>Waktu kecil-kecil dulu, aku sering cemburu pada ibu. >Bukan cemburu kerana ibu lebih cantik atau menawan >dariku. Tapi aku cemburu bila melihat ibu selalu >membeli barang-barang keperluan dirinya yang pelbagai. >Ibu selalu membeli baju-baju baru, yang kebanyakannya >disimpan di dalam almari usangnya. Boleh dikatakan >setiap bulan, ibu akan membeli kain ela baru untuk >dibuat baju. Kadang-kadang ibu beli tanpa >memberitahuku. Tahu-tahu, sudah tergantung di dalam >almari. Pakaian ibu cantik-cantik dan sebagai anak >yang sudah meningkat remaja (14 tahun) aku akui rasa >cemburu setiap kali ibu menunjukkan pakaian barunya >sedangkan aku waktu itu, jarang dibelikan persalinan >yang baru. >Satu lagi yang membuat aku sebal dengan sikap ibu >ialah, ibu selalu membazir duit dengan membeli >barang-barang kemas yang pelbagai bentuk. Cincinnya >hampir semua jari ada tersisip. Rantai leher ada lima >utas. Yang satu bergulung-gulung hingga ke dada. Yang >satu lagi bulat-bulat bagai kepingan syiling lima >puluh sen. Ibu sanggup berhutang hanya untuk >mendapatkan rantai baru. Aku tidak tahu apa keperluan >semua itu. Aku lihat jiran-jiran ibu juga begitu. >Kerlipan emas sarat di leher, tangan dan jemari. Aku >tidak tahu apakah itu satu pemandangan biasa atau >keperluan bagi orang-orang yang seusia dengan ibu. > >Yang sebetulnya, aku kecil hati kerana ibu tidak >pernah membelikan barang kemas walau sepasang >anting-anting pun untuk aku. Aku jadi sakit hati juga >kerana kakak-kakakku masih lagi mendapat >sekurang-kurangnya sebentuk cincin dari ibu. Biasanya >cincin yang ibu rasakan sudah lama dipakai, ibu akan >berikan kepada kakak-kakakku, tetapi tidak aku. Ini >membuatkan aku betul-betul sakit hati. > >"Mak ni, asyik beli rantai...jee...kan mak dah banyak >rantai.."Aku membebel satu hari bila mak menunjukkan >seutas rantai yang baru dibeli. Juga secara hutang. >"Tak apalah Nana, mak saja simpan banyak-banyak. Mana >tahu, mungkin berguna satu hari nanti. Lagipun rantai >ni ayah kamu dah janji lama nak belikan mak >dulu..."Aku muncung dengar mak jawab begitu. "Asyik >belikan mak....aje. Orang punya takde belikan >pun..."Aku mencebik. Seharusnya aku anak perempuan >yang bongsu patut dilebihkan dalam segala hal. Tapi >ibu tidak pernah bersikap begitu. "Ibu belikan kak yah >dan kak Ani cincin, tapi Nana ibu tak belikan apa-apa >pun..." "Nana kan masih sekolah. Kalau Nana nak pakai >barang kemas, tunggu dah kerja esok."Begitu selalunya >ibu membahasakan aku. Sakit hati aku. Tambah sakit >hati, bila saja Ayah dapat hasil kebun >lebih, ibu menukar rantainya dengan yang lebih besar >lagi. Ayah tidak pula marah. Pelik aku dengan sikap >ayah. > >Lama-lama aku jadi malas untuk melayan sakit hatiku >lagi. Bila aku terlihat cincin atau rantai baru >dileher ibu, aku hanya diam saja. Aku tidak mahu >bertanya apa-apa. Sehinggalah aku masuk ke asrama di >bandar dan mengambil SPM. Setiap kali aku pulang dari >asrama, aku lihat ibu masih dengan hobinya mengumpul >barang-barang kemas. > >Bila aku mendapat tawaran belajar di universiti, aku >tidak tahu sama ada ibu gembira atau sebaliknya. >Kerana dalam keluarga belum pernah ada anak-anaknya >yang berjaya belajar di universiti. Aku tidak kisah >kalau ibu tidak berbangga dengan hasil usahaku kerana >sedari kecil memang cita-citaku untuk ke universiti >begitu kuat sekali. Kini hasratku itu telah tercapai >dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan selain >kejayaan ini.. Aku sudah boleh hindarkan perasaan >cemburu andai ibu lebih sayangkan kakak-kakakku atau >ibu lebih sering membelikan pakaian atau perhiasan >untuk mereka berbanding aku. Memang aku bukanlah manja >sangat dengan ibu kerana 3 tahun aku di asrama. >Sepanjang tempoh itu aku tidak kisah lagi kalau ibu >tidak belikan langsung apa-apa untuk aku. Aku tidak >perlukan barang-barang kemas begitu dari ibu. Aku >boleh beli sendiri bila aku sudah bekerja nanti. Yang >penting aku sudah buktikan yang aku lebih bijak dari >kakak-kakakku yang lain. > > Masuk tahun kedua pengajian, aku sering mengalami >lemah badan dan pening-pening yang keterlaluan. >Kadang-kadang aku terpaksa ponteng kelas dan ini >sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pelajaranku. >Aku tidak pernah mengadu pada sesiapa walau dengan >ibu. Kerana aku tidak pernah merasakan ibu akan >memberi perhatian kepadaku. Sehinggalah aku pitam >sewaktu beratur mengambil makanan dan hanya tersedar >bila merasakan genggaman di jemariku. Wajah ibu yang >penuh garis-garis halus itu aku tatap pilu dan terasa >ada getaran dalam dadaku. Betapa aku tidak pernah >membelek wajah itu sungguh-sungguh sebelum ini. Dan >baru aku sedari betapa berbezanya wajah ibu kini. > > Aku cuba bersikap seperti biasa bila doctor >memaklumkan akan keganjilan darahku yang menyebabkan >ia tidak dapat mengalir senormal mungkin. Penyakitku >belum diketahui, tetapi darahku harus dicuci. Aku juga >harus menjalani pembedahan dibahagian buah pinggang. >Sejak itu ibu mengunjungiku saban hari. Dia >membawakan apa-apa saja yang dirasakan menjadi >kegemaranku. Suatu hari, bila ibu bawakan aku lepat >pisang makanan kegemaranku aku jadi begitu terharu >lalu aku menangis teresak-esak. Tapi aku hanya >menangis dalam diam-diam. Aku terlalu menghargainya >tetapi aku tidak tahu bagaimana untuk meluahkan. Aku >tidak mahu dia melihat aku seperti terlalu berharap >akan kasih sayangnya. > >Saban hari ibu menemani dan menyuapkanku makan, aku >mula sedar betapa ibu juga menyayangiku, cuma mungkin >dia tidak atau kurang menunjukkan perasaannya. Aku >jadi malu kerana sering beranggapan ibu menyisihkanku. > Beranggapan yang ibu tidak mengendahkanku semata-mata > kerana dia tidak pernah membelikan apa-apa untukku. > Setiap kali ibu ingin pulang, aku teringin sekali >memeluk dan mencium pipi ibu, tetapi aku rasa janggal >dan malu untuk melakukannya. Aku hanya mampu mencium >tangan ibu seperti selalu. > >Aku tidak mengharapkan ibu menemaniku setiap hari. >Bukan kerana aku tidak suka, tetapi aku tidak mahu dia >menghabiskan wang semata-mata untuk berulang alik dari >rumah ke bandar. Pendapatan ayah bukanlah besar >sangat. Tambahan adik lelaki masih belajar di >menengah. Pembedahanku pula terpaksa ditangguhkan >kerana kekurangan wang. Aku terpaksa mendahulukan >wang biasiswaku tetapi ia masih tidak mencukupi. > >Semalam, ibu tidak mengunjungiku. Hari ini juga >tidak. Hanya Ayah yang terpacul tengahari itu dengan >membawa khabar gembira. Wang yang dikumpul telah >mencukupi dah aku akan dibedah secepat mungkin. Bila >aku bertanyakan ibu, Ayah menyatakan ibu tidak berapa >sihat dan tidak dapat datang. Aku menunggu hari esok >dengan sabar. > >Pagi itu aku disorong ke bilik pembedahan. Aku tidak >tahu berapa lama pembedahan tersebut. Bila tersedar >aku melihat wajah ayah dan kedua kakakku di sebelah. >Aku mencari wajah ibu tetapi tiada. Sedang wajah-wajah >didepanku terlihat mendung dan muram. Aku tidak tahu >apakah mereka tidak gembira melihat aku selamat >dibedah. > >"Mak mana, ayah?'Aku bersuara perlahan. "Kenapa mak >tak datang?" Ayah tidak menjawab sebaliknya hanya >memandangku dengan mata yang mula berkaca. > >Setelah berkali-kali aku bertanya, Ayah memelukku erat >sambil berbisik ditelinga. Aku terjelepuk dan tidak >sedar diri selepas itu. > >Kata ayah, ibu baru semalam disemadikan. Ibu tidak >dapat diselamatkan setelah parah dilanggar motorsikal >dari belakang. Aku tidak dapat menahan hiba bila ayah >menyatakan, ibu baru saja beberapa langkah keluar dari >sebuah kedai pajak apabila tubuhnya disambar >motorsikal yang dipandu laju. Ibu dikejarkan ke >hospital dan sempat menyerahkan bungkusan itu sebelum >menghembuskan nafas. > >Kata ibu, bungkusan itu untuk aku. Tanganku >terketar-ketar saat membuka bungkusan kain perca itu. >Terlihat sebentuk cincin halus yang bermata satu. >Cincin itu untuk aku. Ibu telah menebus semula cincin >itu untuk dihadiahkan kepadaku. Bila aku harus >menjalani pembedahan, dan wang yang terkumpul masih >belum mencukupi, ibu telah menggadai semua >barang-barang kemasnya hingga tiada satu yang tersisa. >Hanya tinggal cincin itu untuk diberikan kepadaku. Ibu >bercadang untuk memberikannya kepadaku bila aku sembuh >nanti. > >Akhirnya, ibu berikan juga aku sebentuk cincin. >Bukankah itu yang selalu aku harapkan selama ini? >Adakah ia telah dapat membayar segala rasa iri hatiku >selama ini? Tiba-tiba aku rasa dunia ini begitu sepi. >Aku rasa seperti telah ditinggalkan jauh oleh orang >yang amat aku perlukan .Kenapa baru sekarang aku sedar >segunung intan permata pun tidak akan mampu menandingi >kebahagian memiliki seorang ibu. Dan segunung intan >permata juga tidak dapat membayar air mata seorang >wanita yang telah melahirkan aku.