak Lah dan nampak beliau tenang,” katanya.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohd Khaled Nordin, berkata Abdullah memiliki peribadi terpuji serta tidak gemar membebankan orang lain.
“Saya nampak Pak Lah tenang dan sabar. Semalam (kelmarin) ketika mesyuarat Kabinet juga riang dan gembira.
“Saya tidak sangka kerana Pak Lah tidak beritahu apa-apa. Ini peribadi dia. Dia tidak membebankan dan tidak beritahu. Ini cara dia, dia memang tidak suka,” katanya.
Endon disemadi: Isteri Perdana Menteri meninggal dunia jam 7.50 pagi semalam Oleh Kadir Dikoh, Fazli Abdullah, Norfatimah Ahmad, Wan Hazmir Bakar, Rohaniza Idris, Shamsul Azree Samshir dan Mohd Feroz Abu Bakar
DETIK PERPISAHAN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dibantu anaknya Kamaluddin dan Nori serta menantunya, Khairy dan Azrene, menabur bunga di pusara Endon di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya, semalam. - Gambar oleh Hadzme Mohd Jaafar
PUTRAJAYA: Selepas lebih tiga tahun bertarung dengan kanser payu dara, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Endon Mahmood, meninggal dunia pagi semalam.
Endon, 64, menghembus nafas terakhir di depan keluarga – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, dua anaknya, Kamaluddin dan Nori, menantu Azrene Abdullah dan Khairy Jamaluddin, empat cucunya serta ibu Allahyarham, Datin Mariam Abdullah – pada jam 7.50 pagi.
Berita kematiannya mula diketahui seawal jam 8 pagi apabila disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) Bernama sebelum ia meluas ke seluruh pelosok negara.
Allahyarham meninggal dunia kira-kira 18 hari selepas pulang daripada menjalani rawatan di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Beliau diletakkan di bawah jagaan rapi di Hospital Putrajaya pada 2 Oktober lalu, sebelum dibenarkan pulang ke Seri Perdana, malam Isnin lalu.
Cuaca di Lembah Klang, termasuk di Putrajaya yang mendung dengan hujan sekali-sekala semalam seolah-olah turut merasai pemergian Allahyarham, tetapi ia tidak menghalang ribuan rakyat mengunjungi Seri Perdana untuk memberi penghormatan terakhir.
Antara yang terawal menziarahi jenazah Allahyarham ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, iaitu kira-kira jam 8.30 pagi.
Kamaluddin ketika ditemui berkata, semua ahli keluarga terdekat berada di sisi ibunya ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
“Kami tanya sama ada beliau mempunyai pesanan terakhir untuk kami semua.... namun beliau ketika itu sudah separuh sedar,” katanya yang sebak menahan air mata.
Khairy pula berkata, ibu mentuanya pergi dengan penuh ketenangan.
Seorang pembantu Perdana Menteri berkata, Abdullah tenang ketika menghadapi saat itu. “Pak Lah kelihatan tenang. Bila saya menangis, beliau pula kata, tak mengapa,” katanya.
Sebelum jenazah dibawa keluar dari Kompleks Seri Perdana, Abdullah, ahli keluarga dan saudara mara terdekat menunaikan solat jenazah yang diketuai bekas Imam Besar Masjid Negara, Wan Halim Wan Harun.
Perdana Menteri dan anak-anaknya kemudian mencium dahi Endon untuk kali terakhir.
Selepas jenazah dibawa keluar dari Dewan Besar dan dihentikan seketika di tangga, Abdullah memberi ucapan ringkas dengan merakamkan terima kasih kepada orang ramai yang menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada isterinya.
Beliau juga berterima kasih kepada mereka yang mendoakan, membacakan Yassin dan melakukan amalan lain untuk disedekahkan kepada isterinya.
"Mudah-mudahan beliau ditempatkan di kalangan orang yang solehah. Jika ada hutang atau apa-apa barang yang dipinjam isteri saya, hendaklah jumpa saya dan ahli keluarga kami supaya ia dapat diselesaikan," katanya.
ZIARAH: YANG di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid diiringi Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Hassan Din Al Hafiz, Nori, Abdullah dan Kamaluddin mengaminkan doa di sisi jenazah Allahyarham Endon.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Putra untuk disembahyangkan pada waktu Asar dengan diimamkan Pemangku Imam Besar masjid itu, Abdul Manaf Mat, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Presint 20.
Allahyarham Endon adalah orang kenamaan kedua dikebumikan di tanah perkuburan baru di situ selepas bekas Pengerusi Petronas, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datuk Seri Rosmah Mansor, mengetuai barisan menteri Kabinet untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Turut berangkat menziarahi jenazah Endon ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid pada jam 2.40 petang.
Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah adalah kalangan Raja Melayu yang turut berangkat menziarahi Endon, pada jam 2.15 petang.
Turut menziarah, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Nur Zahirah; Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah; Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri serta kerabat diraja Pahang selain Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abas.
Menjelang tengah hari, laluan ke Seri Perdana sesak teruk dengan ribuan orang berpusu-pusu untuk memberi penghormatan terakhir. Mereka termasuk ketua jabatan, tokoh korporat, ahli politik, pemimpin masyarakat dan diplomat asing.
Pemimpin pembangkang seperti Lim Kit Siang dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga hadir memberi penghormatan terakhir.
Pemimpin asing juga tidak ketinggalan termasuk Presiden Singapura, SR Nathan; Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong; Menteri Kanan, Goh Chok Tong; Timbalan Perdana Menteri, S Jayakumar dan Menteri Luar, George Yeo.
Wakil Sultan Brunei, Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan isteri Dayangku Sarah Pengiran Salleh Ab Rahaman serta Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Endon di tanah perkuburan, petang semalam.
Turut berada di tanah perkuburan ialah wakil kerajaan Indonesia, Alwi Shihab yang juga Menteri Penyelaras Kesejahteraan Rakyat negara itu.
Arroyo kemudian kelihatan berbual dengan Abdullah selama kira-kira 10 minit di bawah khemah khas di situ. Selepas mengiringi Arroyo ke kereta, Abdullah kembali ke khemah dan berbual dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr Surakiart Sathirathai dan Menteri Luarnya, Dr Kantathi Suphamongkhon.
Beberapa acara rasmi dibatalkan termasuk lawatan Abdullah ke Pulau Pinang petang semalam. Pelancaran Jersi Kebangsaan untuk Sukan SEA di Manila pada akhir tahun ini yang sepatutnya dilancarkan oleh Najib di pejabatnya di sini tengah hari semalam, turut dibatalkan.
Sidang Dewan Rakyat semalam turut ditangguh hingga Isnin ini. Stesen radio dan televisyen memberi penghormatan dengan menukar program rutin kepada irama syahdu dan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.