KUALA LUMPUR 21 Okt. - Model terbaru Proton, Savvy 1.2 liter yang akan mula dijual di United Kingdom (UK) bulan ini, menerima ulasan dan pandangan positif daripada majalah-majalah automotif UK.
Majalah AutoCar UK menyifatkan Savvy sebagai model terbaik pernah dikeluarkan oleh Proton dan akan ditawarkan pada harga 5,995 pound (kira-kira RM40,166.50).
Majalah automotif yang terkenal itu berkata, Proton telah meninggalkan ``era kesilapan budak sekolah'' dalam model-modelnya yang terdahulu.
``Savvy memaparkan tempat duduk yang direka tepat dengan butang-butang kawalan berada di susunan teratur dan bersaiz tepat.
``Ruang kabin agak luas dan ini mengejutkan. Dengan kerusi-kerusi dilipat, ruang penyimpanan barang akan lebih besar.
``Proton akhirnya, kelihatan berada di landasan yang betul,'' kata majalah itu dalam terbitan baru-baru ini.
AutoCar juga mengingatkan pembacanya bawa pemanduan dan pengendalian Savvy telah diadun melalui teknologi Lotus.
``Ia menjadikan Savvy sebuah kereta kecil yang menghiburkan kerana tidak menimbulkan kesan bunyi yang seperti hendak terbabas ketika melalui permukaan yang sukar,'' kata majalah itu.
Proton Savvy yang dilancarkan pada 8 Jun lalu mendapat saingan hebat daripada Perodua Myvi.
Pada September lalu, Proton mula menjual model Savvy transmisi automatik yang merupakan pilihan majoriti 5,000 pembeli pertama kereta nasional itu.
Proton meletakkan sasaran mengeluarkan lebih 54,000 buah Savvy setahun menjelang tahun 2007 berikutan permintaan yang semakin menggalakkan.
Katanya, Proton yang mengeluarkan 100 buah Savvy sehari di kilangnya di Tanjung Malim mengunjur untuk meningkatkannya kepada 150 buah sehari menjelang akhir tahun depan.