Dengarlah adik, abang berpesan Jangan adik menurut perasaan Pilih pasangan hendak fikirkan Baik buruk harap bezakan Dengarlah pesanan segala orang tua Mengikut adat segala penggawa Semoga hidup mudah ketawa Agar dijauhi segala rawa Jangan dipilih rupa semata Atau dipandang kepada harta Jangan tertipu pada kata Lelaki sebegitu ramai di kota Pilihlah yang dapat membantu diri Semua lengkap lagi berseri Kerana melihat sehari-hari Nantikan jemu tidak terperi Pilihlah mereka yang teguh imannya Dapat membantu jika lalainya Anak dididik sempurna segalanya Ketua keluarga besar tanggungannya Biarlah yang berilmu luas di dada Fikiran sempurna semua ada Tidak dungu, biolnya tiada Kambing dilihat disangka kuda Pilihlah yang mampu memberi pakai Jangan dipilih terlalu pokai Nantikan hidup seperti sakai Adik hidup menanggung bangkai Yang bengis pula jangan dipilih Itu penyakit yang tidak pulih Ada sahaja yang jadi dalih Maki hamun tidak tersisih Jangan dipilih terlalu melawak Segala dilihat semua digelak Masalah semua dia mengelak Adik tersiksa nanti melalak Terlalu cemburu jauhi diri Nanti terlalu mengongkongkan diri Ditanya ditengking sehari-hari Siksa ditanggung tidak terperi Anak yang besar jangan diambil Segala ditanya terkebil-kebil Segala perbuatan terlalu babil Tidak terbayar segala bil Pilih biar ada parasnya Harta ada untuk tanggungannya Keturunan mulia tiada aibnya Ugama ada cukup lengkapnya Yang paling baik ugama sempurna Jadi pembimbing di dunia fana Keluarga dibimbing cukup kena Cakapnya penuh memberi makna Hanya itu abang berpesan Peringatan sebagai seorang insan Semoga dapat memberi kesan Hidup bahagia sentosa akan Bukan mengata yang bukan-bukan Nasihat ikhlas yang abang berikan Kebahagian adik abang tekankan Cemburu dan dengki minta jauhkan Sekian sahaja penutup kata Yang ditulis bukan betul semata Kalau ada tersilap kata Jangan pula dihina nista Walau tidak terlihat di mata Menjunjung kasih semata-mata Ampuni segala rata-rata Doa sentosa turut serta Nasihat abang sudahlah tamat Di dalam hati harap disemat Mana yang baik diikut amat 9 Safar 1424 tamat