Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Sasaran emas sukan SEA


Guru

Status: Offline
Posts: 890
Date:
Sasaran emas sukan SEA


Tiada rombakan sasaran emas


PUTRAJAYA Ñ Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan merombak semula sasaran pingat emas yang ditetapkannya pada Sukan SEA ke-23 di Filipina, bulan depan, apabila mengadakan mesyuarat dengan kesemua pengurus pasukan terlibat, hari ini.

Naib Presiden MOM yang juga Ketua Kontinjen Negara, Low Beng Choo berkata, sasaran 55 emas itu sudah mengambil kira kelebihan tuan rumah bersama peluang Malaysia dalam kebanyakan sukan subjektif yang mampu dipengaruhi mutu pengadilan.

``Sasaran tersebut, cukup munasabah dan mampu dicapai setelah merujuk statistik lalu,'' katanya, mengulas sama ada sasaran berbeza, 76 emas oleh 23 daripada 36 persatuan sukan terlibat itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Menurut beliau, MOM dan pengurusan kontinjen negara tidak pernah mempertikaikan sasaran tinggi oleh kesemua persatuan sukan malah menyifatkannya sebagai perkembangan sihat dalam merangsangkan semangat perjuangan atlet.

``Apa pun, sasaran MOM masih dengan 55 emas daripada pengalaman kita sepanjang empat atau lima Sukan SEA lalu,'' katanya pada Perhimpunan Kontinjen di Hotel Palm Garden di sini, semalam.

Gimnastik meletakkan sasaran emas terbanyak dengan 10 emas; akuatik, sembilan emas, olahraga (lapan emas), karate dan boling padang (enam) selain masing-masing empat daripada pelayaran, menembak, pencak silat.

Tiga emas disasarkan daripada berbasikal, badminton dan boling, dua (biliard-snuker, memanah, wusyu, taekwondo dan skuasy) manakala masing-masing sebutir emas bagi bola keranjang, sepak takraw, ekuestrian, bina badan, petanque dan angkat berat.

Sementara itu, jelasnya, perhimpunan yang melibatkan 203 atlet negara ke Sukan SEA, bertujuan melahirkan semangat sepasukan dalam kontinjen yang mendukung jati diri, sahsiah, kecekalan dan daya tahan yang berterusan.

``Perhimpunan selama tiga hari ini juga mahu membentuk kemahuan mereka dalam melakukan sesuatu yang luar biasa selain membina sikap bertanggungjawab apabila bersaing di Filipina, nanti.

``Mulai sekarang, tiada atlet yang akan dibezakan seperti daripada Gemilang 2006, AsiaComm, senior atau junior, berpengalaman sampai Olimpik atau baru pertama kali kerana kita semua bersatu sebagai pasukan Malaysia yang kuat,'' katanya.

Jelasnya, beberapa atlet sukan tertentu dikecualikan daripada menghadirinya seperti skuad bola sepak, akuatik, gimnastik, sepak takraw dan mendayung atas alasan kesuntukan masa selain bakal keluar negara untuk menyertai kejohanan atau sesi latihan.

``Kepada yang mempunyai alasan kuat sehingga tidak dapat menghadiri perhimpunan ini, kami terima tetapi bagi yang masih tidak hadir, kami mahukan mereka memberikan penjelasan tentangnya,'' kata beliau.

Malaysia akan menyertai 36 daripada 41 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya dari 27 November hingga 5 Disember seperti akuatik, angkat berat, badminton, berbasikal, besbol, biliard dan snuker serta bina badan.

Turut disertai ialah bola keranjang, bola sepak, bola tampar, boling, boling padang, catur, ekuestrian, gimnastik, golf, judo, karate, kenu, lawan pedang, memanah, mendayung dan menembak.

Lain-lain termasuk olahraga, pelayaran, pencak silat, petanque, pingpong, sepak takraw, skuasy, sofbol, sukan tari, taekwondo, tinju, triatlon dan wusyu.

__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard