Members Login
Username 
 
Password 
    Remember Me  
Post Info TOPIC: Soi Lek persoal kemampuan pemohon


Veteran

Status: Offline
Posts: 45
Date:
Soi Lek persoal kemampuan pemohon


TBP: Soi Lek persoal kemampuan pemohon

Oleh: RAJA LUVENA SHARIFUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Feb. - ``Kalau dia boleh keluarkan belanja RM3.8 juta untuk rawatan anaknya, bolehkah dia ditakrif sebagai golongan tidak mampu?'' kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek.

Katanya lagi: ``(Walaupun terpaksa menjual rumah untuk mengumpul kos rawatan) kalau dia golongan tidak mampu, dia tidak akan ada rumah pun.

``Ini bukan soal birokrasi, ia adalah mengikut syarat ditetapkan kerajaan.''

Soi Lek berkata demikian ketika ditanya mengenai kes seorang pesara kerajaan yang gagal sebanyak tiga kali untuk mendapatkan bantuan Tabung Bantuan Penyakit (TBP) bagi membiayai kos rawatan anaknya yang menghidap penyakit paru-paru gagal berfungsi.

Kegagalan itu memaksa Mohamad Arif Samsudin, 58, menjual harta benda termasuk rumahnya dan menagih bantuan pelbagai pihak untuk merawat anaknya, Khadijah Hanim, 19, yang kini bertahan hidup atas bantuan ubat khas dan balang oksigen.

Mohamad Arif merupakan bekas Pegawai Imigresen dan kini menjalankan perniagaan menjual buku dan kain.

Kos rawatan Khadijah Hanim yang menghidap penyakit itu sejak berusia 7 tahun semakin meningkat sejak tahun 2000 apabila purata rawatan rutin bulanan termasuk ubat dan balang oksigen mencecah RM25,000.

Menurut Soi Lek, pihaknya baru berpeluang memperoleh butiran kes Khadijah Hanim hari ini setelah tempoh cuti umum yang panjang berakhir.

``Kami akan lihat kes ini dan meneliti sebab-sebab permohonannya ditolak.

``Sekiranya beliau (Mohamed Arif) ada sumber pendapatan lain, permohonannya akan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria yang memerlukan pemohon terdiri dari kalangan yang tidak mampu,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mendedahkan keputusan penelitian itu kepada pihak media pada bulan ini.

``Saya juga akan mengemukakan perkara ini dalam mesyuarat Kabinet minggu depan, sebagaimana yang saya lakukan bagi kes-kes sebelum ini,'' ujarnya.

Apabila ditanya sama ada pihak kementerian begitu tegas sehingga tidak akan memberi sebarang pengecualian, Soi Lek berkata:

``Saya tidak boleh katakan bahawa kami tidak akan berikan pengecualian. Ia bergantung kepada kes-kes individu.''

Isu layak mohon tabung penyakit kronik

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Chua Soi Lek memberi sebab mengapa Mohamad Arif Samsudin gagal menerima wang Tabung Bantuan Penyakit (TBP) bagi membiayai kos rawatan anaknya Khadijah Hanim yang kini mencecah RM25,000 sebulan:

* Kalau dia (Mohamad Arif) boleh keluarkan belanja RM3.8 juta untuk rawatan anaknya, bolehkah dia ditakrif sebagai golongan tidak mampu?

* Kalau dia golongan tidak mampu, dia tidak akan ada rumah pun.

*Ini bukan soal birokrasi, ia adalah mengikut syarat ditetapkan kerajaan.

* Jika Mohamad Arif ada sumber pendapatan lain, permohonannya akan ditolak kerana tidak memenuhi kriteria yang memerlukan pemohon terdiri daripada kalangan yang tidak mampu.

Mohamad Arif Samsudin jawab Soi Lek:

* Saya telah bergolok-bergadai.

* Seorang CEO hatta seorang menteri pun, jika berada dalam keadaan saya, mereka sendiri tak akan mampu.

*Sejak tahun 2000, empat kali membawa Khadijah ke London untuk rawatan. Tiket penerbangan ditaja MAS, caj wad dan penginapan wang sendiri.

* Terpaksa menjual rumah pada 1997, malah barang kemas isteri termasuk cincin perkahwinanpun dilupuskan

* Saya dan isteri buat macam-macam kerja sejak empat tahun lalu - kursus praperkahwinan, katering, jual kain, buku dan kerongsang, malah jual kismis sampai ke Singapura.

* Saya bersyukur sebab negara kita makmur, saya boleh berniaga. Bagaimana dengan orang lain yang tak mampu buat macam saya?

* Semua yang saya buat itulah jika dikumpul nilainya RM3.8 juta.



__________________
Page 1 of 1  sorted by
 
Quick Reply

Please log in to post quick replies.

Tweet this page Post to Digg Post to Del.icio.us


Create your own FREE Forum
Report Abuse
Powered by ActiveBoard